Sabtu, 31 Julai 2010

Umno perlu direhatkan



Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 31 Julai: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa (gambar) menyeru rakyat merehatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada bergelumang dengan politik tanahair kerana banyak kesalahan telah dilakukan sehingga ekonomi, keselamatan, kehakiman dan politik negara tidak lagi stabil.

Umpamanya, kata beliau, apabila pemain bola sepak mendapat kad merah kerana melakukan kesalahan yang berulang, dia terpaksa dikeluarkan atau direhatkan untuk beberapa kali perlawanan.

Begitu juga, ujarnya dengan Umno dan BN perlu dihukum sebab terlalu banyak melakukan penyelewengan, pembohongan dan campur tangan tangan sehingga menyulitkan sesuatu keputusan diadili dengan adil.

"Umno dan BN kena direhatkan. Rakyat perlu buat begitu jika tidak mahu melihat negara menuju kehancuran," tegasnya ketika berceramah di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kepala Batas malam tadi.

Ekoran itu, kata Exco Kerajaan Kelantan itu banyak pelabur tidak menanam modal di Malaysia sebaliknya mencari lokasi lain yang lebih selamat.

Tambahnya, apabila terjadi begitu, ekonomi negara merudum teruk ditambah lagi dengan wang negara diboroskan dengan projek mega yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Habislah jika keadaan negara macam ni. Jadi, lebih baik rehatkan Umno dan kuncunya pada pilihan raya umum depan. Bila parti sempit dan perkauman tidak ada, maka senanglah nakhoda melayari bahtera memajukan negara," ujar beliau.

Kepimpinan negara, katanya apabila harga gula dinaikkan terus mengeluarkan kenyataan santai kononnya untuk mendidik rakyat supaya tidak terkena penyakit kencing manis manakala membanding harga dengan negara jiran apabila menaikkan harga petroleum.

Menurutnya, itulah alasan Kerajaan BN sejak dulu sampai sekarang, tidak pun menunjukkan rasa serik atau kesal apabila menindas rakyat malahan rasa bangga bila rakyat tidak menunjukkan protes.

"Mereka sudah menjahanamkan negara, kenapa rakyat masih biarkan mereka memerintah termasuk cadangan terbaru membeli 274 kereta perisai yang harganya sebuah RM31 juta pada hal seluruh dunia tahu harga kereta perisai termahal dari Amerika Syarikat hanya bernilai RM9 juta sebuah," katanya.

Isu PKFZ, Anwar Mahu Jemaah Menteri Disiasat


TVSelangor | Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim menggesa Kerajaan Pusat untuk tidak melindungi mana-mana Dato, Dato Seri atau Tun yang terbabit dan bersubahat dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Anwar berkata pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik bagaimanapun mengundang syak adanya usaha terancang untuk memperdaya dan menyelinap berbilion ringgit wang pembayar cukai.

Hujan lebat di kubu kuat bekas Menteri Datuk Seri Rafidah Aziz malam tadi tidak sedikit pun menghalang penduduk untuk bersama mendengar ceramah pemimpin reformasi ini. Kira-kira 1000 warga Kuala Kangsar membanjiri Markas Pas Bukit Chandan untuk mendengar perkembangan skandal PKFZ.

Tun Dr Ling mengaku tidak bersalah diatas dua pendakwaan dibawah Seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan atas tuduhan memperdayakan Jemaah Menteri berhubung projek bernilai RM12.7 bilion itu.

Bekas Presiden MCA ini dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk bersetuju meluluskan pembelian 999.5 ekar tanah milik koperasi nelayan Melayu di Pulau Indah pada harga RM25 satu kaki persegi dengan kadar faedah 7.5 peratus, iaitu nilai yang jauh lebih tinggi dari nilai sebenar di pasaran.

Bekas Presiden MCA ini juga mengeluarkan surat sokongan mengarahkan projek PKFZ ini diserahkan kepada syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd, milik Pengerusi Kelab Penyokong BN, Dato Seri Tiong King Sing.

Anwar menjelaskan bagaimana mungkin jemaah menteri mengizinkan Tun Dr Ling Liong Sik mengeluarkan surat jaminan untuk projek PKFZ, walhal undang-undang menetapkan bahawa hanya menteri kewangan yang boleh berbuat demikian.

Menteri Kewangan pada masa itu, adalah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Berapa lama kita bangkitkan PKFZ ini? Tiga tahun setengah, kita ada bukti mantan Menteri Kewangan pada waktu itu. Saya keluarkan bukti pada waktu itu mustahil dia tidak tahu menteri tidak boleh jadi penjamin ketika itu bagi pihak kerajaan yang boleh hanya menteri kewangan sahaja tetapi Ling Liong Sik tandatangan.

“Umno menafikan selama ini, dia kata Anwar bohong! Anwar tidak betul kerana dia sengaja mahu timbulkan keraguan rakyat, sekarang kita lihat siapa yang bohong? Siapa yang rasuah? Ini apa yang kita sebutkan ini adalah semuanya berdasarkan fakta dan tidak boleh lari,” katanya.

Anwar menekan Kerajaan untuk tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit atau bersubahat dengan skandal ini.

Jika benar jemaah menteri menyedari adanya usaha untuk menipu berbilion ringgit wang pembayar cukai, maka kerajaan perlu menjustifikasikan penganugerahan gelaran Tun kepada Ling Liong Sik.

“Kita tengok apa yang berlaku di bawah pimpinan Tun Dr. Ling Liong Sik, daripada Datuk Seri kini jadi Tun sebab apa? Sebab hendak rompak tanah PKFZ. Pada masa itu semua orang sudah tahu tetapi masih mahu memberi gelaran Tun kepada beliau.”

Anwar meminta rakyat Malaysia supaya memperhebatkan tekanan kepada kerajaan supaya tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam skandal ini.

“Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada kita semua. Kita mesti istiqamah dalam perjuangan, insyaallah kita akan dapat hasilnya.

“Saya malam ini hedak masuk ke Johor malam ini tidak dapat mungkin, mereka bila sahaja nampak Anwar, semuanya tidak boleh, mereka menggeletar tetapi dalam Utusan Malaysia tiap-tiap hari kutuk Anwar,” katanya.

FDI: Ku Li dakwa menteri tak cakap benar

Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah mengecam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed kerana tidak memberitahu perkara yang sebenar berhubung sebab utama tentang kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 81 peratus pada 2009.

"Beliau tidak bercakap benar, berpusing-pusing beri alasan remeh," katanya kepada Malaysiakini di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar hari ini.

Razaleigh mengulas alasan menteri itu bahawa Malaysia hanya berjaya menarik FDI sangat sedikit berbanding ekonomi negara jiran kerana ia melibatkan skala pembangunan pada tahap berbeza, justeru tidak boleh menarik pelaburan infrastuktur.

Mustafa dilaporkan berkata ini kerana Malaysia tidak berminat menarik pelaburan dalam sektor pulangan rendah seperti yang melanda ekonomi kawasan lain.

Razaleigh yang juga ahli parlimen Guan Musang mengetepikan perkiraan bahawa pelabur tempatan lari ke luar negara kerana pasaran Malaysia sudah tepu.

"Masalah sebenarnya ialah keyakinan (pelabur). Jika begitu, kenapa syarikat seperti YTL buat stesen janakuasa di Singapura? Awak boleh tanya mereka.

"Kita perlukan duit untuk bangunkan negara ini. FDI bukan hanya bawa duit tapi latihan dan kemahiran pembangunan," katanya.

Guru Berpolitik Tapi Jangan Pilih Parti Pembangkang


SinarHarian | SHAH ALAM – Meskipun guru dibenarkan berpolitik tetapi mereka mestilah bijak untuk memilih parti politik yang disertai.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebagai kakitangan kerajaan, guru perlu membuat pertimbangan sewajarnya jika memilih bersama parti pembangkang.

“Ini kerana mereka bekerja untuk Kerajaan Persekutuan, bukannya tidak boleh sokong pembangkang tapi fikirlah dengan mendalam sebelum membuat keputusan dengan tepat.

“Kami tidak peduli apa pembangkang nak kata kerana pembabitkan guru dalam politik secara keseluruhannya memberi kesan positif untuk perkembangan kepimpinan parti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, idea kreatif dan aktiviti menarik dapat diperoleh daripada guru terbabit untuk memperkemaskan parti pada masa depan.

“Politik tidak akan menganggu masa guru kerana ia bukannya sepenuh masa walaupun berjawatan kelak dalam parti kerana pembahagian masa dapat dilakukan dengan lebih terancang.

“Guru tidak akan mempengaruhi pelajar kerana politik tidak membabitkan golongan ini tetapi sasaran ialah ibu bapa mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pihaknya akan menyediakan garis panduan tertentu supaya guru dapat melaksanakan tugas sebagai pendidik dan politik dengan teratur.

“Mereka perlu memastikan tanggungjawab sebagai pendidik tidak terabai sekaligus khidmat dalam politk dapat dilaksanakan secara seimbang.

“Perkara ini tidak menjadi masalah kepada guru berdasarkan sikap profesionalisme yang ditunjukkan untuk melakukan aktiviti lain secara langsung,” katanya.

Siri Jelajah Anwar Keseluruh Negara Bermula Di Perak


Oleh Fazli Othman

SuaraKeadilan | SHAH ALAM 31 Julai - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjelajah seluruh negara dalam program lawatannya yang akan bermula di negeri Perak semalam.

Koodinator Politik, Abdul Rahman Yusuf berkata program pertamanya adalah acara makan malam bersama rakyat di Cabang Bagan Serai Serai bagi menyampaikan mesej kepda pengundi kawasan itu walaupun ahli parlimen mereka melompat menjadi anggota Bebas, KEADILAN tetap mengambil berat kebajikan rakyat di sana.

"Anwar kemudiannya akan bergerak ke kawasan Parlimen Kuala Kangsar iaitu kubu bekas Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz untuk memberi ceramah berhubung isu dan perkembangan semasa. Ceramah Perdana itu akan diadakan di Bukit Chandan pukul 10 malam ini.

"Siri ceramah perdana yang diadakan bertujuan bagi merampas semula negeri Perak daripada tangan Umno-Barisan Nasional," jelas Abd Rahman.

