MerdekaReview | Nasib  bekas Tentera Udara Diraja  Malaysia (TUDM), Faizzal Jinong Abdullah  masih tidak terbela, meskipun  lebih daripada 20 laporan polis, malah  aduan dibuat terhadap Kementerian  Pertahanan.  Faizzal mendakwa bahawa  dirinya pernah dihumban ke  penjara, malah keluarganya diberi layanan  yang buruk kerana cubaannya  untuk mengadu kesalahan pegawai atasan.
Pemimpin   PAS ini berkata, "Pihak berkuasa khususnya Kementerian Pertahanan   haruslah mengambil insiatif dengan menjalankan siasatan tanpa melindungi   mana-mana pihak yang bersalah.  Buktikan ketelusan yang ada dalam   perkhidmatan tentera dengan membawa mereka yang bersalah ini ke muka   pengadilan."
Air dan elektrik diputuskan
"Persoalannya   kenapakah penderaan dan penindasan perlu dilakukan sekiranya tiada   perkara yang hendak disembunyikan oleh mana-mana pihak?  Oleh kerana itu   sekiranya pihak berkuasa telus dan jujur untuk melaksanakan   undang-undang yang ada maka bawa mereka yang bersalah itu ke hadapan   tanpa melindungi mereka dalam apa jua cara," katanya lagi.
Faizzal   yang telah berkhidmat selama 23 tahun mulai merasakan beliau dan   keluarga ditindas dan diberi layanan yang buruk ketika bersama pasukan   tersebut semasa mereka tinggal di kuarters tentera di Blok F4(0-2) di   Kuching, Sarawak.
"Saya  sekeluarga  bukan saja dianiayai dengan bekalan elektrik diputuskan  selama tiga  bulan dalam keadaan gelap bersama enam orang anak yang  berusia antara 5  hingga 17 tahun, tetapi juga dihumban ke dalam penjara  apabila cuba  untuk mengadu kesalahan pegawai atasan kepada pihak yang  berkuasa," kata  Faizzal.
Puluhan laporan polis
Isterinya   Che Murni Dara Mat Zain turut menunjukkan bukti puluhan laporan polis   yang telah dibuat bagi menuntut supaya mereka diberi pembelaan yang   sepatutnya tetapi segalanya tidak berlaku.
"Aduan   kepada Komander di Pengkalan Tentera Udara di Kuching dan juga di ibu   pejabat TUDM di Kuala Lumpur pernah kita lakukan.  Begitu juga kepada   Kementerian Pertahanan tetapi tiada apa-apa tindakan yang mereka ambil   bagi membawa mereka yang menganiayai kami."
"Kemudian   kami ditempatkan di sebuah rumah di Negeri Sembilan tanpa mempunyai   bekalan air dan elektrik sedangkan anak-anak saya masih kecil dan   bersekolah.  Penindasan ini bukan saja setakat ini, sebaliknya ia   berterusan apabila kad pengenalan awam suami saya yang sepatutnya   mencatatkan juga nombor tentera beliau sebelum ini tidak dicatatkan   walaupun kami menghadapi kesukaran yang begitu payah bagi mendapatkan   kad pengenalan tersebut sebelum ini," katanya lagi.
Masih diancam dan diugut
Faizzal   yang kini menetap di Jawi, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan masih   lagi menerima ancaman dan ugutan dari pihak tertentu yang membuat   panggilan bagi mengancam keselamatan beliau dan keluarga.
"Sekiranya   mereka yang bersalah masih tidak dibawa ke muka pengadilan di atas   segala penyelewengan dan skandal yang mereka lakukan, maka selagi itulah   ancaman dan ugutan akan terus kami sekeluarga terima."
"Oleh   kerana itu adalah menjadi harapan saya dan keluarga bagi mendapat   pembelaan yang sepatutnya dari pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan   kami supaya dapat hidup aman dan damai dalam sebuah negara yang merdeka   dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan," tambahnya lagi.
*Nazar Hashim