PAS  mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang tidak berganjak mengadakan  bantahan selama 18 hari yang memaksa Presiden Hosni Mubarak melepaskan  jawatan.
PAS  mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang tidak berganjak mengadakan  bantahan selama 18 hari yang memaksa Presiden Hosni Mubarak melepaskan  jawatan.
“Tahniah  rakyat Mesir, 18 hari tak berganjak akhirnya Hosni Mubarak meletakkan  jawatan, berakhirnya rejim Umno Mesir,” ulas Naib Presiden PAS, Datuk  Mahfuz Omar di laman Twitter.
Bagi  Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi pula, anak muda  melahirkan rasa syukur dengan kejatuhan regim Mubarak itu.
Beliau mengharapkan kebangkitan rakyat menentang kezaliman menular ke seluruh dunia.
“Tahniah  Rakyat Mesir. Tahrir Square menjadi saksi kejatuhan Hosni pemimpin yang  korup dan menindas. Di Malaysia juga ada, Merdeka Square,” ujar Ketua  AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.
Ahli  Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berharap tentera yang mengambil  alih kuasa tidak mengkhianati amanat rakyat dan membebaskan rakyat Mesir  daripada dibelenggu pemerintahan yang zalim
Namun, menurutnya pengaruh Amerika ke atas tentera Mesir masih kuat.
Beliau  mempersoalkan adakah pihak tentera akan membebaskan rakyat Mesir dan  dibenar memilih pemimpin mereka atau terus dibelenggu demi Israel.
“Takbir! Mubarak dijatuhkan kuasa rakyat,” ujarnya.
Naib  Presiden, Omar Sulaimen dalam pengumuman menerusi televisyen malam tadi  memberitahu Mubarak, 82, mengambil keputusan meletakkan jawatan dan  Majlis Tertinggi Tentera mengambilalih pentadbiran negara.
Ekoran  pengumuman tersebut, jutaan rakyat negara Afrika Utara itu yang  membanjiri Dataran Tahrir melaungkan 'Allahu Akbar' dan bersorak  gembira.
Dilaporkan,  Mubarak yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah  bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di  Laut Merah.
