Metro | Menteri   Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menasihatkan orang ramai supaya   tidak menggunakan ubat-ubatan tidak berdaftar khasnya ubat untuk   meningkatkan tenaga batin lelaki kerana ia mengandungi bahan racun.
Menurut   beliau, rata-rata ubat kuat lelaki yang semakin berleluasa dijual di   pasaran bercampur dengan bahan-bahan racun seperti sildenafil, tadalafil   dan verddanafil yang merupakan bahan aktif perangsang seks lelaki.
Sildenafil,   tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan   erectile dysfunction yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh   doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi daripada seorang   doktor.
"Kesan sampingan ubat itu sangat berbahaya kepada pesakit  jika diambil tanpa pengawasan doktor.
"Adalah  tidak berbaloi  kepada mereka yang mengambil ubat kuat lelaki kerana ia  mempunyai banyak  kesan sampingan dan akan merosakkan badan," katanya  kepada pemberita  selepas melawat Biro Pengawalan Farmaseutikal  Kebangsaan di sini  semalam.
Antara kemudaratan ubat itu ialah  serangan jantung,  strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah,  kehilangan  pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya  adalah kekal.
Beliau  berkata, produk-produk mengandungi  bahan-bahan aktif perangsang seks  lelaki itu juga semakin dipelbagaikan  dan mudah didapati dalam bentuk  minuman seperti kopi dan teh lemon  ais.