Sabtu, 23 Oktober 2010

Rosmah Mansor Penaung IIF Hina Islam: ILMAM Kesal Dengan Tindakan Isteri Perdana Menteri

Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia baru-baru ini telah dikejutkan dengan satu penganjuran pertunjukkan fesyen yang mana secara jelas telah menghina Islam dan Rasulullah s.a.w.

Pertunjukkan fesyen ini telah menggunakan nama Islam tetapi langsung tidak menepati cara pemakaian Islam bahkan mempamerkan satu tindakan mencemarkan kesucian Islam.

Apa yang dikesalkan adalah penaung kepada pertunjukan fesyen ini yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Datin Seri Rosmah Mansor yang beragama Islam.

Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) dengan dukacitanya melahirkan rasa kesal yang tidak terhingga terhadap penglibatan Datin Seri Rosmah sebagai penaung kepada IFF yang juga merupakan seorang muslimah khususnya dan kesal terhadap penganjuran program ini secara umumnya.

Adakah umat Islam belum cukup terhina dengan pelbagai siri pencemaran dan pengkhianatan barat terhadap Islam dengan terbitnya karikatur-karikatur yang menghina Rasulullah s.a.w? Adakah kita puas melihat Islam dipermainkan begitu sahaja dan banyak lagi syubhat-syubhat yang telah dimainkan oleh musuh Islam untuk menghancurkan maruah Islam? ILMAM melahirkan satu kebimbangan terhadap kepimpinan negara yang tidak prihatin terhadap isu ini. Ini secara jelas adalah satu perancangan jahat musuh Islam untuk merosakkan pemikiran umat Islam di mana sahaja mereka berada.

ILMAM dengan ini menyeru kepada seluruh umat Islam untuk membantah dan mencela IFF ini dengan apa jua cara khususnya para ilmuan Islam yang berada dalam kerajaan Malaysia atau parti pemerintah agar turut sama bangkit membantah dan tidak menjadi ‘Syaitan Bisu’. Ingatlah firman Allah s.w.t:

"Wahai orang-orang yang beriman kenapah kamu menuturkan apa yang kamu tidak lakukannya? Sungguh besar kemurkaan Allah pada kata-kata kamu yang tidak dikotakan!"(Surah As-Sof:2-3)

ILMAM juga menyeru agar pihak yang terlibat agar segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi kemungkaran ini. Setiap individu umat Islam harus berhati-hati dalam setiap tindakan kerana kemungkinan tindakan tersebut akan dikira sebagai perkara yang membatalkan syahadah tanpa disedari walaupun apa yang dilakukan itu tidak berniat untuk menghina. Semua pihak terutama pihak yang berkuasa haruslah insaf dan sedar akan tanggungjawab masing-masing untuk menjaga agama dan kesucian aqidah Islam. Ingatlah pesanan Baginda Nabi Muhammad s.a.w bahawa Islam itu berada di tempat paling tinggi dan tiada sesuatu pun yang lebih tinggi daripadanya.

Ustaz Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli
Presiden,
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)

Jumaat, 22 Oktober 2010

Mohon maaf dan lantik penasihat syariah, kata Asri




MALAYSIA KINI | Mereka yang terlibat dengan penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu perlu membuat permohonan maaf kepada umat Islam kerana tindakan mereka itu adalah satu penghinaan kepada Islam, kata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Sama sekali ia tidak Islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun tidak menamakan sesiapa, namun kenyataan Dr Asri itu merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan yang membidas tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung yang Festival Busana Muslim itu.

“IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

“Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini,” katanya.

Menurut Dr Asri, adalah bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti itu kerana ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia.

“Apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan.

“Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Asri yang kini di Doha, Qatar mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan fesyen Islam supaya mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu.

“Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak,” katanya lagi.

Pada festival di Monte Carlo itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.
Rosmah, pada pembukaan majlis itu dilaporkan berkata Fesyen busana Muslim kian pesat berkembang menjadi perniagaan menguntungkan dengan pasaran semasa kini dianggarkan bernilai lebih US$96 bilion (RM302 bilion) setahun.

Bernama juga melaporkannya sebagai berkata: "Festival Fesyen Islam ini sebenarnya bertujuan memberi noktah kepada kelaziman bahawa wanita Islam tidak mempunyai citarasa gaya.

“Sebaliknya, pakaian berkonsepkan Islamik mempunyai gaya yang tersendiri, dan hari ini ia mulai menarik semakin lebih banyak perhatian, kerana trend arus perdana semakin menjadi tidak senonoh, mengghairahkan dan provokatif, tidak menarik kepada lebih ramai pengguna konservatif," katanya.

Didakwa 'Hina Islam', Rosmah Perlu Minta Maaf



Sekurang-kurangnya empat perhimpunan aman anjuran Dewan Pemuda PAS di adakan di tiga negeri sebagai membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu.

Demontrasi itu berlangsung Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan di Pahang dan Masjid Pengadang Baru di Kuala Terangganu. Manakala dua lagi bantahan berlangsung di Pulau Pinang iaitu di Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh dan Masjid Hashim Yahya.

Semua bantahan itu diadakan selepas solat Jumaat yang disertai oleh ahli jamaah yang selesai menunaikan solat berkenaan.

Umumnya, ucapan yang disampaikan oleh pemimpin Pemuda PAS menegaskan tindakan penganjuran festival yang memaparkan model yang memperagakan pakaian dengan tulisan "Muhammad" secara terbalik dalam tulisan Arab adalah satu penghinaan kepada Islam.
Tak sempat berucap

Di Masjid Sultan Ahmad Shah, bantahan berkenaan diketuai oleh ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan, yang turut disertai antaranya ketua Pemuda PAS negeri Suhaimi Said.

Perhimpunan yang berlangsung selama setengah jam bermula 1.50 petang disertai kira-kira 1,000 jemaah termasuk penyokong parti sebelum kira-kira 15 anggota polis mengarahkan perhimpunan itu dihentikan.

