KUALA  LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Najib Razak mengadu kepada kerajaan Arab  Saudi dengan mendakwa dua putera kanan kerajaan tersebut, membiayai  Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,  menunjukkan Perdana Menteri itu, ketakutan dalam berdepan kemaraan  rakyat.
Ketakutan  Najib itu terserlah dalam laporan Cable News Network (CNN) bertajuk  “Saudis discover new funding channels for Taliban, al-Qaeda”, yang  disiarkan beberapa jam lalu.
Sedangkan,  laporan risikan Arab Saudi sebelum ini mendapati tiada bukti mana-mana  pegawai negara itu membiayai Anwar berdasarkan siasatan sulit yang  dibuat kerajaan itu.
“Saya  tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri sanggup ke luar negara, bukan  demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmah  saya. Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin perubahan yang bakal  melanda.
“Mereka  sedar rakyat Malaysia mulai mual dengan segala macam kebobrokan.  Kepimpinan Umno Barisan Nasional (BN), sebenarnya fobia dengan kemaraan  rakyat,” katanya pada satu kenyataan media hari ini.
Najib  pada tahun lalu dilaporkan memberi tekanan kepada Arab Saudi bagi  menyiasat dakwaan bahawa  Anwar ada menerima dana dari negara teluk  untuk kempen pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden  Umno itu didakwa mengadu kepada kerajaan Arab Saudi berikutan dua  putera kanan negara itu terbabit dengan pemberian dana berkenaan.
Anwar  berkata, laporan itu memperlihat reaksi Najib untuk menyekat kemaraan  Pakatan Rakyat yang saban hari membina sokongan rakyat demi  menyelamatkan Malaysia dari kepincangan pentadbiran BN yang lemah  mentadbir negara dan tiris akibat rasuah yang membarah.
Ketua  Umum KEADILAN itu berkata, Buku Jingga adalah dokumen mengandungi  saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari kerakusan dan  ketidakcekapan pimpinan Umno BN hingga menyebabkan Najib berasa takut.
“Najib sedar Buku Jingga mendobrak ilusi upaya pemulihan yang didendangkan Umno BN kepada rakyat.
“Akibat  tidak mampu berdebat secara terbuka dalam isu ekonomi negara, Najib  mula menyerang soal peribadi sedangkan hasrat debat terbuka itu  semata-mata mahu menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat Malaysia,”  katanya.