
SHAH  ALAM 21 Dis.:  Seruan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin  Yassin  menggalakkan lebih banyak pertubuhan mendaftar sebagai parti  politik di  negara ini menjelang pilihanraya umum tidak lama lagi menjadi  tanda  tanya.
Justeru menggambarkan bahawa Umno-Barisan Nasional   mempunyai agenda tersembunyi bagi mengurangkan majoriti Pakatan Rakyat   yang dijangka memberi saingan hebat kepada parti itu pada Pilihanraya   Umum Ke-13 nanti.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam   Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang dihubungi TV Selangor   menjelaskan, penubuhkan persatuan adalah hak asasi dalam sistem   demokrasi negara seperti yang termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan   Persekutuan.
Malah Aziz menganggap gesaan Muhyiddin itu sebagai pendekatan menarik.
Namun   menurut beliau, tindakan tersebut seolah-olah memberi lampu hijau   kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk   mempermudahkan proses pendaftaran parti politik baru walaupun sejarah   membuktikan sebaliknya.
"Daripada segi perlembagaan, itu memang   hak asasi semua orang. Perkara 10, menubuhkan persatuan selain daripada   kebebasan bersuara dan berhimpun ini adalah satu hak asas dalam   demokrasi.
"Dari segi politik kita tidak tahu, tapi apa maksud   TPM buat kenyataan itu, sebab benda itu di bawah kuasa pendaftar   pertubuhan, mahu cepat atau lambat. Yang kita bimbang, bila dia (TPM)   cakap begitu, seolah-olah memberikan lampu hijau kepada pendaftar yang   kita tahu sekadar kakitangan awam makan gaji untuk mempercepatkan   pendaftaran," ujar beliau.
Menyifatkan sebagai "lebih ramai,   lebih meriah", Muhyiddin menjelaskan pilihan rakyat akan bertambah   sekiranya lebih banyak parti politik dalam negara namun menolak ianya   mampu memberi cabaran kepada Barisan Nasional.
Ini berikutan   katanya, parti politik baru tiada polisi dan ideologi yang jelas selain   pemimpin yang tidak mempunyai visi untuh untuk negara.
Profesor   Dr Aziz menambah, masyarakat kini lebih pandai menilai politik murahan   justeru galakan secara tiba-tiba oleh Muhyiddin akan dipantau lebih   teliti oleh rakyat.
Beliau turut mengambil perumpamaan penubuhan   parti politik di negara Indonesia yang tumbuh seperti cendawan selepas   kejatuhan Presiden Suharto namun tidak kekal lama.
"Kita tidak   ada masalah oleh kerana menubuhkan persatuan parti politik adalah hak   asasi yang tidak sepatutnya disekat. Tetapi secara tiba-tiba digalakkan   seperti itu apa maksudnya? Cuma kita berasa bahawa rakyat ini cerdik.   Mereka tidak termakan dengan pelbagai persatuan atau parti politik,"   jelas beliau lagi.
Baru-baru ini, Zaid Ibrahim dilantik menjadi   Presiden Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang sebelum ini dikenali   sebagai Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) selain Pergerakan   Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) yang turut diperkenalkan.