Keesokan harinya, siri jelajah itu akan diteruskan ke selatan tanah air untuk program majlis makan malam dan pelancaran Pakatan Rakyat Batu Pahat, Johor.

"KEADILAN memberikan tumpuan ke negeri Johor selepas kita mendapati sambutan dari rakyat yang dikatakan kubu kuat Umno-BN itu sangat hebat dan luar biasa.

"Kita akan memberikan tumpuan yang khusus dan memberikan lebih banyak pendedahan kepada rakyat di negeri Johor," kata beliau.

Tambahnya lagi, walaupun pada pilihan raya umum Ke-12, Pakatan Rakyat tidak memberikan tumpuan besar kepada Johor, kebanyakkan calon Pakatan Rakyat hanya kalah dengan majoriti kecil.

Ketua Pembangkang juga dijangka akan menyampaikan ceramahnya di Kampung Sungai Tongkang, Rengit.

Selepas itu, pada Ahad malam, beliau akan menyampaikan ceramah perdana di Taman Ehsan, Kepong bersama pemimpin KEADILAN yang lain.

PKFZ: Empat laporan rasuah difailkan sejak 2004



SHAH ALAM, 30 Jul – Sejak Disember 2004, sekurang-kurangnya empat laporan pernah dibuat Pakatan Rakyat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Exco Kerajaan tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Thian Kiew berkata pihak berkuasa bagaimanapun seolah bersikap acuh-tidak-acuh mengendalikan empat laporan itu, sehinggalah bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik didakwa, lima tahun kemudian.

Tun Dr Ling didakwa dengan tuduhan memperdayakan Kabinet antara September 25 dan Oktober 6 2002 meluluskan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek PKFZ.

Pemimpin MCA ini didakwa dibawah Seskyen 418 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dari 7 tahun, dan Seksyen 417 yang membawa hukuman penjara 5 tahun, jika disabitkan kesalahan.

“DAP pernah memfailkan laporan polis berhubung skandal PKFZ sejak tahun 2004. Saya sendiri pernah membuat laporan terhadap Tun Dr Ling Liong Sik berkenaan urusan pembelian tanah itu,” kata Ronnie.

Penahanan dan pendakwaan terhadap Tun Dr Ling disusuli dengan gesaan supaya semua suspek dan saksi yang mempunyai kaitan dengan skandal berbilion ringgit itu dibawa ke mahkamah.

Pemerhati bependapat perbicaraan Tun Dr Ling Liong Sik akan menjelaskan lagi peranan Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Seri Tiong King Sing, yang memiliki syarikat pemaju PKFZ, Kuala Dimensi Sdn Bhd dalam skandal ini.

Kerajaan juga mungkin terpaksa menjelaskan apakah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin Kabinet pada masa itu tidak diberi fakta secukupnya semasa meluluskan pembelian tanah untuk projek PKFZ.

“Kami mempunyai bukti, bahkan saya bersedia menjadi saksi,” tegas Ronnie.

Jawatankuasa Kira-Kira Awam melaporkan Kerajaan Malaysia boleh menjimatkan RM645.87 juta ringgit jika tanah berkenaan dibeli mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960. PAC juga melaporkan kos membeli tanah itu adalah RM47.76 satu kaki persegi, atau 67 peratus lebih tinggi dari harga yang ditetapkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, iaitu RM25 satu kaki persegi.

Bekas Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan Datuk Zaharah Shaari mendedahkan Kabinet menyedari sepenuhnya hal-ehwal projek PKFZ dan pihak Kementerian terpaksa akur dengan keputusan Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Urusan ini nampak mencurigakan, jadi saya buat laporan polis, dan saya juga pernah ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya untuk mengadu hal ini,” ujar Ronnie Liu.- TVSELANGOR

Federalisme, perpaduan Melayu, pendakwaan Liong Sik

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff menggesa kerajaan persekutuan supaya menghormati kuasa yang ada pada kerajaan negeri masing-masing, dan tidak menganak-tirikan kerajaan negeri yang tidak diterajui oleh BN dari pelbagai sudut dan aspek pentadbiran.

"Dalam isu Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang yang dilantik oleh Kerajaan Pusat, sepatutnya hak kerajaan negeri dalam mentabdir negeri dihormati. Kerajaan persekutuan sepatutnya menghormati kerajaan negeri yang memerintah. Begitu juga dengan Pegawai Kemajuan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan siapa sahaja penjawat awam yang berada di bawah tampuk pemerintahan kerajaan negeri."

"Apabila penghormatan ini tidak wujud maka berlakulah konflik sebagaimana yang terjadi kini di Pulau Pinang apabila kerajaan persekutuan mencampuri hal-ehwal Kerajaan Negeri secara terang-terangan," kata Yusmadi Yusoff di Kompleks Sukan Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai, semalam, berdepan dengan kira-kira 500 orang hadirin.

Yusmadi yang juga merupakan seorang peguam berkata, sebagai sebuah kerajaan persekutuan, dasar yang ada pada kerajaan negeri tidak harus dinodai dan disabotaj dengan memperalatkan penjawat awam yang dilantik oleh kerajaan persekutuan bagi menggagalkan apa jua dasar dan sistem yang cuba dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri yang diperintah oleh PR.

"Dalam isu pasir di Pulau Pinang, sudah ketara bagaimana kerajaan persekutuan cuba menyalahkan kerajaan negeri dalam isu kecurian pasir di atas tapak Politeknik Balik Pulau."

"Walaupun mereka sedar ini adalah projek mereka dan berada di atas tanah milik kerajaan persekutuan, tetapi mereka cuba memainkan isu dengan menuding jari ke arah kerajaan negeri semata-mata untuk mengaburi mata rakyat dan mencelarukan pemikiran mereka," ulas Yusmadi (gambar kanan).

"Namun begitu saya yakin semakin banyak keburukan yang BN timbulkan maka bertambah hilang keyakinan rakyat kepada mereka untuk terus menjadi pemerintah dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang."

Pendakwaan Liong Sik tidak bawa makna

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar menyifatkan BN sudah berada dalam keadaan tenat dan nazak apabila pelbagai masalah sedang melanda parti pemerintah tersebut.

Beliau juga berkata, pendakwaan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik tidak membawa apa-apa makna kepada PR.

"SPRM boleh menangkap siapa sahaja yang mereka mahu dan dibawa ke mahkamah, namun begitu belum pasti keadilan akan tercapai berdasarkan sejarah lampau yang pernah terjadi kepada mendiang Eric Chia."

"Selain daripada itu kebebasan yang tidak ada pada kebanyakan sistem perundangan dalam negara yang dikuasai oleh BN dan pemerintah menjadikan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan dalam setiap tindakan yang mereka ambil," kata Firdaus Jaafar.

Menurut Firdaus lagi, dalam tempoh 50 tahun pemerintahan BN dalam negara, gaji minima bagi rakyat negara ini masih jauh begitu rendah jika dibandingkan dengan Indonesia dan Thailand.

"Berleluasanya kegiatan rasuah dan korup, penindasan terhadap rakyat serta kenaikan harga barangan menjadikan kerajaan sukar untuk memberi khidmat yang terbaik bagi membela nasib rakyat."

"BN sudah muflis apabila mereka terpaksa mengenakan pelbagai jenis cukai terhadap rakyat. Kenaikan harga barangan semakin lama semakin membebankan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah," tambahnya lagi.

Firdaus Jaafar (gambar kanan) juga menyentuh isu penyatuan PAS dengan UMNO merupakan suatu perkara yang terpaksa dilakukan oleh UMNO dalam suasana yang terdesak apabila mereka sudah merasai keyakinan rakyat terhadap mereka semakin terhakis.

Penyatuan UMNO-PAS

Manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Husam Musa melontarkan cabaran, agar penyatuan puak dalam UMNO dilakukan terlebih dahulu sebelum penyatuan PAS dan UMNO dilaksanakan.

"Dalam UMNO Terengganu sendiri kita dapat lihat bagaimana ada puak Menteri Besar, Ahmad Said dan puak bekas Menteri Besar, Idris Jusoh. Ini semua adalah krisis dalaman yang serius melibatkan orang Melayu dan parti UMNO."

"Oleh kerana itu perjuangan yang hanya berlabelkan bangsa ini tidak akan membawa penyatuan. Sebaliknya membawa kepada kemusnahan yang tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada sistem pemerintahan negara. Oleh kerana itu sebelum UMNO melaksanakan pelan penyatuan dengan PAS maka adalah terlebih baik bagi mereka membetulkan saf dalam UMNO terlebih dahulu," katanya lagi.

Husam (gambar kanan) yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan juga berkata, PAS mempunyai peluang yang lebih baik untuk memerintah negara dan sekaligus membawa PR ke Putrajaya apabila perjuangan PAS yang mengutamakan Islam itu adalah untuk semua golongan masyarakat yang ada dalam negara.

"Melalui Islam, orang Melayu, Cina, India dan semua keturunan yang ada akan bersatu. Jika bangsa dan perkauman yang diperjuangkan maka ia akan membawa kepada perpecahan yang hanya memperjuangkan hak bangsa masing-masing tanpa memberi keadilan kepada bangsa dan kumpulan masyarakat yang lain."

"Di bawah pemerintahan kerajaan BN yang ada sekarang skandal yang merugikan wang rakyat seperti PKFZ, Sime Darby, Pos Malaysia, FELDA dan pelbagai lagi memberi imej buruk kepada sistem pemerintahan yang ada pada BN. Mereka sudah tidak mampu lagi untuk meneruskan pemerintahan yang terbaik kerana jangka masa 50 tahun yang diberikan kepada mereka hampir lupus menjelangnya pilihan raya umum yang akan datang," tambahnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS II Pulau Pinang, Rosidi Hussain dan Yang Dipertua PAS kawasan Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man.

*Nazar Hashim ialah penulis khas untuk MerdekaReview.

Anwar: Kerajaan dakwa Dr Ling, sudah tidak mampu tutup skandal



MInsider | BAGAN SERAI, 31 Julai — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Tun Dr Ling Liong Sik didakwa berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebab kerajaan “tidak boleh lagi menutup sebarang skandal.”

Anwar berkata, walaupun Pakatan Rakyat (PR) terus-menerus membangkitkan perkara berkenaan sejak empat tahun lalu, tetapi kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan.

