
LABIS, 26 Jan: Kerana bimbangkan bilik gerakan mereka terlindung oleh sebuah kedai di Felda Tenang, kedai makan milik seorang peniaga ikan telah dirobohkan baru-baru ini.
(GAMBAR ATAS: BONGKAK...Keadaan tapak kedai selepas dirobohkan iaitu gambr pada 23 Januari. Semacam satu penyataan Umno berjaya menjajah tapak ini apabila bendera parti itu dipacakkan sekeliling tapak kedai yang disewa Norehan selepas dirobohkan.)
Kejadian   yang berlaku pada 21 Januari lalu itu sampai kini masih tidak boleh   dilupakan oleh Encik Norehan, 39 bersama isterinya. Ini kerana, kedai   makan petang dan malam ini menjadi sumber rezeki utama bagi keluarga   mereka.
Kedai tersebut telah disewa oleh Norehan dan dikendalikan   oleh isterinya untuk berniaga kedai makan bermula petang (minum petang   seperti goreng pisang, kuih muih dan sebagainya) sehingga malam  (masakan  panas).
Ia telah dirobohkan pada 20 Januari lepas tanpa   pengetahuan mahupun perbincangan  dengan Norehan dan isterinya selaku   penyewa kedai makan tersebut apatah lagi diberikan pampasan yang   sewajarnya.
(GAMBAR: SEDIH...Sampai kini, Norehan sedih dengan apa yang berlaku.)
"Saya  penyewa di situ, sepatutnya paling-paling tidak pihak yang  ingin  merobohkan kedai saya mestilah meminta pandangan dan berbincang   terlebih dahulu dengan saya sebagai tuan penyewa kedai," katanya.
Apabila   ditanya bagaimana detik-detik situasi perobohan kedai makan tersebut   dilakukan, Norehan dengan penuh kesal memberitahu "Jam 2 petang, seorang   yang bernama En. Raub datang ke rumah saya dan mengarahkan supaya   mengeluarkan barang-barang di kedai segera. Katanya, jentolak sudah siap   untuk merobohkan kedai tersebut!," ceritanya.
Selepas   bersiap-siap dan  bergegas ke kedai makan tersebut, beliau amat terkejut   dan sebab sekali apabila mendapati kedainya sudah dirobohkan semuanya!   Alatan memasak dan barang-barang yang masih berada di dalam kedainya   telah dilonggokkan di satu sudut tidak jauh daripada situ.
Kedai   makan yang beroperasi dari petang sehingga malam dan dikendalikan oleh   isteri beliau sendiri merupakan sumber penting pendapatan keluarga di   samping beliau turut menjadi penjual ikan dan sayur-sayuran di Felda   Tenang ini bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.
"Kedai   saya diroboh tanpa diberi sebarang pampasan atau ganti rugi.  Tahu-tahu,  dah dirobohkan. Kejam! Saya dan isteri bersusah payah  mencari sesuap  nasi melalui hasil pendapatan dari kedai makan ini yang  sudah beroperasi  lebih kurang dua tahun.
"Walaupun sekadar  menyewa, saya dan  isterilah yang memasang wiring, memasukkan api air,  memasang lampu dan  kipas dan semua kelengkapan2 tambahan yang lain  untuk kesempurnaan kedai  makan ini. Belanjanya bukan sedikit,"  tambahnya dalam nada penuh kesal.
(GAMBAR: HAPUS...Pada 24 Januari, kesan-kesan tapak kedai ini ditimbus dengan  batu dan pasir untuk memberi ruang kepada bilik gerakan Umno.)
Menurut Norehan, pendapatan bersih hasil jualan di kedai makan tersebut mampu mencecah RM80 hingga RM100 sehari.
Apabila   ditanya beliau lagi, adakah isu perobohan kedai makan ini ada  kaitannya  dengan Pilihanraya Kecil yang sedang berjalan di DUN Tenang,  beliau  menjawab;
"Saya tak mahu komen lebih-lebih. Tetapi semua  orang di  Felda Tenang ini pun sudah sedia maklum bahawa kedudukan kedai  saya  terletak berhadapan dengan Bilik Gerakan Umno Cawangan Kolam Air.  Ada  khabar angin menyatakan, petugas-petugas Umno di sini berasa tidak   senang apabila Bilik Gerakan mereka terlindung oleh kedai saya ini,"   beritahu Norehan.