25 OGOS – Setiap kali isu hukum hudud muncul, komen-komen negative  ditimbulkan yang dilihat cuba dijadikan bahan untuk menakutkan mereka  yang tidak ada pengetahuan berkenaan topik ini.
Dua tokoh Parti  Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang  segera menolak pelaksanaan hudud yang dibincangkan dalam satu seminar di  Kota Bharu baru-baru ini terus menjadikan isu masyarakat berbilang kaum  dan zaman moden sebagai alasan.
Sebagai tokoh politik yang  mewakili masyarakat bukan Islam di negara ini, kita memahami kebimbangan  tokoh-tokoh ini jika dianggap tidak berjuang menjaga kepentingan  golongan terbabit.
Lebih parah ialah kebimbangan tohmahan bahawa  mereka kini menjadi barua PAS dalam isu-isu yang merugikan masyarakat  bukan Islam di negara ini.
Hakikatnya ini adalah permainan lama yang hanya digunakan untuk menakutkan orang-orang bukan Islam.
Kepada  para penentang hukuman syariah termasuk hudud, mereka perlu sedar  bahawa penerimaan hukuman ini di kalangan orang Islam adalah sesuatu  yang tiada pilihan. Sebagaimana amalan-amalan Islam seperti solat lima  waktu, berpuasa di bulan Ramadan, haji di Mekah dan seumpanya, hukum  syariah temasuk hudud adalah kewajipan setiap indidvidu muslim.
Kewajipan  melaksanakan perkara ini bukan sekadar dasar PAS atau kehendak Tuan  Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.  Ia adalah arahan wajib kepada setiap  orang Islam. Terpulang kepada mereka untuk melaksanakannya berdasarkan  kemampuan dan kuasa yang ada pada mereka.
Seperti telah  berkali-kali ditegaskan, pelaksanaan hukum Islam tidak akan mengganggu  hubungan hormat-menghormati antara orang Islam dan bukan Islam.  Penjelasan berkenaan perkara ini adalah terbuka dan tidak ada apa yang  perlu disembunyikan.
Dialog dan perbahasan sihak perlu diteruskan  sehingga para penentang yang cuba menakut-nakutkan mereka yang tidak  faham dapat dihapuskan sama sekali.
Pelaksanaan syariah tidak jejaskan amalan demokrasi – Pakar
Pakar-pakar  perundangan Islam bersepakat bahawa pelaksanaan syariah secara  menyeluruh termasuk hukum hudud tidak akan mengganggu proses demokrasi  dan hak-hak orang bukan Islam di negara ini.
“Kepada orang Islam,  tidak ada pilihan bagi mereka selain hukum hakam yang disyarakkan oleh  Allah SWT untuk mereka, sama ada yang berkaitan dengan aqidah, ibadat,  muamalat, munakahat, jinayat, kehakiman, adab, akhlaq, politik,  kenegaraan, hubungan antara manusia, antara negara, hubungan manusia  dengan alam dan sebagainya,” kata Datuk Mohd Salleh Ahmad, felow kanan,  jabatan undang-undang Islam, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,  Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).
Menurut beliau, dengan  pelaksanaan menyeluruh sistem perundangan Islam, suasana harmoni bukan  sahaja dirasai oleh masyarakat Islam, malah termasuk mereka yang bukan  Islam dan alam sekitar tumbuhan dan haiwan.
“Ciri-ciri  perundangan Islam yang mencakupi penyelesaian teras dalam kehidupan  manusia akan memberikan suasana baru kerana hukuman-hukuman yang  dkenakan mempunyai serampang dua mata untuk kebaikan serta merta  (duniawi) dan kebaikan selepas mati (ukhrawi),” jelas beliau ketika  membentangkan kertas kerja hukuman sebat dari perspektif Islam, di  Kompleks Islam Darulnaim, 19 Ogos lalu.
Bagi ketua hakim syari’e  negeri kelantan, Datuk Daud Muhammad, semua undang-undang Islam termasuk  hudud telah siap sedia dilaksanakan di negara ini kerana segala  prasarana sistem kehakiman syariah telah dipersiapkan.
“Kita  hanya tunggu lampu hijau dari pihak yang berkuasa,” kata beliau menjawab  soalan peserta seminar yang ingin tahu bilakah perlaksanaan hukum hudud  dapat dilaksanakan.
Datuk Daud membentangkan kertas kerja  bertajuk Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah, Realiti Pelaksanaan  pada seminar tersebut.
Bagi menghadapi tohmahan para penentang  pelaksanaan syariah dari dalam dan luar negara, timbalan ketua bahagian  penasihat (seksyen syariah) Jabatan Peguam Negara, Muhammad Naser bin  Disa berkata sejarah Malaysia silam menunjukkan rantau ini telah  bergerak maju semasa tidak ada undang-undang lain selain undang-undang  Islam dilaksanakan.
“Sebelum kedatangan penjajah Barat, bukti  bertulis dalam pelbagai versi menunjukkan hanya undang-undang Islam yang  diterima pakai oleh kerajaan-kerajaan yang di wilayah yang kini  bergabung dalam satu entiti yang dsebut Malaysia,” kata beliau ketika  membentangkan kertas kerja pelaksanaan hukuman sebat dalam kes jenayah  syariah – cabaran dan halangan pada seminar itu.
Peraksanaan  undang-undang Islam menyeluruh seperti diamalkan itu menurut beliau,  tidak menyekat wujudnya masyarakat berbilang kaum termasuk non-muslim di  rantau ini.
“Amalan perundangan Islam juga sama sekali tidak  menghalang kerajaan-kerajaan zaman itu berinteraksi dengan masyarakat  antarabangsa yang terdiri dari kalangan umat Islam dan orang-orang bukan  Islam,” jelas beliau. – harakahdaily.net
* Mohamed Zainal Abidin Hussin ialah pegawai penyelidik Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan.