SHAH ALAM 23 Okt: Bekas  Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya berkata, berfesyen dalam  mempromosikan busana Muslim adalah tidak salah, namun ia perlu  menghormati perkara-perkara utama, seperti ayat suci, kalimah dan  perkataan seperti 'Allah' dan 'Muhammad'.
"Apa  maksud 'Muhammad' disitu? Adakah nama dia (si pemakai), atau Nabi  Muhammad (SAW)? Maka kita tak tahu. Jadi kita kena tengoklah apa tujuan  dia tulis 'Mim Ha Mim Dal' itu? Adakah itu nama Nabi Muhammad atau pun  nama dia?
"Dia  kena jagalah. Boleh, tetapi kalau kalimah-kalimah Allah itu dicampak  merata, itu dah menghina kalimah Allah. Tulisan kalimah-kalimah Allah,  atau Rasulullah pada baju yang dipakai. Dia kena jagalah penghormatan  kalimah Allah itu. Tak boleh dicampak ikut suka sahaja," jelasnya.
Hashim  yang dihubungi TV Selangor hari ini menjelaskan, beliau tidak dapat  memberikan respon mengenai isu Festival Fesyen Islam yang dianjurkan  oleh isteri Perdana Menteri. Datin Seri Rosmah Mansur, kerana masih  belum meneliti perkara tersebut.
Namun begitu, beliau masih boleh memberikan pandangannya mengenai garis panduan dan adab dalam berpakaian mengikut syarak.
"Fesyen  itu tidak salah, tapi mesti menutup kepala, mesti menutup dada.  Kemudian kalau nak fesyenkan sikit, itu tidak menjadi masalah. Kalau  terlampau nak fesyen, kadang-kadang terlalu nipis. Kadang-kadang tutup  semua, tetapi terlalu ketat. Tak jadi juga. Tak menepati menutup aurat.
"Garis  panduannya mudah sahaja. Tiap-tiap sama ada lelaki atau perempuan  Muslim dan Muslimah menutup aurat. Dan garis panduan menutup aurat itu  telah dijelaskan sama ada di dalam Al-Quran atau pun dalam hadis-hadis  Nabi (SAW).
"Kalau  lelaki, auratnya antara pusat dan lutut. Itu aurat asalnya. Atas dari  pusat dan bawah daripada lutut itu tidak dikatakan aurat. Itu dari segi  umumnya.
"Walau  macam mana pun, kalau sekiranya orang lelaki tadi berhadapan dengan  wanita yang bukan mahram. maka dia juga dituntut menutup tubuh badannya.  Itu adabnya.
"Dari  segi perempuannya, mesti menutup kepalanya dan bertelekung menutup  dadanya. Macam wanita yang pakai telekung hari ini yang labuh sedikit  menutup dadanya. Kemudian pakaian itu tak boleh terlaku ketat sehingga  menampakkan tubuh badannya. Itu lah garis panduan. Itu jelaslah," jelas  Hashim.
"Kalau  longgar pun, tapi terlalu nipis sehingga dapat melihat, terbayang  kulitnya, maka tidak menepati tutup aurat. Jadi maksudnya pakaian kena  agak longgar, disamping tidak nipis sehingga menampakkan tubuhnya di  bawah kain itu," tambahnya lagi.
Datin  Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah  SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu.
Sementara  itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah yang mahu mengadakan demonstrasi selepas  solat Jumaat hari ini bagi membantah insiden itu, sebaliknya memutuskan  untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Jabatan  Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua  Penerangannya, Fadhil Osman lapor portal Malaysiakini bercadang  menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung  perkara tersebut.