“Setiap kali kami membawa isu ini, kami (Pakatan) dilabel sebagai antinasionalis.

“Dan, sekarang sejak mereka tidak boleh menafikan perkara itu, mereka mendakwa (Dr) Liong Liong Sik,” kata beliau pada ceramah di sini malam tadi.

Kata Penasihat PKR ini, MCA mendakwa PR sebagai pembohong kononnya menyebarkan isu yang tidak benar apabila setiap kali membawa skandal PKFZ.

“Di negara ini orang kaya boleh buat apa sahaja. Malah mereka boleh membunuh seseorang dan bebas,” katanya pada ceramah dihadiri kira-kira 350 orang di dewan Beng Sean Seah meskipun hujan.

Dr Ling, bekas menteri pengangkutan dan bekas presiden MCA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin terhadap tuduhan menipu kerajaan berhubung skandal PKFZ melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas.

Beliau didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Kabinet dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan utama, Dr Ling dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sampai tujuh tahun, dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, Dr Ling dituduh menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Akhir tahun lalu empat orang telah didakwa berhubung skandal itu.

Jumaat, 30 Julai 2010

Felcra pula ancam saman pembangkang

Bernama | Felcra Berhad (Felcra) akan mengambil tindakan saman terhadap mana-mana pemimpin pembangkang yang menabur fitnah atau memanipulasikan fakta mengenai pengurusan agensi itu.

Pengerusinya Datuk NONETajuddin Abdul Rahman (kiri) berkata amaran itu diberikan kerana parti pembangkang telah mula menganjurkan pelbagai ceramah dengan menimbulkan isu remeh temeh dan memperlekehkan pengurusan Felcra bagi menghasut rakyat supaya membenci kerajaan BN.

"Pihak pembangkang didapati cuba memanipulasikan fakta kononnya agensi itu turut menghadapi masalah pengurusan dan kewangan, sama seperti tuduhan bangkrap yang dilemparkan terhadap Felda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan gotong royong perdana di Felcra Seberang Perak di Kampung Gajah hari ini.

Felda sebelum ini telah memfailkan saman terhadap Suara Keadilan, akhbar PKR dan beberapa pemimpin pembangkang berhubung dakwaan Felda telah bankrap.

Tajuddin berkata Felcra mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh kerana telah berjaya memberi dividen bernilai RM3.6 billion kepada 94,000 peserta setakat ini.

"Sepanjang tahun lalu, Felcra mengeluarkan dividen sebanyak RM480 juta dan RM790 juta pada tahun 2008 dan pada tahun ini akan memberi RM500 juta dividen kepada peserta.

Sebagai Pengerusi, saya tahu segala fakta yang membabitkan pentadbiran Felcra yang merupakan institusi yang berjaya mengubah kehidupan rakyat dalam pembangunan sosial dan ekonomi," jelasnya.

Katanya, Felcra juga tidak mengabaikan pembangunan di negeri yang dikuasai pembangkang.

Beliau berkata Felcra telah memberi tanah yang telah ditanam kelapa sawit seluas 4,046 hektar bernilai RM300 juta kepada kerajaan negeri Kelantan atas permintaan Menteri Besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tajuddin meminta peserta Felcra terus mempertahankan institusi itu dan tidak terpedaya dengan tohmahan pembangkang yang semata-mata bermotifkan agenda politik.

Pendakwaan PKFZ bukti desakan PR berasas


PAS melihat pendakwaan terhadap Tun Dr Ling Liong Sik membuktikan bahawa sememangnya wujud penyelewengan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) seperti didakwa Pakatan Rakyat sejak sekian lama.

berkata pendakwaan ke atas bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir itu juga membuktikan memang wujud penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan BN.

"Bukan setakat itu sahaja, pendakwaan bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir itu juga mengesahkan desakan Pakatan Rakyat yang mahu skandal PKFZ ini dibongkar selama ini adalah sangat berasas dan bukan tuduhan kosong," kata ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad .

Selain itu, PAS katanya yakin pendakwaan ke atas Liong Sik hanya sebagai kambing hitam dan 'lakonan' kejujuran BN dalam menutup isu tersebut.

Menurutnya lagi, Liong Sik yang juga mantan Menteri Pengangkutan, bertanggungjawab bagi mempengaruhi keputusan Kerajaan bagi pembelian tanah seluas 999.5 ekar bernilai RM1,088,456,000.00 di Pulau Indah.

"PAS yakin bahawa ramai lagi pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini dan Liong Sik hanyalah kambing hitam bagi menunjukan lakonan 'kejujuran' Kerajaan BN hari ini bagi menutup kes PKFZ," katanya.

PAS juga jelasnya curiga dengan kenyataan Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha yang mengatakan bahawa siasatan ke atas skandal PKFZ adalah “mencukupi” dan tidak perlu bagi isu itu disemak semula.

Malah kenyataan Cho Ha yang membenarkan pembayaran semula bon bernilai RM228 juta itu juga katanya bercanggah dengan keadaan semasa di mana kes penyelewengan PKFZ masih dalam perbicaraan mahkamah.

"Kerajaan akan melakukan kesilapan kedua jika melunaskan bayaran bon itu kerana syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, yang mengeluarkan bon tersebut telah diheret ke mahkamah oleh Pihak Berkuasa Zon Bebas (PKA) kerana membuat tuntutan berlebihan dan tidak menyiapkan kerja mereka seperti yang dijanjikan," katanya.

Kegagalan KDSB yang dimiliki oleh jutawan Datuk Tiong King Sing yang juga ahli parlimen BN jelasnya menambahkan lagi kekusutan skandal PKFZ kerana ia sekaligus menyambung siri penyelewengan ke atas projek berkenaan.

"Ini menunjukan PKFZ merupakan sebuah projek khas bagi menyara pemimpin BN dan kroni mereka bermula dengan menipu untuk membeli tapak, kemudian menipu dalam proses perancangan dan penyediaan pelan serta menipu dalam proses pembinaan.

"Bayangkanlah kerugian besar wang rakyat dalam projek ini yang pada asalnya dilaporkan hanya berjumlah RM RM1.957 bilion tetapi akhirnya didakwa meningkat kepada RM4.947 bilion, lebih dari dua kali ganda," katanya lagi.

Sehubungan itu, PAS mengesa agar kes ini terus dibuka untuk siasatan dan kerajaan tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi kepada mana-mana pihak yang terlibat selagi kes ini tidak diselesaikan di Mahkamah.

Menteri Pengangkutan yang baru pula diharap tidak cuba untuk menutup kes ini begitu sahaja melainkan jika beliau juga mempunyai kepentingan atau mahu menyelamatkan maruah BN.

"PAS berharap rakyat membuka mata kerana pemimpin BN akan terus melakukan penipuan sebegini. Apa sahaja projek mega yang diumumkan mereka pasti ada ketirisan wang rakyat.

"Kes yang sama tidak mustahil akan berlaku termasuklah dalam kes pembangunan semula kampung Baru, Kuala Lumpur yang diwar-warkan kerajaan akhir-akhir ini," jelasnya gusar perkara sama boleh berulang.

~harakah

Bau Busuk Nepostisma Menghapak Di Putrajaya

| Bau busuk keluar lagi dari amalan nepotisma yang menyerapi pintu masuk Putrajaya berikutan adik Perdana Menteri Najib Tun Razak membuat kenyataan "salah kira-kira" mengenai kejatuhan nilai pelaburan langsung asing (DFI).

Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar berkata, "saya mesti mengucap tahniah kepada Nazir kerana menjadi jurucakap kabinet Najib. Kenyataan Nazir membuktikan amalan nepotisma masih berleluasa di Putrajaya.

Beliau berkata, Nazir, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, memberi komen mengenai DFI yang jelas mengingatkan rakyat Malaysia bahawa budaya nepotisma yang diamalkan oleh pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, di mana melibatkan anak-anak mereka, masih hidup segar.

Ketika era Mahathir dan Badawi, kita lihat anak-anak mereka terlibat. Mungkin kita boleh menyifatkan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) sekarang ini sebagai pentadbiran adik beradik," katanya.

Sambil menyifatkan kepimpinan Umno-BN bagaikan "burung-burung unta yang menyembunyikan kepala mereka", Mahfuz berkata, "hanya masa akan menentukan bila rakyat akan menendang mereka keluar."

Bagaimanapun beliau memuji Nazir kerana mengakui kerajaan merasa sakit akibat kejatuhan DFI itu.

Semalam, ketika bercakap kepada pemberita, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui kebenaran data yang dikeluarkan oleh Laporan Pelaburan Asing Dunia (WIR) oleh Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada awal minggu, Bernama melaporkan Nazir sebagai berkata, kejatuhan FDI tidak semestinya negatif.

Beliau berkata "tidak semestinya perkara itu tidak baik" untuk menerima kemasukan DFI yang rendah kerana apa yang penting ialah kualiti pelaburan.

Sebaliknya Nazir mendesak supaya kejatuhan DFI pada 2009 dikaji dengan teliti sebelum membuat kesimpulan.

Bukan lagi destinasi pelaburan

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berpendapat sebaliknya. Beliau berkata kejatuhan DFI tidak menolak hakikat bahawa Malaysia bukan lagi menjadi destinasi pelaburan.

"Walaupun saya memahami tentang maksud "pelaburan berkualiti" dan "masa yang sesuai", bagaimanapun komennya tidak dapat mengikis fakta bahawa Malaysia bukan lagi menjadi hab pelaburan, tidak berada di bawah radar, baik pelabur tempatan maupun asing," katanya.

Beliau menyifatkan komen Nazir yang "tidak tentu haluan" itu hanya bertujuan untuk mempertahankan abangnya, Najib.

Dr Dzulkefly berkata data-data Bangsa-Bangsa Bersatu itu sangat jelas dan tidak perlu kepada keterangan lanjut.

"Kekurangan minat di kalangan para pelabur asing telah menyumbang kepada kemerosotan teruk DFI dari AS$2.56 bilion pada 2004 dan AS$1.09 bilion (2005) kepada negatif AS$0.02 bilion (2006), negatif AS$2.7 bilion (2007) dan negatif AS$7.67 bilion pada 2008.

