|      Kenyataan  Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Noh Omar yang mahukan YAB Dato'  Menteri Besar meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor kononnya  telah gagal mendapat 2/3 undi pada 24 Januari lalu, sememangnya sudah  diduga.
  Kenyataan yang dilakukan tanpa berpandukan kepada fakta  dan undang-undang menampakkan kedangkalan ilmu seseorang. Malang sekali  ia dikeluarkan oleh seorang yang masing-masing bergelar Timbalan Perdana  Menteri dan menteri kanan Persekutuan.
  Pelajar undang-undang pun  maklum bahawa mengikut Perlembagaan, hanya satu sebab sahaja yang  memberi alasan untuk memaksa seorang ketua kerajaan meletakkan jawatan.  Ini disebut dalam  Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana   apabila ketua kerajaan berkenaan hilang sokongan majoriti  dalam Dewan.
  Peruntukan  yang sama diulang oleh semua undang-undang tubuh negeri di Malaysia.  Jelas di Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari lalu, Tan Sri Abdul  Khalid Ibrahim masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Negeri  Selangor. Ia bukan sekadar majoriti mudah atau majoriti biasa walaupun  ia bukan majoriti dua pertiga. Sokongan yang miliki Tan Sri Abdul Khalid  Ibrahim  ialah 34 daripada 55  ahli Dewan.
  Kita tidak hairan  apabila kedua-dua menteri tersebut sanggup merendahkan tahap pengetahuan  kerana Umno mahu lari dari isu pokok yang sepatutnya menjadi asas  perbincangan. Rakyat jelas melihat bagaimana Umno sanggup lari dari  tanggung jawab mempertahankan kedaulatan negeri dan Raja.
  Malu  dengan tindakan biadab mereka tersebut lantas cuba memesongkan dan  mengalihkan isu sebenar dengan meminta sesuatu yang sememangnya mereka  tidak mempunyai hak. Pada mereka semuanya adalah politik kampungan,  sedang kita begitu serius dalam agenda mempertahankan maruah negeri yang  mendapat dokongan rakyat. Kita bersedia menyelesaikan kerenah  Persekutuan sejak 1993 yang gagal dikesan oleh Umno Selangor sejak   sekian lama.
  Pindaan Perlembagaan yang dicadangkan oleh  kerajaan negeri gagal kerana Umno-BN enggan menyokong. Kami bersangka  baik yang mereka komited dengan cita-cita mempertahankan kedudukan dan  peranan Raja-Raja. Rupa-rupanya Umno-BN hanya menanam tebu di bibir.  Mereka hipokrit; bertopengkan "rakyat didahulukan" dan "daulat tuanku"  namun membenarkan kedaulatan negeri dirobek Persekutuan dan menyokong  Raja hanya apabila ia sesuai dengan kepentingan mereka.
  Meskipun  kita gagal meminda Perlembagaan namun kita masih melihatnya sebagai  satu hikmah. Rakyat  dapat melihat dengan jelas kepura-puraan Umno  selama ini. Apatah lagi perilaku Ketua Pembangkang Umno pada hari  tersebut tidak ubah seperti badut sarkis yang membuat lawak di sepanjang  sidang Dewan.
  Bukan sahaja amat memalukan dengan kehadiran  tetamu luar termasuk dari pihak istana, lebih menjolok mata lagi ia  telah merendahkan martabat institusi Dewan, institusi tertinggi negeri  Selangor. Umno akan selamanya terhalang dari segi moral untuk  memperkatakan soal mempertahan maruah negeri dan rakyat Selangor apatah  lagi kedaulatan Raja-raja Melayu.
  Hakikatnya meskipun Pakatan  Rakyat sedih kerana gagal mengembalikan hak negeri dan Sultan namun Umno  jauh lebih mengecewakan apabila wakil-wakil rakyat mereka telah  menunjukkan mutu pemikiran dan hujah yang sangat rendah. Apatah lagi  bukan sahaja rakyat Selangor yang  melihatnya tetapi seluruh dunia  kerana sidang mesyuarat tersebut disiar secara langsung ke seluruh  dunia. Walau apapun, Pakatan Rakyat di Selangor tetap bersyukur dengan  ketetapan Yang Maha Esa.
 
   FAEKAH HUSIN SETIAUSAHA POLITIK KEPADAMENTERI BESAR SELANGOR  |