Sabtu, 31 Julai 2010

Guru Berpolitik Tapi Jangan Pilih Parti Pembangkang


SinarHarian | SHAH ALAM – Meskipun guru dibenarkan berpolitik tetapi mereka mestilah bijak untuk memilih parti politik yang disertai.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebagai kakitangan kerajaan, guru perlu membuat pertimbangan sewajarnya jika memilih bersama parti pembangkang.

“Ini kerana mereka bekerja untuk Kerajaan Persekutuan, bukannya tidak boleh sokong pembangkang tapi fikirlah dengan mendalam sebelum membuat keputusan dengan tepat.

“Kami tidak peduli apa pembangkang nak kata kerana pembabitkan guru dalam politik secara keseluruhannya memberi kesan positif untuk perkembangan kepimpinan parti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, idea kreatif dan aktiviti menarik dapat diperoleh daripada guru terbabit untuk memperkemaskan parti pada masa depan.

“Politik tidak akan menganggu masa guru kerana ia bukannya sepenuh masa walaupun berjawatan kelak dalam parti kerana pembahagian masa dapat dilakukan dengan lebih terancang.

“Guru tidak akan mempengaruhi pelajar kerana politik tidak membabitkan golongan ini tetapi sasaran ialah ibu bapa mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pihaknya akan menyediakan garis panduan tertentu supaya guru dapat melaksanakan tugas sebagai pendidik dan politik dengan teratur.

“Mereka perlu memastikan tanggungjawab sebagai pendidik tidak terabai sekaligus khidmat dalam politk dapat dilaksanakan secara seimbang.

“Perkara ini tidak menjadi masalah kepada guru berdasarkan sikap profesionalisme yang ditunjukkan untuk melakukan aktiviti lain secara langsung,” katanya.