"Saya tidak sempat hendak berucap. Polis mengarahkan kira berhenti. Kita mematuhi arahan polis dan tiada tangkapan dibuat," kata Nasrudin kepada Malaysiakini petang ini.

Sementara itu, di Masjid Pengadang Baru, bantahan aman diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri Mohd Nor Hamzah. Beliau juga adalah ADUN Bukit Payung.

Ahli jawatankuasa PAS Terengganu Azman Shapawi Abd Rani turut menyampaikan ucapan berhubung isu tersebut sewaktu dalam perhimpunan itu diadakan.

"Tidak sepatutnya festival ini dianjurkan oleh orang Islam. Ia nampak seolah-olah penghinaan kepada Islam.

Kita kata festival fesyen Islam, tapi model berpakaian menjolok mata. Ia satu penghinaan dan tidak sepatutnya berlaku di dunia," katanya.

Perhimpunan selama 30 minit itu, itu dihadiri kira-kira 1,500 yang selesai menunaikan solat Jumaat, berlangsung dengan aman tanpa kehadiran anggota polis.

Sementara itu, ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah mengetuai kira-kira 200 ahli jamaah dan penyokong parti itu dalam perhimpunan aman di Masjid Permatang Janggus.

Mufti, ulama muda Umno dicabar
Dalam ucapannya antara lain mencabar semua mufti dan ulama muda Umno untuk menjelaskan isu berkenaan yang didakwanya menghina Islam dan Rasulullah SAW.
Bantahan itu berlangsung selama 30 minit tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.

Sementara itu, beberapa buah negeri antaranya Perlis dan Kedah dikatakan masih merancang mengadakan demonstrasi kerana "rakyat perlu mengambil masa untuk memahami isu berkenaan".

Manakala Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini membatalkan hasrat mereka mengadakan bantahan. Mereka, sebaliknya mengambil pendekatan untuk berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Mufti Wilayah Persoal Tujuan Guna Nama Muhammad



SHAH ALAM 23 Okt: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya berkata, berfesyen dalam mempromosikan busana Muslim adalah tidak salah, namun ia perlu menghormati perkara-perkara utama, seperti ayat suci, kalimah dan perkataan seperti 'Allah' dan 'Muhammad'.

"Apa maksud 'Muhammad' disitu? Adakah nama dia (si pemakai), atau Nabi Muhammad (SAW)? Maka kita tak tahu. Jadi kita kena tengoklah apa tujuan dia tulis 'Mim Ha Mim Dal' itu? Adakah itu nama Nabi Muhammad atau pun nama dia?

"Dia kena jagalah. Boleh, tetapi kalau kalimah-kalimah Allah itu dicampak merata, itu dah menghina kalimah Allah. Tulisan kalimah-kalimah Allah, atau Rasulullah pada baju yang dipakai. Dia kena jagalah penghormatan kalimah Allah itu. Tak boleh dicampak ikut suka sahaja," jelasnya.

Hashim yang dihubungi TV Selangor hari ini menjelaskan, beliau tidak dapat memberikan respon mengenai isu Festival Fesyen Islam yang dianjurkan oleh isteri Perdana Menteri. Datin Seri Rosmah Mansur, kerana masih belum meneliti perkara tersebut.

Namun begitu, beliau masih boleh memberikan pandangannya mengenai garis panduan dan adab dalam berpakaian mengikut syarak.

"Fesyen itu tidak salah, tapi mesti menutup kepala, mesti menutup dada. Kemudian kalau nak fesyenkan sikit, itu tidak menjadi masalah. Kalau terlampau nak fesyen, kadang-kadang terlalu nipis. Kadang-kadang tutup semua, tetapi terlalu ketat. Tak jadi juga. Tak menepati menutup aurat.

"Garis panduannya mudah sahaja. Tiap-tiap sama ada lelaki atau perempuan Muslim dan Muslimah menutup aurat. Dan garis panduan menutup aurat itu telah dijelaskan sama ada di dalam Al-Quran atau pun dalam hadis-hadis Nabi (SAW).

"Kalau lelaki, auratnya antara pusat dan lutut. Itu aurat asalnya. Atas dari pusat dan bawah daripada lutut itu tidak dikatakan aurat. Itu dari segi umumnya.

"Walau macam mana pun, kalau sekiranya orang lelaki tadi berhadapan dengan wanita yang bukan mahram. maka dia juga dituntut menutup tubuh badannya. Itu adabnya.

"Dari segi perempuannya, mesti menutup kepalanya dan bertelekung menutup dadanya. Macam wanita yang pakai telekung hari ini yang labuh sedikit menutup dadanya. Kemudian pakaian itu tak boleh terlaku ketat sehingga menampakkan tubuh badannya. Itu lah garis panduan. Itu jelaslah," jelas Hashim.

"Kalau longgar pun, tapi terlalu nipis sehingga dapat melihat, terbayang kulitnya, maka tidak menepati tutup aurat. Jadi maksudnya pakaian kena agak longgar, disamping tidak nipis sehingga menampakkan tubuhnya di bawah kain itu," tambahnya lagi.

Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah yang mahu mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat hari ini bagi membantah insiden itu, sebaliknya memutuskan untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Penerangannya, Fadhil Osman lapor portal Malaysiakini bercadang menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara tersebut.

Pengakuan Rozaliya Mat Lazim: Selalu Bergaduh, Diekori Lelaki, Kena Ragut

KEMAMAN: Rozaliya Mat Lazim, 20, bakal pengantin yang mencetuskan kontroversi hingga mendapat liputan meluas media mengaku tindakannya melarikan diri ke Kuala Lumpur turut berpunca tindakan keluarganya yang enggan memenuhi permintaannya supaya memutuskan pertunangannya.
Menurutnya, dia mengambil keputusan itu selepas hubungan dengan tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, sentiasa menghadapi masalah menyebabkannya hilang kepercayaan kepada lelaki berkenaan.