"Keadaan ini diburukkan lagi dengan hakikat bahawa pengaliran pelaburan oleh pelabur tempatan ke luar negara adalan sangat tinggi. Ketidakseimbangan ini mempunyai kesan buruk kepada ekonomi," ujar beliau.

"Pertama, ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan. Oleh kerana kekurangan dana untuk menjana aktiviti-aktiviti ekonomi dan pelaburan dalam pelbagai sektor seperti pembuatan dan industri perkhidmatan, sasaran pertumbuhan 6% tidak boleh dicapai.

"Apabila permintaan global jatuh, keadaan akan menjadi lebih buruk kerana memberi kesan kepada faktor eksport dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya ketika ditemui selepas Dialog Bajet Selangor 2011.

Beliau memberi amaran Malaysia tidak mampu untuk berbelanja lagi kerana kini negara dibebani dengan defisit belanjawan yang luas, bersamaan 52% dari KDNK. -FMT

Adik Rozita Che Wan, Ayu Raudhah Akan Menamatkan Zaman Bujangnya


PETALING JAYA: Pelakon Ayu Raudhah(gambar) mengesahkan keluarga kepada pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abd. Radzak,22, merestui hubungan mereka termasuk membenarkan hasrat pasangan itu untuk berumah tangga.

Ayu berkata dia gembira kerana keluarga kekasihnya itu bersedia menerimanya sebagai menantu

"Alhamdulilah setakat ini semuanya berjalan lancar. Saya beberapa kali menziarahi keluarga dia dan mereka menerima saya dengan baik. Malah mereka langsung tidak menghalang untuk kami meneruskan hubungan ke tahap yang lebih serius.

"Begitu juga keluarga saya, mereka sentiasa menyokong pilihan yang saya buat. Mereka juga sudah beberapa kali berjumpa dengan Zaquan," katanya.


Jelas Ayu lagi, perancangan untuk mengikat tali pertunangan sudah pun difikirkan dalam masa terdekat ini tetapi kerana kekangan masa, mereka terpaksa menangguhkannya pada tahun hadapan.

"Perancangan awal memang dalam tahun ini, tapi dia sibuk dengan latihan di luar negara dan saya sibuk dengan penggambaran drama. Jadi kami terpaksa menunda dari tarikh yang sepatutnya,” katanya.

Bagaimanapun kata Ayu, dia ada membuat beberapa persiapan sementara menanti tahun hadapan mengikut apa yang mampu.

"Setakat ini sudah 30 peratus persiapan dibuat termasuklah memilih baju yang hendak dipakai pada majlis pertunangan nanti," kata Ayu.

Dalam pada itu, Ayu yang sibuk dengan penggambaran telefilem Nurfansuri untuk siaran Ramadan ini memberitahu rahsia dia mengekalkan hubungan cinta mereka ialah dengan sentiasa berhubung.


"Memang saya aku sukar untuk mencari masa keluar bersama kadang-kadang sebulan sekali baru kami dapat berjumpa. Tapi apa juga yang terjadi saya tetap percayakan dia," katanya .

Ketika ditanya adakah akan mengikut jejak langkah kakaknya aktres Rozita Che Wan yang mahu bersara dalam bidang lakonan, Ayu memberitahu perkara itu belum difikirkan.

"Sekarang saya mahu berlakon sepuas-puasnya sebab selepas bergelar isteri nanti belum tahu lagi sama ada boleh berlakon atau tidak," katanya.

Selain Zaquan, kembarnya yang juga pemain bola sepak kebangsaan Aidil Zafuan turut memilih artis sebagai isteri.

Bagaimanapun perkahwinan rahsia di antara Aidil Zafuan dengan pelakon Rita Rudaini Mokhtar itu pada mulanya mendapat halangan daripada keluarga lelaki.

Skandal PKFZ: Tun Dr Ling Liong Sik Dikambing Hitamkan


Hari ini boleh dikatakan semua akhbar cerita pasal bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dituduh berhubung kesalahan berkaitan dengan skandal projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Mahkamah Sesyen semalam.

Habis semua rakyat Malaysia diperbodohkan oleh media arus perdana berhubung skandal berbillion ini.

Mari kita semak kronologi ringkas disebalik kes penyelewengan terbesar negara sehingga terdedahnya skandal PKFZ Malaysia ini :

Kes skandal PKFZ Malaysia ini bermula dengan melalui pendedahan Laporan Audit PriceWaterhouse Coopers (PWC) yang diumumkan pada era Mahathir, 2002, berlaku kebocoran pada minit mesyuarat kabinet untuk menjadikan tanah Pulau Indah sebagai kawasan pelabuhan bebas. Maknanya terdapat individu yang mengetahui nilai dan potensi sebenar tanah tersebut pada masa itu.

Ini menyebabkan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah (1997-2003) bagi Lembaga Pelabuhan Klang(PKA) Datuk Abdul Rahman Palil membeli tanah tersebut melalui Koperasi Pembangunan Koperasi Nelayan Selat Lumut (KPNSL), sebelum daripada kabinet mengumumkan projek PKFZ lagi.

Datuk Abdul Rahman Palil Abdul Rahman kemudiaannya dilaporkan mengisytiharkan dirinya sebagai Pengerusi KPNSL.

Dilaporkan KPNSL menjual tanah tersebut dengan harga yang murah, RM3 perkaki persegi.

Tanah itu kemudiannya dibeli oleh Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dengan harga berlipat kali ganda, RM25 sekaki persegi.

Menurut Laporan Audit PWC juga, skandal PKFZ di PPSB ini turut membabitkan beberapa pemimpin Umno dan BN.

Antaranya, Pengerusi KDSB Datuk Seri Azim Zabidi yang juga Bendahari Umno – Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KDSB Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) – Timbalan CEO Datuk Faizal Abdullah yang juga Ketua Pemuda Umno Kapar, dan ramai lagi yang lain.

Kos bagi melaksanakan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)dijangka melonjak kepada RM12.453 bilion jika Lembaga Pelabuhan Klang(PKA) gagal menjelaskan bayaran ansuran pinjaman Kementerian Kewangan mengikut jadual.

Dalam Hansard Parlimen Mei lalu, dilaporkan skandal yang bernilai RM1.6 bilion pada tahun 2002 itu melambung antara RM7.4532 bilion dan RM12.5bilion.

Dalam pada itu, individu dan tokoh pemimpin lain yang boleh dipanggil untuk membantu siasatan termasuklah Tun Dr. Mahathir supaya skandal PKFZ Malaysia ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Baru-baru ini, Mantan Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik melemparkan tanggungjawab atas kos dan penilaian daripada Port Klang Free Trade Zone (PKFZ) tanah kepada mantan bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau mengatakan kos dan penilaian daripada tanah itu ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang diketuai oleh mantan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu, Dr Mahathir.

Beliau menambah lagi, Jabatan Pengangkutan adalah hanya menyatakan fakta bahawa tanah yang mereka inginkan. Tetapan kos, penilaian dan semua itu, bukan fungsi daripada Kementerian Pengangkutan dan juga mereka tidak mempunyai Jabatan Penilaian Itu kata bekas Menteri Pengangkutan pada masa itu, Tun Dr Ling Liong Sik

Seperti skandal Perwaja yang cuba diselesaikan oleh Tun Abdullah(mantan Perdana Menteri), tetapi akhinya skandal itu diam begitu saja apabila yang didakwa(Eric) sudah mati.

P/S : Harapan rakyat Malaysia supaya kes ini tidak terkubur begitu sahaja seperti yang berlaku pada kes Perwaja yang mana kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang tidak munasabah. Yang pentingnya semua yang terlibat mesti didakwa dan jangan ada dakwaan terpilih. Yang salah tetap salah. Yang hitam tidak akan menjadi putih merujuk kepada skandal PKFZ Malaysia ini.

Mufti perlu juarai semua isu berkaitan Islam

IPOH: PAS Perak menggesa para mufti menjuarai semua isu berkaitan umat Islam di negara ini dengan merujuk sumber al-Quran dan as-Sunnah tanpa memilih dan tidak dipengaruhi mana-mana sentimen politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Khairuddin Abdul Malik berkata, hanya tindakan sebegitu yang mampu mengelak sebarang label negatif oleh rakyat terhadap mufti.

Menurutnya, label negatif terhadap mufti yang berlaku hari ini adalah akibat mereka dilihat hanya menjuarai isu-isu yang berkepentingan bagi pihak Umno BN dan senyap dalam isu-isu besar membabitkan pemimpin negara.

"Apabila mufti bersikap pasif dan membisu dalam isu-isu yang dirasakan penting oleh rakyat, tiba-tiba sekarang mufti terlibat langsung dalam kemelut politik yang dilihat partisan tentulah sukar bagi rakyat menerimanya dengan baik sangka.

"Lebih-lebih lagi apabila umum mengetahui mufti pernah memberikan ucapan-ucapan yang ditafsirkan sebagai menyebelahi Umno," katanya merujuk kepada kes menimpa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Murfti juga, menurutnya dilihat hanya bersuara dalam isu murtad sedangkan banyak lagi isu-isu lain yang juga memerlukan penjernihan semasa daripada ulama.

Rakyat katanya, mahu melihat mufti lebih dari itu iaitu turut memberi pandangan berhubung salah laku elit dalam sistem kehakiman negara dan agensi-agensi penting kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

"Ini perkara yang mengecewakan rakyat yang cintakan Islam. Juga isu-isu tersebut menjadi faktor utama yang melambatkan proses dakwah dan transformasi (islah) dalam negara ini untuk menuju negara yang diredhai Allah.

"Kecuali dalam isu murtad. Rakyat tertunggu-tunggu respons dan teguran mufti dalam isu-isu besar seperti pengumpulan kekayaan di kalangan pemimpin Umno, pendakwaan terpilih, kehakiman yang songsang, pelanggaran amanah oleh kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (contohnya royalti minyak Kelantan dan Terengganu 1999), kes perangkap seks dan rasuah oleh Umno dan SPRM bagi menjatuhkan Kerajaan PR Perak, kenyataan-kenyataan anti Islam oleh pemimpin-pemimpin Umno, dan penggadaian kedaulatan negara kepada Singapura dan Brunei oleh Umno BN," katanya.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak, beliau juga melahirkan kekesalan terhadap 'sebahagian kecil' warga negara ini yang didakwanya terlibat dalam budaya menggunakan label-label yang kasar dan melampau terhadap Mufti Perak.

