IPOH:  Seorang pelajar berkata dia melihat mayat bergelimpang di atas jalan  raya sejurus selepas bas pesiaran yang membawa pelancong Thailand  terbabas di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai  menyebabkan 28 terbunuh setakat ini. “Saya  juga nampak ada kanak-kanak terbaring di longkang dipercayai tercampak  dari bas,” kata Mohamad Shafwan Mohd Nan, 17, yang mengikuti rombongan  sekolahnya dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands.
Mohamad  Shafwan berkata ketika sampai di tempat kejadian, beliau nampak  beberapa mangsa yang cedera dan berlumuran darah keluar dari bas yang  terbalik itu. Dua puluh tujuh pelancong Thailand dan seorang pemandu bas  yang dikenali sebagai Omar Shahidan dari Kangar, Perlis, terbunuh  apabila bas pesiaran itu terbalik ke dalam longkang ketika turun dari  pusat peranginan itu pada jam 11.40 pagi tadi.
Seramai  22 orang mati di tempat kejadian, empat meninggal dunia dalam  perjalanan ke hospital dan dua lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun  di sini. Mereka yang cedera dibawa dengan ambulans ke hospital manakala  mayat dibawa dengan lori polis dan Jabatan Pertahanan Awam.
Setakat  ini, polis telah mengesahkan mangsa yang mati adalah 12 lelaki dan 15  wanita manakala identiti seorang lagi belum dikenal pasti. Wartawan dan  jurugambar yang bekejar ke tempat kejadian terpaksa berjalan tiga  kilometer ke tempat kejadian kerana laluan itu telah ditutup kepada  semua lalu lintas bagi memudahkan kerja menyelamat.
Usaha  untuk mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku semasa kejadian  agak sukar kerana semua penumpang lain dan dua lagi rakyat Malaysia  iaitu pembantu pemandu dan pemandu pelancong mengalami cedera  parah. Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, yang mempunyai banyak  cerun, dibuka kepada lalu lintas pada 2003 dan menjadi laluan alternatif  ke Cameron Highlands selain jalan dari Tapah. Ia juga digunakan bagi  mereka yang mahu pergi Gua Musang melalui Lojing di Kelantan. – BERNAMA


Sebahagian  anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat salah satu daripada 28  pelancong warga Thailand yang terkorban dalam kemalangan sebuah bas  pelancong di KM 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, 20 Dis. -