“Saya sudah tawar hati kerana sikapnya sudah banyak berubah dan tidak tahu menghargai diri saya, malah banyak tindakannya melukakan hati dan perasaan saya.

“Tindakan saya melarikan diri daripadanya kerana sudah tidak sanggup lagi meneruskan perkahwinan itu selepas permintaan saya untuk memutuskan pertunangan tidak dilayan keluarga sebelum ini.

“Saya rasa lebih baik saya berseorangan ketika ini daripada menanggung hati yang sentiasa terluka akibat sering berselisih faham dengan Helmi, malah hati saya sudah tertutup untuknya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Cheneh Baru, di sini, semalam.

Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku dan sudah berbincang semula dengan keluarga dan mereka menerima keputusannya untuk memutuskan pertunangan.

“Keluarga saya meminta keluarga pihak lelaki datang ke rumah untuk memutuskan pertunangan ini dalam masa terdekat,” katanya.

Rozaliya mencetuskan kontroversi apabila didapati hilang selepas ditinggalkan tunangnya seketika selepas mereka membeli barang keperluan perkahwinan mereka di Kuantan, 13 Oktober lalu.

Selepas membeli-belah di sebuah kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan, Mohd Helmi bergegas pulang ke pejabatnya di Bandar Cheneh Baru kerana perlu menyelesaikan urusan penting dan berjanji menemui Rozaliya pada jam 3 petang.

Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dikejutkan dengan SMS dihantar Rozaliya mengatakan dia diekori dua lelaki dan meminta tunangnya itu segera menjemputnya.

Mengulas kejadian itu, Rozaliya berkata, pada hari kejadian, Mohd Helmi menjemputnya ke Kuantan bagi membeli barangan keperluan perkahwinan mereka yang dijadualkan 12 November depan dan sepanjang perjalanan itu, mereka sentiasa berselisih faham dan bergaduh.

“Selepas membeli sebahagian keperluan, Helmi meninggalkan saya di depan sebuah pasar raya kerana dia mahu kembali ke pejabatnya kerana urusan kerja dan meminta saya menunggunya di situ.
“Selepas itu, saya pergi ke sebuah bank berdekatan mengeluarkan wang bagi membuat bayaran tempahan set pelamin sebelum menyedari diekori dua lelaki.

“Selepas mengeluarkan RM1,500, saya melalui jalan belakang untuk menunggu Helmi di depan pasaraya berkenaan dan ketika nak memasukkan wang ke dalam beg tangan, tiba-tiba saya diragut dua lelaki berkenaan.

“Saya tergamam dan terkejut dengan kehilangan wang itu dan ketika itu terus mengambil jalan singkat meneruskan perjalanan ke terminal bas berhampiran.

“Ketika itu fikiran saya berkecamuk, buntu dan mengikut saja langkah kaki sebelum membeli tiket bas ke Kuala Lumpur dan turun di kawasan Bukit Bintang,” katanya.

Rozaliya berkata, sepanjang kehilangannya, dia sempat bekerja dua hari di sebuah kedai butik pakaian sekitar Bukit Bintang, tetapi kemudian berhenti kerja kerana bimbangkan keselamatannya yang pulang lewat malam.

“Selepas itu, saya bekerja pula di kedai serbaneka 24 jam di kawasan itu juga selama dua hari sebelum pengurus kedai memaklumkan kepada polis yang saya bekerja di situ,” katanya.
Katanya, dia bersyukur kerana selamat pulang ke pangkuan keluarga dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu. -Hmetro- Suhaidi Mohamed Amin

Khamis, 21 Oktober 2010

Wang Rakyat Digunakan Untuk Melancong

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR - Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen digelar sebagai "Menteri Melancong" apabila membelanjakan sebanyak RM245,000 semasa menjalankan tugas selama 10 hari bersama pasangannya.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua dalam kenyataan kepada media semalam berkata apa yang merunsingkan selepas Dr Ng memegang jawatan tersebut, beliau telah mengadakan lawatan ke Chelsea Flower Show selama 13 hari di Amsterdam, London dan Paris bersama 4 wakil dari kementerian dan wakil Perbadanan Putrajaya serta Jabatan Landskap Negara pada Mei 2009.

Lawatan itu telah membelanjakan wang rakyat sebanyak RM236,000.

Kos menampung lawatan rombongan 7 hari menjelajah ke tiga buah negara tersebut mencecah RM35,000 setiap seorang sehari.

yenyenPada Mei 2010 pula, beliau bersama seorang wakil Perbadanan Putrajaya sekali lagi melawat ke Chelsea Flower Show tetapi kali ini kos pembiayaan rombongan meningkat kepada RM491,000.

Tian Chua juga turut mendedahkan lawatan kerja Dr Ng ke Singapura selama tiga hari dari 14 hingga 16 Disember 2009 pula membabitkan kos sebanyak RM90,000.

"Jumlah ini tidak masuk akal, jika Menteri menaiki kapal terbang MAS yang bertaraf kelas bisnes pun tidak sampai RM2,000 (perjalanan ulang-alik) dan jika menginap Hotel Mandarin Oriental yang bertaraf 'Suite President' yang bernilai hampir RM13,000. Ini bermakna, kos untuk dua orang hanya bernilai RM30,000.

"Keadaan itu juga berlaku pada 1 hingga 2 Oktober 2010 di mana Menteri membelanjakan sebanyak RM78,000," kata beliau.

Disebalik kos perjalanan ke luar negara yang dianggap boros, Kementerian Pelancongan mengurangkan kos promosikan pelancongan secara mendadak kepada RM100 juta pada tahun ini berbanding RM320 juta pada tahun 2008.

"Berbanding dengan bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman yang menjalankan tugas rasmi sebanyak enam kali setahun, Dr Ng pula telah ke luar negara sebanyak 15 kali dalam tahun ini sahaja.