Bagaimanapun dalam kontrovesi terbaru yang melibatkan isu perpaduan Melayu yang cuba diterokai oleh mufti tersebut, beliau menyarankan kepada Harussani menjernihkan segera suasana agar beliau tidak terus dipandang serong oleh masyarakat.

Pilihanraya DUN Selangor Mungkin Tidak Berjalan Serentak dengan Negeri Lain

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Pakatan Rakyat (PR) Selangor dijangka akan menggunakan pendekatan memberi notis memanggil pilihan raya umum negeri - amalan julung kali digunakan jika menjadi kenyataan.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat pimpinan PR Selangor pada 19 Julai lalu.

Malah pada mesyuarat itu PR juga telah memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jikapun Barisan Nasioanl (BN) memanggil pilihan raya umum tergempar di peringkat pusat dalam waktu terdekat.

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya mahu mengamalkan pendekatan baru ini bagi menyuburkan prinsip demokrasi di negara ini dengan memaklumkan semua pihak bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh tertentu.

“Misalnya, kami mengambil ketetapan bahawa enam bulan sebelum DUN dibubarkan untuk diadakan pilihan raya umum negeri, kami akan memaklumkan kepada umum bahawa pilihan raya negeri akan diadakan.

“Ia bukannya tarikh tepat tetapi sekadar memberi makluman atau notis awal kepada semua parti politik,” kata beliau dengan merujuk kepada amalan di beberapa negara demokrasi lain.

Justeru kata beliau, dengan cara itu semua parti boleh bersiap sedia, tidak seperti dahulu di mana parti-parti politik khususnya pembangkang terperangkap dan terkejut dengan pengumuman pembubaran DUN atau Parlimen oleh kerajaan BN.

Kata Roslan, PR mahu mewujudkan amalan baru di negara ini khususnya di Selangor dengan harapan ia akan menjadi ikutan pada masa-masa akan datang.

“Sebelum ini kita mengadu pilihan raya diadakan secara mengejut, tiada makluman awal yang mencukupi kepada parti-parti politik... oleh itu, kami mahu mewujudkan satu sistem baru di mana semua parti akan mendapat manfaat dari segi persediaan,” katanya.

Minggu lalu Roslan memberitahu The Malaysian Insider, PR Selangor tidak akan membubarkan DUN walaupun BN memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum Parlimen dan negeri-negeri yang dikuasai mereka.

PR Selangor mahu menggunakan tempoh mandat lima tahun sepenuhnya, tanpa mahu terikat dengan rentak BN bagi membolehkannya menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.

Selangor salah satu daripada empat negeri yang kini diterajui PR. Tiga negeri yang lain ialah Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh memutuskan untuk memanggil pilihan raya negeri dengan memperoleh perkenan Sultan ataupun Yang Dipertua Negeri.

Perdana Menteri pula boleh berbuat demikian di peringkat pusat dengan menperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Lazimnya pilihan raya umum negeri dan pusat akan diadakan serentak.

Bagaimanapun pemerhati dan penganalisis menjangkakan kelainan ekoran perubahan landskap politik negara sejak 8 Mac 2008.

Mandat semasa akan berakhir Mei 2013.

-TMI

Khamis, 29 Julai 2010

Melayu serba salah: nak sokong UMNO takut terus dibohongi


oleh Aspan Alias

Orang Melayu sedang keliru dan sedang tercari-cari penyelesaiannya. Orang Melayu terutamanya yang sayangkan UMNO sendiri semuanya keliru dan kekeliruan ini ialah kerana keadaan semasa yang mana mereka tidak tahu untuk berbuat apa-apa bagi penyelesaiannya.

Benar kah jika UMNO diketepikan oleh rakyat Melayu akan hilang kekuasaan? Jika ianya benar rakyat terpaksa mempertahankan parti kita ini ‘at all cost’ dan pastikan rakyat memberikan mandat lagi kepada UMNO dan sekutunya dalam BN.

Apabila UMNO kembali berkuasa persoalannya bagaimana kita hendak mengelakkan harta benda rakyat dari dikikis oleh pemimpin dan kroni mereka melalu ‘projek privatisation’ yang menjadi modus operandinya?

Yang terakhir kita dengar dan tahu bagaimana tanah lapangan terbang Sungei Besi akan di berikan kepada orang-orang yang rapat dengan pucuk pimpinan negara.

Blog ini pernah mencadangkan agar tanah yang sangat bernilai ini diberikan munafaatnya kepada rakyat dengan membina Park yang luas untuk mengimbangi pembangunan Kuala Lumpur dengan pembangunan hijauan sepertikotaraya besar dinegara-negara maju.

Ramai rakyat bertanya jika UMNO ini masih diberikan kuasa mampu kah ia menjauhkan diri dari melakukan kemaksiatan mentadbir negara ini.

Kalau UMNO masih lagi memerintah bolihkah pimpinan memastikan perbelanjaam membeli peralatan tentara misalnya tidak ditambah kepada harga sebenarnya sebagai cara mendapatkan kamsen bukan.

Kamsen yang diterima bukannya diatas keuntungan syarikat yang menjual barangan kepada kita tetapi melalui ‘inflated prices’ yang kita cadangkan kepada mereka yang menjual peralatan-peralatan itu. Harga tambahan itu akan kembali kepada mereka yang berkuasa dan jumlahnya sangat besar; dalam ratusan juta ringgit.

Semuanya ini dapat dikesan oleh rakyat dan tidak boleh menyorokkan fakta yang melibatkan transaksi-transaksi tersebut. Rakyat sudah jemu dengan sikap kepimpinan kita merompak wang rakyat dan mengeringkan kantung negara.

Apabila kantung negara kekeringan pemimpin yang sama juga akan menarik balek subsidi yang masih diperlukan rakyat dan pendeknya rakyat terpaksa menang kos yang terlalu mahal untuk mengekalkan pemimpin-pemimpin yang rasuah ini.

Kalau UMNO masih berkuasa apakah kepastian yang pemimpin-pemimpin yang dikedepankan itu tidak ada imej yang baik seperti Nor Mohammad Yakcop, Nazari dan banyak lagi perasuah-perasuah disetiap peringkat.

Sebelum rakyat memberikan mandat sekali lagi mampukah MACC membawa kemuka pengadilan perasuah-perasuah berprofil tinggi yang begitu ramai?

Dari Perlis sampailah keSabah rakyat bercerita tentang pertimbangan samada untuk memberikan tugas terus kepada parti UMNO dan sekutunya memerintah negara kita ini.

Rakyat sudah sampai kepersimpangan dalam membuat keputusan samada untuk teruskan memberi mandat kepada UMNO dan sekutunya.

Rakyat sudah merasa ngeri untuk menyokong kepimpinan UMNO pada hari ini melihatkan UMNO tidak juga tidak berubah malahan bertambah parah sikapnya. UMNO terus menghadapi krisis keyakinan rakyat keseluruhannya.

UMNO seolaj-olah menjadi entity bisnes bagi anak isteri pemimpin kita untuk mengaut kekayaan yang terlalu berlebihan dan tidak ada perasaan segan dan silu berbelanja harta rakyat untuk memenuhi nafsu nafsi dan syahwat kehidupan terus menerus.

Pemimpin-pemimpin kita seolah-olah sudah hilang terus hidayah dan sudah tidak tahu dan mengenali lagi yang mana salah dan yang benar. Dalam pada itu rakyat dari hari kehari merasakan himpitan kos kehidupan yang tinggi dan melambung.

Kalaulah UMNO berjaya untuk menghilangkan perasaan was-was orang Melayu terhadapnya ini merupakan satu ‘miracle’. UMNO tidak boleh lagi bertindak semata-mata untuk menghilangkan sakit tetapi mesti bertindak untuk menghilangkan penyakit.

Sakit dan penyakit merupakan dua perkara yang berbeza. UMNO mesti faham apakah penyakit yang sebenar yang dihadapinya.

Selama ini UMNO hanya bertindak untuk menghilangkan sakit-sakit yang ada kepada tubuh UMNO itu sahaja sama seperti kita hanya makan ‘pain killer’ apabila terasa sakit kepala atau terasa sakit ditengkok dan telinga.

Memakan ‘pain killer’ apabila terasa sakit itu hanyalah tindakkan yang menghilangkan sakit buat sementara dan sakit itu akan berulang-ulang sehinggalah tubuh kita hilang daya tahan dan ‘pain killer’ itu tidak mampu lagi berfungsi sebagai penyelesaian terhadap rasa sakit kita tadi.

Yang tidak diubati ialah penyakit yang menghinggapi parti kita iaitu salahguna kuasa dan rasuah, kerana rasuah ini memberikan kesakitan yang amat sangat.

Banyak penyakit kanser misalnya hanya mengetahui yang kansernya telah sampai ketahap 3 atau 4 kerana selama ini mereka hanya memakan ubat sakit kepala, telinga dan sebagainya kerana tidak prihatin dengan penyakit yang sebenarnya yang dia hadapi.

Hanya setelah ubat yang menghilangkan sakit itu sudah tidak efektif lagi baru lah bergegas-gegas nak membuat ‘medical check up’ dan menyedari kansernya sudah sampai ketahap yang ‘terminal’.

Penyakit rasuah dikalangan pemimpin dan kerajaan sudah sampai ketahap ‘terminal’ dan sudah tidak terkawal lagi. Rakyat sudah tidak percaya lagi segala pengumuman tentang tindakkan kerajaan membeteras rasuah ini.

Apabila penyakit dalam UMNO ini sudah ‘terminal’ maka tidak ada siapa pun percaya penyakit UMNO ini tidak akan boleh sembuh lagi. Apabila masyarakat sudah tidak yakin yang penyakit yang kita hadapi akan sembuh, mereka akan hanya memikirkan waktu dan saat untuk menziarah jenazah dan mentalkinkan kita.

Tidak akan ada lagi orang untuk berususan dengan kita yang pada adatnya dan zahirnya akan mati.

Sesungguhnya itulah penyakit yang kita hadapi dalam UMNO…pemimpin disetiap peringkat sudah tidak lagi diyakini untuk mereka berurusan, kerana penyakit mereka sudah sampai ketahap ‘terminal’.

