
KUALA  LUMPUR 12 MAC :  Dua pertubuhan bukan kerajaan secara terbuka meluahkan  bantahan mereka  berhubung tindakan kerajaan meluluskan pusat pemprosesan  tanah jarang  (rare earth) yang paling besar di dunia, di Gebeng,  Kuantan.
Sehubungan  itu, Sahabat Alam Malaysia  (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang  (CAP) mendesak kerajaan supaya  segera membatalkan projek berkenaan  lapor Malaysiakini.
"...  amat khuatir dengan keputusan  kerajaan negeri Pahang untuk meneruskan  dengan cadangan kilang nadir  bumi di Gebeng di sebalik hakikat bahawa  kilang ini hanya menanti  bencana untuk berlaku.
"Berdasarkan  kepada semua risiko ini,  adakah kerajaan bersedia untuk mengorbankan  nyawa demi untuk mendapatkan  keuntungan?" soal presiden dua pertubuhan  itu, SM Mohamed Idris.
Menurutnya,  SAM pada 2007 telah dijemput  oleh kerajaan Terengganu untuk memberikan  taklimat mengenai bahaya  nadir bumi berdasarkan pengalamannya menangani  pendedahan sisa  radioaktif di Bukit Merah, Perak.
"Berikutan itu, projek berkenaan telah ditolak oleh kerajaan Terengganu.
"Dalam  tempoh tiga tahun lalu, CAP dan  SAM membantah dengan bersungguh-sunguh  cadangan kilang nadir bumi  memandangkan potensinya kepada kesan alam  sekitar dan kesihatan awam  daripada radioaktif dan sisa berbahaya yang  dihasilkan olehnya,"  katanya.
Mohamed  Idris juga mempertikaikan  tindakan kerajaan BN yang membisu berhubung  projek bernilai RM700 juta  itu. Katanya, lebih membimbangkan projek  pemprosesan tanah jarang itu  tidak memerlukan penilaian kesan alam  sekitar lengkap.
"Penilaian kesan  alam sekitar lengkap  tidak diperlukan memandangkan terdapat kelemahan  dalam undang-undang  kita. Oleh itu tidak terdapat sebarang ruang bagi  orang ramai untuk  meneliti cadangan langkah pencegahan dan potensi  risiko dan mengemukakan  bantahan mereka.
"Syarikat  itu menyatakan terdapat  pendedahan paras rendah kepada radiasi.  Keadaan ini amat membimbangkan  memandangkan tidak terdapat paras  selamat atau nilai ambang pendedahan  radiasi pengionan.
"Jangka  panjang, pendedahan paras rendah  (kronik) kepada radiasi amat  berbahaya kerana tisu hidup dalam tubuh  boleh mengalami kerosakan oleh  radiasi pengionan," katanya.
Menurut  Mohamed Idris, pendedahan kepada  sisa radioaktif boleh menyumbang  kepada peningkatan insiden leukaemia  awal kanak-kanak, kanser,  keguguran, mencacatkan system imun dengan  bilangan sel darah putih  rendah yang luar biasa, paras plumbum yang  tinggi dalam kalangan  kanak-kanak yang boleh membawa kepada keracunan  plumbum.
"Kanak-kanak  lebih mudah terjejas kepada  kesan bahaya bencana radiasi berbanding  penduduk umum kerana tubuh  mereka menyerap dan memetabolismekan bahan  secara berbeza, dan kerana  mereka lebih cenderung mendapat kanser  tertentu daripada pendedahan itu.
"Terdapat  juga kemungkinan yang tinggi  bahawa kanak-kanak yang lahir daripada  ibu bapa yang terdedah kepada  radiasi boleh terjejas oleh pendedahan  itu juga," katanya.
Menurutnya, isu  lain yang dikhuatirkan  ialah tidak terdapat cara yang selamat untuk  melupuskan sisa yang dijana  daripada loji penapisan itu.
Justeru,  kerajaan kata Mohamed Idris  perlu menjawab sama ada mereka bersedia  mengorbankan nyawa rakyat demi  mendapatkan keuntungan.