"Apa yang membimbangkan kos rombongan Menteri tidak diberi butiran yang jelas dan ini mendatangkan syak wasangka berlakunya penyelewengan wang peruntukan tersebut," jelas Tian lagi.

Sebelum itu, Tian Chua dalam soalan lisan meminta Kementerian Pelancongan memberikan penjelasan secara terperinci berhubung rombongan rasmi Menteri dalam dan luar negeri termasuk bilangan pegawai dan kos sejak 2008 sehingga kini.

Beliau juga meminta Menteri menyatakan kos mempromosi pelancongan Malaysia di dalam dan luar negeri mengikut kategori dalam tempoh tersebut.

Menjelang PRU-13, Bagaimana lanskap politik kalau Anwar-Ku Li bergabung?

Tidak ramai pemimpin yang berjaya memerintah selama 2 dekad mentadbir sesebuah pemerintahan kerajaan di Malaysia. Diperingkat pusat setakat ini hanya Tun Dr. Mahathir sahaja yang berjaya melakukannya dengan memerintah selama 22 tahun, satu rekod yang mungkin sukar dilakukan lagi selepas ini.

Tetapi diperingkat negeri, terdapat beberapa pemimpin kerajaan negeri yang berjaya melakukannya, iaitu Tan Sri Osman Saat (bekas Menteri Besar Johor), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (bekas Menteri Besar Terengganu) dan Tun Lim Chong Eu (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) serta Pehin Sri Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak) dan Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan).

Rekod semasa Menteri Besar atau Ketua Menteri paling lama berkuasa setakat ini masih dipegang oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (gambar – kanan), 74 yang juga Presiden Parti PBB, sebuah komponen BN dari Sarawak selama hampir 30 tahun yang memerintah negeri Sarawak sejak dari tahun 1981 hingga sekarang.

Manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya baru memerintah Kelantan sebagai Menteri Besar hampir 20 tahun sejak 20 Oktober, 1990 dijangka berjaya memasuki tempoh tersebut jika pilihanraya umum tidak diadakan secara mengejut sebelum 20 Oktober tahun ini.

Kejayaan PAS memerintah Kelantan ketika itu adalah kerana sikap PAS yang bersedia bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li bersama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), serpihan UMNO berjaya mengembelengkan kekuatan pembangkang Melayu/Islam membentuk Angkatan Perpaduan Ummah dengan PAS-Berjasa-Hamim-Kimma dan membentuk Gagasan Rakyat dengan DAP-IPF-PRM-PBS.

Kemampuan Ku Li menyakinkan PBS komponen BN yang memerintah negeri Sabah ketika itu keluar BN beberapa hari menjelang pilihanraya umum1990 untuk bersama dengan Gagasan Rakyat ternyata memberikan kejutan yang besar kepada BN. Kegagalan pembangkang terutama PMS46 di Pulau Pinang dan lain-lain negeri adalah disebabkan serangan saat-saat akhir terhadap Ku Li oleh media BN yang gagal ditangkis oleh pembangkang.

Tetapi hasilnya cukup memberangsangkan di seluruh negara walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Selain negeri Sabah yang berada dalam genggaman pembangkang, pembangkang (APU) Berjaya mencipta yang rekod yang tidak pernah dicipta dari dulu hingga sekarang, yakni menyapu bersih semua kerusi di Kelantan (APU:39, BN:0).

Saya tidak berapa ingat berapa lama Lim Chong Eu dari Gerakan memerintah Pulau Pinang tetapi lebih 20 tahun dan beliau hanya berjaya diundurkan dengan rakyat menolaknya dalam pilihanraya umum tahun 1990. Walaupun Gagasan Rakyat (GR) tidak mampu merampas Pulau Pinang tetapi berjaya menamatkan era pemerintahan Lim Chong Eu.

Begitu juga dengan Tan Sri Wan Mokhtar dan UMNO/BN yang memerintah Terengganu juga terselamat dalam pilihanraya umum tahun 1990 tersebut tetapi rakyat berjaya menolaknya dalam pilihanraya umum 1999 akibat kezaliman melampau UMNO/BN terhadap Anwar Ibrahim setelah lebih 25 tahun Wan Mokhtar memerintah Terengganu menyebabkan rakyat muak.

Tetapi BN cepat menyedari mood rakyat yang sudah menolak Tun Mahathir pada tahun 1999 menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik menggantikannya dengan muka baru, Tun Abdullah Ahmad Badawi (gambar – kiri ) atau mesranya dipanggil Pak Lah yang dianggap “Mr. Clean” menyebabkan rakyat memberikan peluang kepadanya dengan mengembalikan Terengganu kepada BN dan Kelantan pun hampir-hampir tumbang dalam pilihanraya umum tahun 2004.

Tetapi disebabkan Pak Lah yang leka dengan kemenangan yang terlalu besar dalam sejarah politik Malaysia dan tidak menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat menyebabkan rakyat bangkit memberikan pengajaran kepadanya dan sekalgus tidak lagi mempercayai UMNO/BN pada pilihanraya umum tahun 2008.

Jika tahun 1990 ekoran keterlibatan Ku Li bersama pembangkang, menyebabkan negerinya Kelantan berjaya di tawan dari UMNo/BN, keterlibatan Anwar pula pada tahun 2008 menyebabkan bukan sahaja negerinya Pulau Pinang tumbang tetapi merebak kepada Kedah, Perak dan Selangor.

Selepas 20 tahun Kelantan diperintah PAS, Ibrahim Ali bercita-cita jadi MB?

PAS dijangka akan menyambut ulangtahun ke-20 pemerintahan mereka pada bulan oktober akan datang ini. Selain daripada mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berjaya mengemudi Kelantan selama 20 tahun, saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan rakyat Kelantan yang berjaya menabalkan seorang Sultan baru mengikut perlembagaan tidak seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN yang juga menabalkan Sultan baru yang dengan dengan kontroversi dalam tahun 1990’an dulu.

