
KENYATAAN AKHBAR
Sidang Akhbar PAS PRK N.05 Tenang
Hj Dzulkefly Ahmad,
Timb.Pesuruhjaya PAS Johor
Merangkap Pengarah Operasi PRK N.05 Tenang
25 Jan. 2011
Calon  Umno/Barisan Nasional bagi DUN N.05 Tenang telah berjanji kepada para  pengundi DUN Tenang untuk berkhidmat kepada penduduk. Beliau berjanji  akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua tanpa mengira latar  belakang dan kepercayaan,” (rujuk Bernama 19/1/2011)
Beliau  juga dilaporkan berkata “ Isu tanah adalah antara masalah utama yang  perlu diberi perhatian di Labis. Sebagai bekas penolong pegawai daerah  kecil Rengit, Batu Pahat dan pernah bertugas sebagai Penolong Pentadbir  Tanah Daerah Segamat, isu-isu berkaitan pemilikan dan urusan permohonan  tanah sering ditimbulkan oleh masyarakat setempat, terutama oleh  peneroka Felda dan Felcra”. (lihat Bernama 20/1/2011)
PAS  percaya sebelum calon Umno ingin berjanji kepada para pengundi DUN  Tenang adalah penting calon tersebut bersikap telus atau dilihat  bersikap telus dengan tidak menyembunyikan apa yang beliau telah lakukan  kepada seorang rakyat yang lemah, daif dan tidak berdosa semasa beliau  diamanahkan menjadi Pentadbir Tanah Daerah Segamat.
PAS  percaya bahawa sebelum mana-mana calon dari mana-mana parti politik  ingin meminta rakyat memilih mereka dalam mana-mana pilihanraya adalah  penting calon tersebut mengamalkan budaya ketelusan ( transparency )  kerana tanpa ketelusan sudah tentu rakyat tidak akan berupaya untuk  membuat satu keputusan yang bermaklumat (informed decision ) dalam  memilih calon yang mereka ingin untuk mewakili mereka.
Sukacita  dimaklumkan bahawa apa yang PAS ingin dedahkan dalam kenyataan akhbar  ini tidak sama sekali tergolong kepada satu serangan peribadi calon Umno  sebaliknya apa yang kami ingin dedahkan adalah menyentuh isu integriti  dan kelayakan calon Umno bagi mewakili rakyat di DUN Tenang..
Bertolak  dari senario di atas, adalah amat malang Umno mahupun calon Umno telah  gagal berkongsi dengan rakyat di DUN Tenang tentang fakta-fakta  berikut:-
a.  Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno yang pernah  diamanahkan menjawat jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat,  Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah disaman pada tahun 2004 oleh Mansor  Bin Mohamad di Mahkamah Tinggi Muar melalui Saman Pemula No : 24 ( L ) –  674-2004 berkaitan kes siasatan hartanah HS ( M ) 535, Lot 2091, Mukim  Jabi, Daerah Segamat yang dijalankan/dikendalikan oleh calon Umno pada  18/9/2003.
b.  Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno selaku Penolong  Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan satu Perintah Jualan  ke atas hartanah Mansor bin Mohamad telah dibuat oleh beliau pada  18/9/2003.
c.  Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno selaku Penolong  Pentadbir Tanah Daerah Segamat mengakibatkan hartanah Encik Mansor Bin  Mohamad telah dengan secara tidak sah dilelong pada 1/12/2003 dengan  harga RM 70,000-00.
d.  Bukankah calon Umno selaku Penolong Pentadbir Tanah Segamat telah  dengan secara cuai mengeluarkan Perintah Jualan hartanah Mansor bin  Mohamad tersebut tanpa pengetahuan Mansor Bin Mohamad yang mengakibatkan  beliau menjadi mangsa kepada satu kezaliman iaitu hartanah beliau  dilelong kepada pihak ketiga.tanpa pengetahuan beliau.
e.  Bukankah kerana kecuaian dan kelalaian calon Umno tersebut selaku  Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan nama baik  dan intergriti Pejabat Pentadbir Tanah Segamat terjejas dengan teruk  sekaligus menghakis keyakinan rakyat kepada ketelusan Pejabat Tanah  Daerah Segamat mengurus dan mengendalikan hartanah rakyat. .
f.  Bukankah Yang Arif Hakim Dato’ Asmadi Bin Haji Asnawi, Pesuruhjaya  Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar telah pada 29/1/2008 memutuskan  membenarkan tuntutan Mansor Bin Mohamad ke atas Pentadbir Tanah Daerah  Segamat dengan kos akibat dari kecuaian dan kelalaian mengedalikan isu  tersebut .
Di  atas fakta-fakta yang kami nyatakan di atas persoalan besar timbul  mengapakah calon yang telah dibuktikan oleh Mahkamah cuai dan lalai (  reckless and negligent ) dalam melaksanakan tugas awam yang diamanahkan  kepada beliau masih lagi dicalonkan oleh Umno bagi mewakili  rakyat/pengundi DUN Tenang. Tidakkah tindakan Umno ini menunjukkan  bahawa Umno tidak menghiraukan isu integriti dan kompetensi seorang  calon bagi mewakili rakyat atau pengundi DUN Tenang.
Pendedahan  ini menunjukkan bahawa sejak dari awal Umno memang dengan sengaja  menyembunyikan fakta –fakta yang kami bentangkan di atas kerana Umno  sedar rakyat di DUN Tenang akan menolak calon Umno tersebut jika  fakta-fakta ini diketahui oleh rakyat di DUN Tenang.
Berbekalkan  track record buruk calon Umno tersebut kami sesungguhnya percaya bahawa  rakyat di DUN Tenang tidak akan sama sekali bersedia ditipu dengah  janji manis calon Umno bahawa beliau bersedia menyelesaikan permasalahan  tanah di Labis sedangkan fakta dan keterangan menunjukkan secara jelas  bahawa tanah rakyat yang lemah dan tidak berdosa telah dilelong dengan  secara tidak sah oleh beliau kerana kecuaian kelemahan dan  ketidakcekapan beliau menjalankan tugasnya sebagai Penolong Pentadbir  Tanah Daerah Segamat.
Bagi  rakyat di Dun Tenang kami menyeru janganlah kita gadaikan maruah dan  masa depan kita dengan memilih calon yang telah dibuktikan Mahkamah  menganiayai rakyat yang lemah dan tidak berdosa.
Sidang Akhbar PAS PRK N.05 Tenang
Hj Dzulkefly Ahmad,
Timb.Pesuruhjaya PAS Johor
Merangkap Pengarah Operasi PRK N.05 Tenang
25 Jan. 2011