Itulah sebabnya UMNO tidak mampu lagi untuk melakukan penyelasaian dengan penyelesaian dengan sentimen perkauman semata-mata.

Pandangan yang orang Melayu akan hilang kuasa politik jika UMNO tidak memerintah tidak menjadi isu yang boleh menyatukan orang Melayu.

Melayu memang hendak bersatu, tetapi mereka hendak bersatu diluar UMNO. Mereka merasakan bersatu didalam UMNO hanya memungkinkan harta benda mereka dikaut dan di faraidkan oleh pemimpimpin dan anak isteri pemimpin mereka sahaja.

Mereka sudah tidak yakin yang UMNO mampu memberikan perlindungan kepada orang Melayu. UMNO hanya hendak menjadikan orang Melayu untuk memberikan kemudahan untuk pemimpinnya menyuburkan kegiatan rasuah.

Orang Melayu dan semua rakyat Malaysia sudah faham rasuah itu adalah penyakit yang membawa kepada banyak masalah didunia ini.

Orang Melayu dan semua bangsa sudah tidak menghormati individu-individu pemimpin dalam UMNO dan BN kerana mereka ada persepsi yang pemimpin UMNO dan BN mempunyai ‘attribute’ yang dibenci rakyat; iaitu mereka adalah gerombolan perasuah yang tidak ada hadnya.

Mereka tahu yang UMNO tidak boleh diperbaikki lagi; ianya hanya boleh diperbaikki jika kesemua pemimpin yang ada diatas ditukar 100 peratus, dan keadaan itu tidak mungkin berlaku.

Pemimpin-pemimpin ini rela UMNO berkubur dari menyerahkan kuasa kepada orang yang lebih bertanggung jawab untuk menyelamatkan UMNO.

Jadi, isu pemimpin-pemimpin UMNO untuk ‘survival’nya hanyalah isu perkauman sambil menakut-nakutkan orang Melayu semata-mata. Sebenarnya isu itu sudah tidak laku lagi kerana isu itu dibangkitkan pada setiap kempen pilihanraya Umum sejaka 1974 dahulu.

Orang Melayu tidak ingin bergaduh lagi, dan orang Cina pun memang tidak mahu keadaan yang mengerikan itu berulang lagi. Masing-masing berkehendakkan kehidupan yang aman damai dan makmur.

Kepada mereka, selagi UMNO menggunakan isu perkauman itu, UMNO akan hilang asanya untuk kekal dengan kewujudannya kerana tidak berhenti-henti menggunakan sentiment perkauman untuk mengekalkan sokongan rakyat yang berbilang kaum ini.

Dalam keadaan ‘desperate’ UMNO menggunakan isu pasir untuk menjatuhkan lawan diSelangor dan di P Pinang, sedangkan pasir ini menjadi bahan untuk dicuri sejak UMNO memerintah negeri itu.

UMNO dan penyokong-penyokongnya tidak mahu menerima hakikat yang mereka telah ditolak rakyat dan jika pasir hendak dijadikan isu untuk menjatuhkan PR diSelangor itu merupakan isu yang tidak betul untuk dipakai.

Sekarang kerajaan negeri Selangor telah membuktikan yang mereka telah mendapat sejumlah RM15.4 juta dalam tahun 2010 sedangkan selama BN memerintah Selangor, negeri itu tidak pernah berjaya mengutip lebih dari RM5 juta royalti pasir setiap tahun.

Rakyat sudah tidak ada lagi toleransi terhadap kepimpinan UMNO Selangor kerana semasa mereka memerintah mereka merasakan mereka memrintah dari kayangan dan selalunya terjebak dengan penyakit kufur nikmat.

Kita terlalu marah dengan orang bangsa Cina, kerana tidak memberikan sokongan kepada BN dan UMNO.

Apabila Dr Mahathir memindahkan kuasa kepada Abdullah, orang Cina memberikan sokongan yang hebat dan kuat sekali kepada kepimpinan Abdullah sehinggakan Abdullah mendapat 90 peratus sokong dari rakyat termasuk orang-orang Cina pada PRU11 pada tahun 2004 dahulu.

Mereka memberikan sokongan kepada Abdullah semata-mata kerana imej Mr Clean dan latarbelakang Agama yang ada kepada beliau. Orang-orang Cina sendiri berkeyakinan bagi seorang yang berlatar belakangkan Agama memang boleh dipercayai.

Tetapi bangsa Cina kecewa dengan Abdullah tidak ada bezanya dengan pimpinan yang sebelumnya dan mereka tidak lagi percaya kepada mana-mana kepimpinan Melayu kerana kepada mereka semuanya sama tidak kira mereka berlatar belakngkan Agama atau pun tidak.

Bagi mereka tidak ada sesiapa pun yang boleh dipercayai didalam kepimpinan UMNO yang ada pada hari ini. Berilah mereka jutaan ringgit untuk membangunkan sekolah jenis kebangsaan Cina mereka tetap tidak berkeyakinan.

Tetapi mereka juga faham yang negara perlu dipimpin oleh seorang pemimpin Melayu yang mereka percayai yang boleh membina masyarakat yang bersatu dan bersama-sama membangunkan negara yang kita sama-sama cintai ini.

Jika ini keadaannya maka kita orang Melayu masih ada harapan untuk berkuasa jika kita sanggup berusaha mencari sesiapa yang boleh melakukan tugas yang sangat berat ini.

Selagi pemimpin yang ada pada hari ini masih diharapkan untuk mencapai matlamat itu, kita tidak akan mencapainya sampai bila-bila.

Akhbar Suara Perkasa 'usik' Ka Siong lagi

Jimadie Shah Othman

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) terus 'mengusik' Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong dalam akhbar rasminya Suara Perkasa.

Dalam keluaran keduanya (kanan) bertarikh 16 Julai, akhbar itu antaranya melaporkan di muka depannya, lebih 50 pengundi di Air Hitam membantah keengganan Wee - wakil rakyat kawasan itu - memohon maaf berhubung isu biasaswa kepada pelajar Melayu dan bumiputera.

Ia disuarakan melalui satu memorandum yang menyifatkan "tindakan Ka Siong sebagai wakil rakyat BN sebagai amat memalukan".

"Tindakan Ka Siong itu mencerminkan beliau telah hilang kredibeliti sebagai wakil rakyat dan tidak komited kepada perjuangan kerajaan. Justeru Ka Siong patut segera meletakkan jawatan.

"Kami pengundi dalam kawasan Ayer Hitam juga telah lama diabaikan kerana beliau (Ka Siong) telah menghabiskan lebih setahun setengah untuk memberikan tumpuan kepada krisis dalaman MCA daripada memberikan tumpuan terhadap tugas dan tanggunggjawab yang diamanahkan untuk pengundi di sini.

"Malah, kecacatan moral beliau juga agak menonjol dalam krisis dalaman parti itu dan turut menjejaskan prestasi dan kredibelitinya sebagai wakil rakyat.

"Justeru itu kami mohon kepada kerajaan yang ada sekarang menamatkan jawatan beliau sebagai timbalan menteri pelajaran," wakil penduduk Siti Rosnani Maskan dipetik sebagai berkata kepada Suara Perkasa.

Dalam edisi sulungnya sebelum ini, akhbar itu dilihat bermula 'garang' dengan tajuk muka depannya berjudul "Tahan Ka Siong bawah ISA" - tindakan yang mengundang amaran keras daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ia sebagai reaksi kepada laporan The Star yang memetik Wee sebagai berkata jika kerajaan menghentikan pemberiaan biasiswa JPA tetapi mengekalkan biasiswa Mara, ia tidak selaras dengan konsep 1Malaysia.

Sementara itu, isu kontroversi tersebut terus diheret dalam keluaran terbaru Suara Perkasa bertarikh 1 Ogos (kiri) yang dijadual berada dalam pasaran petang ini.

Bagaimanapun, kali ini, 'serangan' terhadap Wee - yang didakwa "sengaja mencari populariti dengan politik perkauman apabila menolak pelawaaan untuk berdiolog" dengan PERKASA - dimuatkan di muka belakang sekali.

Dalam laporan itu, ketua wira NGO itu Arman Azha Abu Hanifah dilaporkan menganggap Wee sebagai tidak ikhlas untuk menjernihkan suasana berhubung isu biasiswa Mara tersebut.

"Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan kerana jika dia tahu dia tidak buat apa-apa salah kepada orang Melayu, kenapa nak takut berdiolog?" Arman Azha dipetik sebagai berkata.

Isu Air Selangor: Umnobn tidak bela penduduk miskin

Harakah | SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) bahawa keputusan kerajaan terdahulu berkenaan perkhidmatan air tidak pernah menyebelahi penduduk miskin di Selangor.

Beliau menyatakan demikian ekoran pemimpin Umno BN yang sering mengkritik pemberian air percuma kerajaan negeri Pakatan Rakyat di negeri ini.

Ianya termasuklah polisi perbezaan tarif mengikut jenis meter yang telah dibenarkan ketika kerajaan BN memerintah sebelum ini.

"Saya ulang di sini bahawa Kerajaan Selangor telah melaksanakan pemberian air percuma kepada penghuni rumah kos rendah yang menggunakan meter pukal dengan pengenalan sistem kupon," katanya.

Beliau juga turut memberi jaminan program air percuma tersebut akan diperluaskan ke seluruh negeri itu dalam waktu terdekat ini.

Berikutan itu, Kerajaan Selangor meminta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyelaraskan tarif air bagi meter individu dan meter pukal untuk membolehkan pengguna di negeri ini menikmati pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan dengan kadar yang sama.

Beliau berkata, perbezaan tarif air mengikut jenis meter tidak patut berlaku dan pihaknya akan mengadakan rudingan bersama pihak Syabas agar tarif perkhidmatan air diselaraskan untuk semua.

Ketika ini, Syabas mengenakan tarif yang berbeza mengikut jenis meter.

Bagi meter individu, 20 meter padu dikenakan RM11.40, RM16.00 untuk pengguna meter pukal bagi pangsapuri kos rendah dan RM27.00 bagi pangsapuri bukan kos rendah.