Ketika pemimpin-pemimpin PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk terus menerajui Kelantan selepas ini, dilaporkan Ibrahim Ali, Presiden sebuah NGO dikenali sebagai PERKASA mula memberitahu rakyat bahawa beliau bersedia menjadi Menteri Besar Kelantan.

Dilaporkan beliau berkata, “PAS selama ini tidak buat apa-apa. Sebagai contoh masalah air di negeri ini sehingga sekarang masih belum selesai. Jadi kalau nak Kelantan maju, ikut saya. Kalau nak Kelantan maju, saya adalah orangnya kerana saya boleh membawa perubahan kepada negeri ini. Kelantan akan menjadi lebih baik sekiranya beliau menjadi Menteri Besar”

Dalam pilihanraya umumyang lepas, beliau diberikan ‘ehsan’ bertanding kerusi PAS di Parlimen Pair Mas setelah puas mengekori Tuan Guru Nik AbdulAziz dan dan memujuk PAS memberikan laluan kepada beliau bertanding dalam Pilihanraya Umum tahun ke-12 tahun 2008.

Ibrahim Ali (gambar – kanan) memenangi kerusi Pasir Mas buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 diatas tiket UMNO dengan memperoleh 55 peratus atau 15,711 undi dan mempertahankan kerusi itu empat tahun kemudian (1990) atas menggunakan tiket S46. Selepas itu tidak pernah memenangi sebarang kerusi parlimen atau DUN sehinggalah beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 atas tiket PAS setelah menewaskan calon Umno dengan majoriti 8,991 undi

Apa yang menarik dalam analisa sepintas lalu ini, Ibrahim Ali tidak ada kekuatan politik di Kelantan hatta di Pasir Mas sendiri yang dikatakan kubunya kerana hanya memenangi kerusi parlimen Pasir Mas tersebut atas tiket UMNO (1986) dan Semangat 46 (1990) serta PAS (2008).

Beliau bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir tetapi hanya mendapat sekitar 500 undi sahaja dan kalah dengan hilang wang deposit kepada calon UMNO, Hanafi Mamat selepas pilihanraya umum 2004 dalam pertandingan 3 penjuru. Begitu juga dalam pilihanraya umum 2004 bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas tetapi tewas kepada Calon PAS Ismail Noh dalam pertandingan 3 penjuru.

Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau akan menjadi Menteri Besar Kelantan? Kalau inilah calon Menteri Besar Kelantan yang hendak menggantikan Nik Abdul Aziz, beliau akan mengikut jejak Awang Adek, calon Menteri Besar Kelantan dalam pilihanraya umum yang lepas.

Apakah PERKASA ini akan ditukarkan menjadi sebuah parti politik seperti BERJASA yang beliau juga menjadi perancangnya pada penghujung tahun 1970’an dahulu ketika krisis Asri-Mohd Nasir dahulu? Kita lihat dahulu rentak dan tarinya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO yang sudah tidak mendapat tempat dalam UMNO sama seperti IbrahimAli juga.

Bagaimana agaknya politik Malaysia jika Ku Li yang juga sudah tersisih dalam UMNO bergabung dengan Anwar dalam pilihanraya umum ke 13 nanti? Jika Anwar dikatakan berjaya memujuk SAPP keluar BN selepas PRU ke-12 pada 2008, mampukah Ku Li sekali lagi memujuk PBS keluar BN jika beliau memilih untuk bergabung dengan pembangkang menjelang PRU-13 nanti?

Artikel ini diterbit untuk akhbar Siasah

Pemuda PAS berhimpun bantah Rosmah

Harakahdaily |

Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan himpunan aman sebagai membantah tindakan Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w. pada penganjuran Festival Busana Muslim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Himpunan tersebut akan diadakan di masjid negeri seluruh Malaysia selepas solat Jumaat, 22 Oktober ini.

"DPPP mengecam sekeras kerasnya tindakan Rosmah Mansor yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

"Kita desak Rosmah bertaubat dan minta maaf kepada umat Islam secara terbuka," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Pada festival tersebut, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Tambahnya, pakaian yang diperagakan itu bukan pakaian Islam tetapi pakaian wanita jalang dan jahiliah.

"Sungguh memalukan dan jelas menunjukkan Rosmah jahil dan berniat jahat terhadap Islam," tambahnya lagi.

Sehubungan itu katanya, DPPP menggesa seluruh ummat Islam bangkit membantah tindakan Rosmah dan mendesak isteri Perdana Menteri itu bertaubat dan mohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

Rosmah merupakan Penaung Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion Festival.

Selasa, 19 Oktober 2010

20 Kedai Pasar Chow Kit Terbakar

Kuala Lumpur: Kira-kira 20 deretan kedai yang menjual pelbagai barangan musnah dalam kebakaran di Pasar Chow Kit di sini, malam tadi.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di kedai yang menjual barangan runcit, pakaian dan buah-buahan itu disedari seorang pemilik restoran sebelum menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9 malam sebelum menghantar 50 anggota dan enam jentera dari empat Balai Bomba dan Penyelamat berdekatan untuk memadam kebakaran itu.

“Bomba mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan kebakaran kerana laluan sempit. Usaha memadamkan kebakaran juga mengambil masa kerana keadaan gelap.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pemeriksaan mendapati, kebakaran yang berlaku itu dipercayai berpunca daripada litar pintas,” katanya di sini, malam tadi.

Azizan berkata, jumlah kerugian membabitkan 20 peniaga itu masih dalam siasatan dan operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya kira-kira jam 11.30 malam. -BH

Isnin, 18 Oktober 2010

Malek Noor Larikan Diri Dengan Bercawat

Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini. - Foto oleh M AZHAR ARIF

JAGUH bina badan negara, Datuk Malek Noor,53, benar-benar berubah selepas meninggalkan bidang sukan yang telah menaikkan namanya suatu ketika dahulu.

Sejak tahun 2002, Malek mula menyedari hidupnya selama ini banyak menyimpang dan dia sering terleka dengan segala keseronokan yang tiada penghujungnya.

