Pemimpin yang telah memimpin Mesir selama 30 tahun, Hosni Mubarak telah diturunkan daripada jawatannya sebagai presiden, selepas hampir tiga minggu protes rakyat.
Mesir  kini di bawah kuasa majlis tertinggi tentera negara itu,  dipimpin oleh  Mohammed Hussein Tantawi yang juga menteri pertahanan.
Selepas  Naib Presiden Omar Suleiman, Mohammed juga sangat terkait  dengan rejim  zalim Hosni, walaupun imej tentera positif di mata rakyat  negara  Mesir.
Malah, ada yang menyifatkan perubahan ini hakikatnya ialah satu rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Dua  pemimpin yang ditonjolkan ekoran protes ini ialah mereka yang  jelas  sekali mempunyai bagasi yang besar melibatkan rejim Hosni.
Tidak  seperti pihak polis, tentera mendapat penghormatan daripada  rakyat  negara itu, dan seperti disaksikan pada laporan media tentang  protes di  Medan Tahrir, tentera lebih bersikap lembut terhadap rakyat  yang  memprotes.
Hal ini telah meletakkan tentera Mesir sebagai pihak yang menyebelahi rakyat dan membantu menjatuhkan Hosni dalam revolusi ini.
Walau  bagaimanapun, seperti yang terakam dalam sejarah, tentera Mesir  ialah  penerima ganjaran berbilion daripada Amerika Syarikat selama ini,  dan  menjadi pihak yang sangat berkepentingan dalam memastikan bantuan  ini  berterusan.
Sejak  1983, bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat untuk Mesir  ialah  sekitar AS$1.3 bilion setahun, satu jumlah yang sangat besar, yang   secara logiknya mampu menyebabkan perubahan yang besar dan bermakna   terhalang.
Bantuan  ini kekal pada jumlah yang besar walaupun keseluruhan bantuan  untuk  Mesir merosot. Untuk 2011, jumlah yang telah diminta untuk  tentera  Mesir mencecah AS$1.5 bilion.
Kuasa  yang memberi habuan ini turut berkepentingan dalam bantuan  tersebut,  kerana syarat program bantuan ini ialah semuanya perlu  dibelanjakan  untuk senjata dari AS.
Mohammed  dan tentera Mesir walaupun dilihat sebagai pihak di sebelah  rakyat,  juga tidak bertindak dalam menyaksikan kekejaman rejim Hosni  selama  ini.
Elit politik dan tentera ialah sebahagian pusat kuasa yang menjadikan Mesir dalam keadaan yang ada hari ini.
Sudah  tentu, harapan untuk melihat perubahan tetap wujud, dan tidak  ada apa  yang pasti dalam tempoh beberapa minggu dan bulan selepas ini.
Tetapi  apa yang jelas ialah pihak yang kini berkuasa dalam tempoh  peralihan  ke arah demokrasi seperti diharapkan rakyat Mesir ialah yang   bertanggungjawab membina Mesir di bawah diktator Hosni.
Simbol  dan figura kuasa, Presiden Hosni Mubarak telah diturunkan  daripada  tampuk kekuasaan, tetapi struktur yang membenarkan individu ini   berkuasa masih kukuh.
Pelantikan  Omar sebagai naib presiden, tekanan oleh kuasa besar yang  kelihatan  tersekat-sekat dan berperingkat-peringkat dan berhati-hati  memberi  gambaran kepentingan kuasa besar terhadap Mesir.
Kepentingan  tersebut kelihatan masih menjadi faktor utama yang  membentuk respons  kuasa terbabit dalam menangani perubahan di Mesir.
Selepas  18 hari protes secara berterusan, fasa terbaharu perlu  dilalui rakyat  Mesir dalam memastikan janji-janji revolusi ditunaikan.
Peraturan-peraturan  yang mengekang proses demokrasi yang adil,  seperti halangan calon  presiden bebas dan tempoh presiden tanpa had  perlu dilaksanakan dan  pemisahan kuasa yang sebenar perlu terlaksana.'