"Perbezaan tarif mengikut jenis meter ini diketahui ketika kerajaan negeri sedang memperluaskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan kepada penghuni rumah kos rendah yang menggunakan meter pukal.

"Jelas, pemberian air percuma oleh kerajaan negeri yang dilancarkan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bukan sahaja dapat menolong rakyat dari bebanan ekonomi tetapi juga telah dapat menolong menyeralaskan tarif dan caj perkhidmatan air," katanya


Tun Dr Ling Liong Sik dituduh pecah amanah projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang

Ling Liong Sik ketika tiba di Mahkamah Sesyen Putrajaya untuk menghadapi tuduhan berhubung skandal projek pembangunan PKFZ petang ini. – Gambar oleh Jack Ooi


Malaysian Insider | PUTRAJAYA, 29 Julai – Bekas menteri pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dituduh berhubung kesalahan berkaitan dengan skandal projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Mahkamah Sesyen di sini petang ini.

Pendakwaan ke atas bekas presiden MCA ini dilihat sebagai perkembangan mengejutkan – lama dinantikan ekoran janji Jabatan Penguam Negara akan membawa “jerung besar” – selepas tiga orang didakwa berhubung isu ini akhir tahun lalu.

Ling dipercayai sebagai individu pertama yang memegang gelaran “Tun” didakwa di mahkamah.

Tuduhan yang dikenakan ke atas beliau berkaitan dengan penilaian tanah di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan atau secara alternatif di bawah Seksyen 417 kanun yang sama.

Ling meminta dibicarakan apabila tuduhan dibicarakan ke atas beliau.

Peguam Negara memohon beliau diikat jamin RM1 juta dan peguam pembela tidak membantah.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail manakala Ling pula diwakili oleh Datuk R R Sethu.

Di bawah Seksyen 417, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun manakala di bawah Seksyen 418, tidak lebih tujuh tahun.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 September. Isteri Ling, Toh Puan Ena Ling juga hadir di mahkamah hari ini.

Ling akan menjelaskan ikat jamin esok kerana sudah terlewat untuk beliau menyediakan wang jaminan hari ini.

Projek PKFZ dilihat sebagai satu skandal apabila kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata keputusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk membangunkan PKFZ secara sekali gus dan bukannya mengikut fasa merupakan antara sebab kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Katanya keputusan untuk mengeluarkan bon bagi membiayai pembangunan projek berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan dalam kos pembangunan tersebut.

PKFZ, sebuah hab pemindahan ke kapal yang dibina atas tapak seluas 405 hektar di Pelabuhan Klang turut menempatkan gudang, blok bangunan dan sebuah hotel empat bintang, diselubungi kontroversi ekoran pendedahan bahawa kos pembangunannya melonjak daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

LPK membeli 400 hektar tanah PKFZ di Pulau Indah daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dengan kos RM25 bagi setiap kaki persegi. KDSB kemudian dilantik sebagai pemaju projek berkenaan.

Isu itu mendapat perhatian umum memandangkan LPK memperoleh pinjaman mudah Kementerian Kewangan sebanyak RM4.632 bilion bagi membiayai projek itu.

Bekas menteri pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat memberitahu Dewan Rakyat Jun 2009 bahawa keseluruhan kos projek PKFZ, berkemungkinan meningkat kepada RM12.453 bilion menjelang 2051, sekiranya tiada sebarang tindakan campur tangan dan daya usaha untuk mempromosikan PKFZ.

Pada 10 Disember lalu, bekas Pengurus Besar LPK Datin Paduka O.C. Phang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM254.85 juta dalam skandal PKFZ di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Phang sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad didakwa melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini, antara 1 Oktober 2004 dan 5 September 2005.

Dia menghadapi dua lagi tuduhan, masing-masing membabitkan jumlah RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 serta antara 1 Jun 2005 dan 13 Januari 2006.

Phang, yang mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu, didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Selain beliau tiga yang lain turut didakwa membuat tuntutan palsu berjuta ringgit dalam projek pembangunan PKFZ.

Tiga tertuduh dalam kes itu ialah Law Jenn Dong, 51, bekas pengurus projek KDSB iaitu syarikat kontraktor pembinaan PKFZ, Steven Abok, 51, Ketua Pegawai Operasi KDSB, dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 48, dari BTA Architect yang merupakan perunding PKFZ.

PAS saran Jakim perkenal logo 'haram'

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran memperkenalkan logo haram di samping mesti berani untuk mengisytiharkan produk-produk haram di pasaran agar tidak mengelirukan umat Islam.

Ketua dewan pemuda PAS, Nasrudin Hassan at-Tantawi mendesak kerajaan berbuat demikian setelah rakyat dididik dengan logo halal untuk menarik masyarakat pengguna agar mengambil dan menggunakan barangan halal.

“Saya mengira menjadi satu kewajipan juga bagi pihak kerajaan dan berkuasa agama mendidik rakyat dengan logo haram (gambar bawah) untuk menjauhkan masyarakat umat Islam dari mengambil dan menggunakan barangan haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nasrudin Hassan, lambakan barangan atau produk haram bagi umat Islam kini semakin bertambah dan membimbangkan umat Islam.

Katanya, lebih malang lagi terdapat produk yang menggunakan logo halal secara palsu.

Selain tindakan tegas dan penguatkuasaan secara serius oleh pihak kerajaan dan berkuasa agama, Hassan mahu mereka memperkenalkan logo haram.

“Sebelum ini, telah banyak kali kita dengar pihak tertentu memalsukan logo halal untuk melariskan jualan mereka, justeru mereka melihat logo halal boleh menarik orang untuk membeli barangan mereka biarpun tidak menepati piawaian barangan halal, sementara pihak Jakim tidak mempunyai skuad yang mencukupi untuk membuat pemantauan yang serius,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya Jakim mengisytiharkan produk-produk tertentu yang tidak menepati piawaian halal sebagai produk tidak halal atau haram dan mewajibkan mereka menampal logo haram, peluang untuk lambakan barangan haram di pasaran akan menjadi lebih kecil.

Dengan cara itu, kata Nasrudin Hassan tiada umat Islam yang akan membeli barangan yang dilekatkan logo haram jika mereka benar-benar mahu mencari produk halal di pasaran.

In
i kerana, tambahnya sebahagian besar pengguna tidak mampu untuk mengenali dan mengetahui kod-kod barangan yang haram seperti produk yang mempunyai gelatin dan sebagainya termasuk produk yang diimport dari Israel.

Justeru, katanya kod-kod barangan yang mengandungi bahan-bahan haram hendaklah diganti dengan logo haram.

“Jika logo haram dapat dikuatkuasa, maka mudahlah bagi Jakim yang selalu menyatakan bahawa mereka mengalami kekurangan tenaga untuk memantau, justeru produk haram ini tidaklah sebanyak produk halal di pasaran,” ujarnya.

Beliau
berkata risiko pemalsuan logo haram juga mungkin lebih kecil berbanding pemalsuan logo halal, lantaran logo halal menarik perhatian pengguna sementara logo haram tentunya menjauhkan pengguna.

Kaedah Islam, jelasnya asal sesuatu perkara (produk) ialah halal kecuali telah datang nas yang jelas mengharamkannya atau produk itu bercampur dengan bahan dan unsur haram.

“Ertinya yang haram ini jumlahnya jauh lebih kecil dari jumlah produk yang halal. Sepatutnya yang haram itulah diletakkan logonya iaitu logo haram bukan logo halal,” katanya.

PERKESO jual saham dalam syarikat arak


Bernama | KUALA LUMPUR: Dewan Negara dimaklumkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah menjual semua sahamnya dalam syarikat minuman keras, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad (Carlsberg), baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata saham itu dijual berikutan keputusan PERKESO melupuskan saham sedemikian pada April lalu.

Pada masa sekarang, PERKESO tidak mempunyai mana-mana saham di dalam syarikat itu walaupun pada satu ketika memang betul ia membeli saham syarikat ini, katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) peringkat kementeriannya di Dewan Negara, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Mumtaz Md Nawi yang meminta kementerian memberi penjelasan sama ada PERKESO masih lagi mempunyai pegangan saham dalam syarikat itu pada sesi perbahasan sebelum ini.

Subramaniam berkata, PERKESO tidak akan lagi membeli saham dalam syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan yang dianggap haram oleh agama seperti arak dan perjudian.

Skandal Saiful Bukhari dan Farah Azlina: Mengapa Farah Batalkan Perkahwinannya?

1. Dua hari lalu, Abdul Gani, pada sidang akhbarnya, mengesahkan Farah Azlina telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Anwar.

Persoalan - Mengapa Farah Azlina digugurkan serta-merta setelah pendedahan dilakukan oleh Raja Petra ?

2. Beberapa bulan lalu, Farah pernah dipindahkan dari Bahagian Rayuan dan Perbicaraan kepada Unit Jenayah Komersial di bawah Bahagian Pendakwaan setelah dinaikkan pangkat. Farah Azlina pada mulanya bukan sebahagian daripada pasukan asal pendakwaan dalam kes perbicaraan Anwar tetapi dibawa kemudiannya selepas seorang daripada timbalan pendakwa raya yang ditugaskan mengambil nota perbicaraan meletakkan jawatan.

Persoalan yang harus difikirkan - Mengapa timbalan pendakwa raya yang asal (sebelum digantikan oleh Farah Azlina) meletakkan jawatan? Adakah kerana tidak mahu bersubahat dengan pasukan pendakwaan??

3. Sebelum kejadian itu iaitu sebelum pembongkaran oleh Raja Petra, Farah Azlina dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan tetapi membatalkannya seminggu sebelum tarikh yang dijadualkan itu. Sebab pembatalan itu juga tidak diketahui.

Persoalan - Mengapa perkahwinan Farah Azlina dibatalkan seminggu sebelum ia dilangsungkan ? Adakah ianya berkait rapat dengan hubungai romantis antara Farah dan Saiful ??

4. Difahamkan, sumber dari Suara Keadilan menyatakan bahawa Saiful dan Farah dikatakan bercadang melangsungkan perkahwinan mereka secepat mungkin bagi menggelakkan lebih banyak persepsi buruk masyarakat terhadap mereka.

Persoalan - Mengapa terlalu kalut untuk cepat berkahwin? Adakah suatu kebusungan yang hendak disembunyikan??