Tapi lelaki ini merasakan dirinya amat bertuah kerana selepas meninggalkan dunia sukan, dia mendapat petunjuk untuk menjadi seorang manusia yang lebih berguna kepada agama dan dirinya sendiri.

Bersyukur kerana pada usia 46 tahun, Tuhan masih lagi menyayanginya, Malek menghabiskan masa dengan menguruskan lima buah syarikat yang antaranya ialah Sportec’s Divemate Sdn. Bhd., KK Design dan Universal Fitness and Leisure (UFL).

“Sekarang saya dah dapat merasai betapa bersihnya jiwa selepas meninggalkan dunia hidup saya yang penuh kemilau suatu ketika dahulu.

“Saya masih teringat peristiwa ketika saya mahu berubah, saya mengadakan pertunjukan bina badan di Hong Kong dengan memakai cawat. Ketika itu saya benar-benar rasa bersalah terhadap diri sendiri.

Selain Malek Noor, Amy (Search) turut diundang menjadi ahli panel rancangan tersebut.

“Apabila menang dalam pertandingan itu dan orang mahu ambil gambar, saya cepat-cepat lari masuk ke bilik,” katanya mengimbas kenangan silam.

Malek ditemui semasa rakaman rancangan Selami Jiwa yang dihoskan Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah baru-baru ini. Selain Malek Noor, Amy (Search) turut diundang menjadi ahli panel rancangan tersebut.

Ujar Malek, tidak kiralah seseorang itu apa juga agamanya, bukanlah mudah untuk berubah kalau tidak ada kekuatan dan semangat terhadap agama dan Tuhan masing-masing.

Malah akui Malek dia juga amat sukar untuk menjauhkan diri dengan tempat maksiat sehinggalah dia cuba untuk tidak bergaul dengan orang yang selalu mengajaknya untuk berada di tempat-tempat itu.

Menurut Malek, selepas insaf dengan keseronokan dunia yang dilaluinya barulah dia terasa banyak perkara yang ingin dilakukannya tidak kesampaian lebih-lebih lagi hajatnya seperti mahu mencium arwah ibunya sepuas-puas hati.

Dalam pada itu, Malek juga enggan mengejar harta yang dianggapnya tidak dapat dibawa ke mana-mana kerana dia berpendapat harta juga boleh mengubah seseorang menjadi tamak dan bangga diri.

“Dulu pernah sekali saya membeli jam tangan berharga RM140,000 ketika mahu pergi bersyarah di sebuah tempat di Kedah. Bila saya pergi ke tandas, ia tercicir dan saya hanya sedar ketika mahu pulang ke Kuala Lumpur.

“Saya tak kesal jam itu hilang kerana saya anggap ia mungkin bukan rezeki saya. Siapa yang jumpa itu, rezeki dialah,” katanya yang pernah membintangi filem Juara dan Ujangsebagai pelakon utama tidak lama dulu.

Sementara itu, walaupun sudah dua kali bercerai, Malek masih lagi mencari seorang wanita yang sesuai untuk dijadikan sebagai isterinya.

Bagaimanapun segala-galanya diserahkan kepada Tuhan untuk menentukan jodohnya itu.

Siswi tergadai body akibat laman sembang Facebook


Hobi jerat diri...

Mymetro | KUALA LUMPUR: Pada mulanya dia hanya suka-suka mencari kenalan baru menerusi laman sembang ketika melayari Internet sambil mengulang kaji pelajaran.

Itu rutin Syafika, 19, sama ada ketika berada di institusi pengajian tinggi atau pulang ke rumah.

Tapi, hobi itu akhirnya menjadi racun apabila terjebak dengan lelaki miang yang rupa-rupanya mempunyai niat serong di sebalik perkenalan di alam maya.

Menceritakan kisah silamnya, Syafika berkata, pada mulanya dia menggunakan laman sosial hanya untuk mencari kenalan.

Namun, katanya selepas mempunyai ramai kenalan lelaki, ada antara mereka mengajak dia keluar malah tidak kurang juga sanggup membayar untuk 'tidur' bersamanya.

Pada awalnya dia agak keberatan untuk menerima pelawaan berkenaan, bagaimanapun, selepas dipujuk dan ditawarkan bayaran lumayan, akhirnya dia tewas dan terjebak dalam kancah kehidupan sosial terbabit.

“Sebelum ini, saya hanya melakukan hubungan seks dengan teman lelaki. Selepas kami berpisah, saya tidak berjumpa mana-mana lelaki dan akhirnya tidak dapat menahan nafsu sendiri.

“Sebab itu, saya menerima pelawaan seorang lelaki untuk menemaninya. Dia memberikan saya sejumlah wang tetapi dengan syarat saya perlu mengadakan hubungan seks dengannya.

“Kerana nafsu dan wang tunai yang ditawarkan, akhirnya saya merelakan diri dinodai. Sejak itu, saya aktif melakukan kegiatan ini meskipun masih belajar,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Bagi mendapatkan kemewahan dengan cara mudah selain melampiaskan nafsunya, Syafika mula menjerat kaum lelaki hidung belang.

“Sejak berjinak-jinak dengan kegiatan berkenaan, saya mula berasa kemewahan. Dengan merahsiakan segala kegiatan ini daripada pengetahuan keluarga, saya semakin aktif melayan lelaki yang dahagakan seks menerusi laman sosial.

“Kini, saya mengenakan bayaran RM80 kepada sesiapa yang menghubungi saya di laman sosial terbabit. Setidak-tidaknya, saya dapat mengumpul wang tambahan sebanyak RM500 sebulan,” katanya.

Bagi mengelak identitinya diketahui, Syafika bertindak memadamkan akaun laman sosialnya selepas mendapat mangsa yang dikehendaki kemudian membukanya semula atas nama berbeza.

“Saya meletakkan gambar sebenar dalam keadaan yang mengghairahkan. Selepas ada lelaki yang cuba berkenalan, saya memberitahu perkara sebenar dan kebanyakannya setuju untuk membayar.

