

Bernama | Langkah untuk memberi penjelasan mengenai konsep 1Malaysia memang wajar dilakukan dan sedang dijalankan oleh kerajaan untuk memberi penerangan secara terperinci kepada rakyat mengenainya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak menjangkakan rakyat akan dapat memahami konsep itu selepas setahun ia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pentadbirannya.
Bagaimanapun, katanya, terdapat rakyat yang sudah mula dapat memahaminya.
"Kerajaan   memberi penjelasan, mengadakan pelbagai program untuk rakyat agar  lebih  memahami tentang apa yang dimaksudkan tentang gagasan 1Malaysia.
"Kita   jangka mungkin dalam satu tempoh akan datang, semua orang akan dapat   memahami ertinya yang sebenar, tidak ada salah tafsiran tentang apa yang   dimaksudkan gagasan 1Malaysia," katanya kepada selepas mempengerusikan   mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di Putrajaya, hari  ini.
Beliau  berkata demikian ketika mengulas pandangan Dr  Mahathir semalam yang  mahu kerajaan menjalankan program penerangan  secara menyeluruh bagi  memperjelaskan konsep 1Malaysia secara  terperinci kepada seluruh  masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi  mengelak berlakunya  kekeliruan.
Muhyiddin berkata, wujud  kecenderungan  tafsiran mengenai konsep itu dibuat mengikut pandangan  kelompok tertentu  berbanding yang dijelaskan oleh Perdana Menteri.
"Perdana   Menteri menjelaskan gagasan ini adalah gagasan yang berteraskan   perlembagaan negara. Itu yang paling kukuh dan apa pun tafsirannya, ia   tidak seharusnya lari daripada apa yang terkandung dan semangat yang ada   dalam perlembagaan.
"Baik dalam soal hak Bumiputera,  bahasa,  budaya, kedudukan raja dan agama. Apapun ia tidak seharusnya  lari  daripada itu," katanya.
Beliau berkata, yang  pastinya gagasan  1Malaysia adalah satu perkara yang dinamik, ia bukan  statik dan pasti  ada pihak yang cuba mentafsirkan mengikut kehendak  masing-masing.