Sumpah laknat yang dihamburkan oleh Saiful Bukhari telah memakan diri. Mungkin jika peristiwa ini berlaku di zaman para nabi, pastinya si pesumpah akan mendapat balasan secara 'cash' dengan kuasa Allah.

Tetapi di zaman ini, sumpah yang makan tuan itu ditunjukkan dalam bentuk yang mengaibkan peribadi seperti ditangkap khalwat dengan pelajar di bawah umur, dan mungkin juga didapati 'mengandungkan' seseorang ketika masih mempunyai ikatan pertunangan dengan orang lain.

Personaliti media yang bernama Janna Syariza harus tampil menyatakan status pertunangan mereka. Ini bertujuan untuk membersihkan nama Janna dari terus terlibat dengan kebobrokan sebuah pasukan yang cuba menjatuhkan Anwar Ibrahim dalam apa jua kosnya.

Saudara dan saudari sekalian, mungkin apa yang kita lihat hari ini dan apa yang ditunjukkan kepada kita hari ini kesemuanya adalah berbentuk peribadi. Jika diikutkan, apa perlu untuk kita mengambil pusing perihal peribadi yang sedang hangat diperkatakan? Apakah rasionalnya?

Maka perlulah diingat bahawa, pertuduhan yang dilempar kepada DSAI juga sangat-sangat peribadi dan juga sangat mengaibkan. Seorang anak muda yang diberi kepercayaan supaya suatu hari nanti menjadi orang yang berguna kepada rakyat akhirnya menuduh tuannya dengan tuduhan yang tidak masuk akal - Kononnya diliwat ketika punya kekuatan untuk melawan.

Masalah peribadi yang dihadapi oleh Saiful Bukhari harus menjadi rasional untuk dibicarakan kerana ia telah menyebabkan keperibadian seorang pemimpin dicalar sehabisnya hingga mungkin bakal menamatkan karier politik seorang pejuang.

Oleh demikian, keperibadian 'orang yang menuduh' iaitu Saiful Bukhari perlu di ambil perhatian lebih-lebih lagi orang yang dituduhnya merupakan seorang pemimpin yang punya kredibiliti, kedudukan dan punya karisma. Jika benar Saiful diliwat, hingga dibawakan kepada kita sebuah sumpah lakhnat tujuh keturunan sejurus sebelum PRK Permatang Pauh pada Ogos 2008, maka perjalanan yang dilalui oleh Saiful sepatutnya lebih dipermudahkan.

Apalah perlunya perbicaraan kes liwat DSAI ini diteruskan sekiranya orang yang menuduh tidak mempunyai moral setulus dahi legamnya. Sama-sama kita lihat di manakah berakhirnya konspirasi yang semakin kucar dan kacir, adakah ia berakhir di Sungai Buluh atau berakhir di Putrajaya. Mohon petunjuk dari Allah...

Akhir kata, masih ingatkah kita akan sumpah lakhnat yang dilakukan oleh DS Najib suatu masa dulu? Apalah balanya yang bakal dituruti sekiranya sumpah ini memakan tuannya, adakah ia berbentuk kekalahan teruk pada PRU akan datang? Sabar-sabarlah kita nantikan...


edyesdotcom.blogspot.com

FDI: Mustapa tidak bertanggungjawab, hina rakyat


KUALA LUMPUR, 29 Julai: Jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kejatuhan pelaburan langsung luar (FDI) ke negara ini adalah tidak bertanggungjawab dan menghina pemikiran rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mustapa mendakwa, FDI ke negara ini merudum begitu teruk ke tahap terburuk sehingga 81 peratus kerana Malaysia berada pada tahap pembangunan yang berbeza dengan jiran-jirannya.

"Mustapa enggan mengakui kegagalan kerajaan khususnya Kemneterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencipta peluang-peluang pelaburan di negara ini dengan berdalihkan ketiadaan pembangunan infrastruktur di negara ini seolah-olah negara ini maju sangat berbanding India atau Vietnam.

"Kalau Malaysia hebat sangat dari segi infrastruktur dan berada pada tahap pembangunan berbeza berbanding jiran-jirannya seperti Vietnam dan Indonesia, mengapa pembinaan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar menjadi fokus Rancangan Malaysia Ke-10?" Mahfuz mempersoalkan.

Mahfuz juga menolak dakwaan Mustapa yang cuba mengaitkan kejatuhan terburuk FDI itu kerana kerajaan tidak berminat menarik pelaburan kategori rendah seperti pemprosesan dan pemasangan.

"Kerajaan yang tak berminat atau pelabur yang sebenarnya tidak berminat untuk melabur di negara ini yang terkenal dengan budaya rasuah parti pemerintahnya?

"Tidak cukup dengan kegagalan dan ketiadaan kebolehan menjalankan tugas, cakap berlagak pula untuk mewajarkan kegagalan. Inilah akibat dari sindrom DBS Umno - dah bodoh, sombong.

"Sebab itulah saya sifatkan jawapan Mustapa bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina pemikiran rakyat kerana nampak sangat beliau cuba memperbodohkan rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sepatutnya, kata beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya mengakui kelemahan mereka untuk menarik kemasukan FDI ke negara ini dan memohon maaf dari rakyat kerana tidak berkebolehan menjalankan tugas mereka.

"Reaksi menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya tak ubah seperti yang disebutkan pepatah Melayu, diri sendiri tak tahu menari, salahkan tanah tinggi rendah - mereka menyalahkan segala-galanya termasuk blog kecuali diri mereka sendiri," katanya.

Sepatutnya lagi, kata Mahfuz lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat memalukan itu.

Perangai enggan mengaku kelemahan diri sendiri yang sudah sebati dengan Umno itu, katanya lagi. akan menghancurkan negara.

Mahfuz mengaitkan sikap itu dengan keyakinan bahawa mereka tidak akan dibuang.

"Tidak hairan kalau tidak ada accountability dan responsibility langsung di pihak menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya kerana mereka yakin sangat mereka tidak akan dibuang kerja.

"Tambahan pula Najib sering dikaitkan dengan sikap yang lebih mengutamakan ‘tukang kipas’ daripada kepandaian dan kerajinan membuat kerja.

"Beliau juga dikatakan membuat perlantikan untuk mengambil hati dan menutup mulut pengkritik yang ditakutinya.

"Dan, lebih dari semua itu, kegagalan mereka adalah kegagalan Najib sendiri, takkan Najib nak membuang mereka dan dirinya sendiri," kata Mahfuz.

Malaysia sambut Hari Pahlawan ikut fatwa Sabtu ini

Oleh Adib Zalkapli



Sebahagian daripada Tugu Negara di Kuala Lumpur digambarkan.

The Malaysian Insider | KUALA LUMPUR, 29 Julai — Hari Pahlawan disambut di Dataran Merdeka pada Sabtu ini — buat kali pertama berlangsung tanpa acara letak kalungan bunga dan bertafakur selama seminit di Tugu Negara, yang menjadi amalan biasa sebelum ini.

Sambutan kali ini diubah suai dan dijalankan mengikut fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan lebih sedekad lalu, dan yang terbaru April 2009.

Perubahan lokasi sambutan juga selari dengan keputusan majlis tersebut yang memutuskan Tugu Negara di ibu negara, berusia lebih empat dekad, bertentangan dengan hukum syarak.
Tugu Negara menggambarkan sekumpulan perwira memegang bendera dibina pada 1960-an bagi memperingati mereka yang meninggal dunia ketika darurat dan pendudukan Jepun.

Berdasarkan maklumat diperoleh The Malaysian Insider dari Kementerian Pertahanan, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyempurnakan sambutan kali ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam cuti sehingga awal bulan depan.
Majlis Fatwa Kebangsaan pernah mengeluarkan dua fatwa mengenai Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan “Last Post”, bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan “Rouse” yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 21 hingga 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera.

Ia telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.

Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.

Bagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.

Acara-acara seperti majlis peringatan termasuk bacaan doa selamat, yasin, tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.

Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Bagaimanapun acara tiupan “The Last Post” dan “Rouse” akan diteruskan kali ini.

Deklamasi sajak dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran akan diadakan.

Majlis tahlil khas akan diadakan di Masjid Negara pada malam sebelum sambutan di Dataran Merdeka.

“Kami sudah lama meminta agar dilakukan perubahan. Saya gembira kerana kini mereka akhirnya mendengar,” kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang turut menganggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Fatwa bukan sesuatu yang baru. Tetapi tiada perdana menteri yang berani mematuhi (fatwa). Saya gembira kerana Datuk Seri Najib ada iltizam untuk mengamalkannya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui baru-baru ini.

Najib menghadiri sambutan Hari Pahlawan yang pertama sebagai perdana menteri tahun lalu di Tugu Negara di mana beliau mengetuai beberapa anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan angkatan tentera dan polis meletakkan kalungan bunga.

“Ini tradisi orang putih (penjajah). Mengapa harus kita mengekalkannya? Kita boleh melakukannya dengan cara kita,” kata Harussani.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Perajut Datuk Muhammad Abdul Ghani memberitahu, perubahan sambuatan Hari Pahlawan akan menarik lebih ramai orang untuk menyertai sambutan.

“Sama ada Islam atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi secara peribadi saya hanya mengingati rakan-rakan saya yang terkorban,” katanya.

Sehubungan itu Muhammad menambah, sambutan di Dataran Merdeka akan mempertingkatkan kesedaran mengenai Hari Pahlawan.

“Ia sangat penting seperti Hari Kebangsaan. Sambutan tidak begitu meriah, tetapi disebabkan ia diadakan di Dataran Merdeka, lebih ramai akan hadir,” katanya.

“Kami hanya ikut keputusan kerajaan. Tidak kisah bagaimana ia disambut, tetapi yang penting hari penting ini diperingati,” kata Muhammad.

Pada 31 Mac lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya.

Beliau berkata pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

“Pada tahun ini kita akan adakan sambutan di satu tempat yang tertakluk kepada Perdana Menteri tetapi dataran tetap akan dibuat atas persetujuan bersama antara Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jakim.

“Elemen-elemen perayaan kali ini akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.

Zahid berkata perkara itu turut dipersetujui oleh Najib, malah beliau meminta permbinaan dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar itu disegerakan.