“Kemudian, mereka memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun bank saya dan menjemput saya di tempat yang dijanjikan. Selepas itu, terpulang kepada mereka untuk membawa saya ke mana saja.

“Selepas selesai, saya akan memadam akaun laman sosial dan buka yang baru. Setidak-tidaknya, tidak ada yang dapat mencari saya kembali,” katanya. Menurut Syafika, setakat ini aktiviti nakalnya masih belum diketahui ibu bapanya kerana dia bijak menyembunyikan kegiatan berkenaan.

“Kadang-kadang, saya 'online' di rumah saja. Ibu dan ayah tidak menghalang saya menggunakan Internet lebih-lebih lagi atas alasan menyiapkan tugasan universiti.

“Lagipun, mereka tidak mengesyaki apa-apa memandangkan penggunaan laman sosial kini menjadi kepentingan ramai termasuk pelajar seperti saya. Begitupun, saya bukanlah pelacur tetapi lebih kepada golongan bohsia yang sukakan aktiviti sosial,” katanya.

Selain Syafika, Dira, 20, turut menggunakan laman sosial untuk mencari ‘teman’ bagi mendapatkan pendapatan sampingan. Menurutnya, pekerjaan sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam membuatkan dia lebih aktif mencari teman selain mengumpul wang sampingan.

“Kebiasaannya, jika saya menerima pelanggan di dalam kelab malam, ‘mummy’ akan mengambil sedikit keuntungan daripada apa yang saya dapat. Sebab itu saya mencari kenalan baru atau pelanggan menerusi Internet. Setidak-tidaknya, saya memperoleh keuntungan bersih.

“Lagipun, kerja ini tidak susah. Jika ada yang memasukkan wang ke dalam bank, saya akan mengambil cuti daripada bekerja dan mengikut lelaki itu. Jika bekerja sekalipun, belum tentu saya mendapat pelanggan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan laman sosial memudahkannya melakukan pekerjaan itu. Katanya, meskipun sekadar suka-suka atau demi mencari kemewahan, tiada sesiapa dapat mengesyaki apa yang dilakukannya.

“Mudah dan senang. Lagipun, saya tidak perlu bekerja keras kerana kebanyakan lelaki yang kemaruk seks suka menjadikan laman sosial sebagai tempat mencari pasangan.

“Lagipun, cara begini lebih praktikal daripada ‘menjaja badan’ di tepi jalan. Silap-silap nanti, terserempak dengan kaum keluarga ataupun ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Watie teraniaya dikaitkan konflik rumah tangga Zulkifli Daud (Joey)

Hmetro | KUALA LUMPUR: Pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Norwati Sadali atau Watie berasa teraniaya apabila masih lagi dikaitkan dengan konflik rumah tangga penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud atau Joey hinggakan sebuah syarikat yang berhasrat mengambilnya sebagai duta produk tiba-tiba mengenepikannya gara-gara kontroversi melandanya itu.

“Saya sungguh kecewa kerana orang mudah percaya kepada cerita yang timbul dan menuduh saya macam-macam sedangkan mereka tidak tahu yang sebenar, begitu juga kepada sebuah syarikat yang mulanya berjanji untuk menandatangani kontrak melantik saya sebagai duta produk selepas raya (Aidilfitri) baru-baru ini.

“Tetapi lepas saya hubungi mereka, saya dimaklumkan bahawa bos mereka tidak berminat untuk mengambil saya disebabkan kontroversi itu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurutnya, dirinya bukan seorang perempuan seperti yang dituduh perampas suami orang kerana sebagai seorang wanita dia tahu bagaimana perasaan jika ada orang lain merampas suami sendiri.

“Apa istimewanya saya hingga mampu rampas suami orang, orang tidak tahu diri saya sebenarnya sensitif dan tuduhan yang dilemparkan berkaitan dengan perkara yang tidak saya lakukan sungguh mengecewakan.

“Mungkin ramai yang menyamakan diri saya dengan drama lakonan sejak kebelakangan ini, ingin saya jelaskan watak itu hanyalah untuk memenuhi kerjaya sebagai pelakon tetapi hakikatnya perwatakan sebenar saya tidak sama,” katanya.

Mengenai hubungannya dengan Joey, ibu kepada kepada seorang anak lelaki, Ahmad Afif Danial yang kini berusia enam tahun itu mengakui dia senang berkawan dengan pelakon serta penyanyi berkenaan.

Katanya, dia juga masih dalam proses mengenali Joey dan sepanjang perkenalan mereka itu, dia hanya mengetahui bahawa temannya itu bukan milik sesiapa apatah lagi sebagai suami orang.

“Selepas kontroversi ini hangat diperkatakan, saya ada berhubung dengan Joey bertanyakan kenapa saya turut menjadi mangsa dalam masalah rumah tangganya dan pernah kata padanya (Joey) kalau saya yang menjadi punca kepada konflik itu adalah lebih baik dia pergi jauh,” katanya.

Mengulas pula tindakan isteri Joey, Noraini Nasir memfailkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, dekat sini, kelmarin, Waite berkata dia tidak mahu masuk campur dalam perihal rumah tangga orang lain.

“Baguslah kalau masalah mereka itu dapat diselesaikan cara baik, sekali gus ia dapat membersihkan nama saya yang sebelum ini dikaitkan dalam konflik rumah tangga mereka itu,” katanya yang sempat merakamkan empat album iaitu Catwalk, Tamparan Wanita, Idola dan Merbahaya ketika bersama Elite.

Sebelum ini, kontroversi itu mula diperkatakan apabila Watie bukan saja didakwa sebagai perampas yang menjadi punca utama keruntuhan rumah tangga Joey, malah Watie yang popular menerusi drama rantaian Gelora Di Hati Sara, Iris dan Rahsia Hati turut dikatakan menyembunyikan hubungan intimnya itu sedangkan penyanyi dan pelakon berkenaan masih belum sah bercerai.



Pelajar Syariah Dicekup Khalwat

Ampang - Sepasang kekasih di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Tempatan (IPT) dicekup Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berkhalwat di salah sebuah unit kondominium di Pandan Perdana, awal pagi semalam.

Pasangan tersebut yang masing-masing berusia 20 tahun itu ditahan di sebuah bilik sewa milik di kondominium tersebut kira-kira pukul 1.00 pagi.

Operasi dijalankan setelah pihak Masjid Al-Azim menerima maklumat daripada orang awam mengenai kehadiran gadis terbabit di rumah berkenaan dan sekumpulan anggota penguatkuasa yang diketui oleh Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman bergegas di lokasi berkenaan.

Ahmad Nawi berkata, beliau bersama beberapa anggotanya terus memperkenalkan diri sebaik memasuki rumah tersebut. Pihaknya mendapati beberapa remaja lelaki berada di ruang tamu. Pemeriksaan lajut turut dilakukan di salah sebuah bilik di unit kondominium itu mendapati pasangan terbabit berada berdua-duaan di bilik tersebut.

“Remaja lelaki itu telah membuka pintu apabila diketuk oleh anggota saya. Kami mendapati remaja berkenaan berpakaian lengkap dan berseluar pendek, manakala remaja perempuan terbabit pula berpakaian lengkap dan sedang berbaring di atas katil,” katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan awal kedua-dua pasangan itu tidak mempunyai apa-apa hubungan suami isteri. Difahamkan alasan yang diberikan oleh gadis itu adalah dia tertidur di dalam bilik berkenaan kerana terpaksa menunggu salah seorang kawan yang telah meminjam motosikal pulang semula ke unit kondominium tersebut.

“Gadis tersebut memberi alasan kehadirannya di unit kondominium itu kerana dia telah memasak lebih makanan kemudian mengambil keputusan untuk menghantar makanan tersebut ke rumah teman lelakinya itu, namun tidak sangka tertidur kerana terpaksa menunggu kepulangan salah seorang kawan yang telah meminjam motosikalnya.

“Teman lelakinya pula mengakui kira-kira hampir sejam gadis berkenaan berada di unit kondominium itu,” katanya.

Tambahnya, difahamkan gadis tersebut merupakan penuntut di salah sebuah IPT yang mengambil jurusan Syariah, manakala teman lelakinya mengambil jurusan akuan yang juga menunutut di IPT sama.

“Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Pandan Indah Ampang untuk pihak kami membuat laporan dan seterusnya mengarahkan pasangan terbabit hadir ke pejabat Jais untuk tindakan lanjut. Kami menjalankan operasi ini di bawah Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah JAIS 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pada masa yang sama, Operasi Cegah Maksiat bersama-sama Jais yang bermula jam 12.30 malam dan berakhir kira-kira 5 pagi itu turut memberi fokus di beberapa kawasan tumpuan memadu kasih seperti di Bukit Langat, Bukit Permai selian turut memantau beberapa kawasan sekitar Pandan Indah, Pandan Jaya dan Ampang.

“Hampir 76 remaja yang ditahan di dalam operasi berkenaan yang turut dijalankan di beberapa lokasi berasingan seperti Bukit Langat dan Bukit Permai,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pihaknya telah mengambil maklumat kesemua remaja terbabit, dalam masa yang sama mereka juga harus menghadiri sesi kaunseling di Masjid Al-Azim Pandan Indah.

Katanya, tindakan tegas akan diberikan jika mereka ingkar dan tidak menghadiri sesi kaunseling tersebut.

“Operasi dijalankan di bawah Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, disabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara. Kami tidak teragak-agak menyerahkan mereka kepada Jais untuk tindakan lanjut apabila didapati melakukan perbuatan sama berulang serta ingkar hadir sesi kaunseling tanpa alasan kukuh. Sesi kaunseling dijangka diadakan 24 Oktober ini, saya berharap mereka dapat kerjasama atau berhadapan tindakan tegas Jais,” katanya.

Tambahnya, dalam masa sama pihaknya berjaya menahan empat individu, dua didapati minum minumanan yang memabukkan ketika operasi di sekitar Bukit Langat.

“Individu berkenaan telah memohon budi bicara, pihak saya individu terbabit hadir sesi kaunseling. Jika kami dapati dia ditangkap atas perkara sama, kami tidak teragak-agak menyerahkannya kepada Jais untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 18 (1), Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika didapati bersalah boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya. -SH

Ahad, 17 Oktober 2010

BINTANG filem dan model terkenal Indonesia tidak takut lebel porno

BINTANG filem dan model terkenal Indonesia, Catherine Wilson bakal berkolaborasi dengan bintang porno Hollywood, Tera Patrick untuk filem terbaru mereka.

Sama-sama seksi dan menggiurkan, Catherine atau mesra dipanggil Keket tidak gusar kalau dia dibandingkan dengan pelakon tersebut.

"Saya tidak takut dibandingkan. Setiap manusia ada kelebihan. Saya cuma perlu berusaha memberikan yang terbaik," ujarnya bersikap positif.

Walaupun bakal bersatu dalam sebuah filem namun kata Keket, dia tidak akan terikut-ikut untuk muncul seksi.

Sejak masuk ke dunia perfileman, gadis berusia 29 tahun tersebut memang tiada niat untuk melakonkan adegan seksi.

"Saya selalu menjaga imej saya sejak daripada dahulu hingga sekarang. Insya-Allah saya tidak akan berubah," ujarnya yang akan berlakon filem Rintihan Kuntilanak Perawan bersama Tera, bintang porno kedua yang berlakon dalam filem Indonesia.

Buat Keket, tiada keraguan yang timbul sewaktu dia ditawarkan watak untuk filem tersebut.

"Ia suatu kebanggaan kerana dapat melakukan penggambaran bersama seorang bintang Hollywood," tuturnya.