Ahad, 15 Ogos 2010

DINAR DAN DIRHAM : KENAPA JADI ISU?


Saya teringat Gemulah ayah mertua saya, dia pernah menceritakan kepada saya yang ketika Jepun mendarat di Sabak, dia berumur 14 tahun. Dia sudah tidak bersekolah, kerana dia tak naik-naik kelas, terpaksa mengulangi kelas satu untuk 3 tahun berturut-turut. Dia meminta modal dari emaknya untuk memulakan perniagaan, emaknya telah memberi dia sekeping emas pound duit Amerika yang sudah diikat menjadi kancing baju. Dia jual kancing baju itu dan memulakan perniagaan menggunakan perahu di sungai Kelantan. Dia mula-mulanya berniaga budu. Perniagaannya berkembang, di akhir pemerentahan Jepun dia sudah berniaga macam-macam termasuklah atap dan balak di sepanjang Sungai Kelantan. Di waktu pemerentahan Jepun ini, antara teman yang ditemui di Kota Bharu ialah Almarhum Raja Perlis, baginda ketika itu berniaga manisan (gula melaka) menggunakan basikal.

Apabila Jepun menyerah kalah, dia memiliki berguni-guni duit gambar pohon pisang yang dikeluarkan oleh pihak Jepun di sini. Duit itu sudah tidak berlaku lagi. Hanya layak dibuang di umbi pisang. Dia jatuh miskin sekali lagi.

Ayah mertua saya sempat mengalami dua kali kejatuhan pemerentahan, pemerentah British dan Jepun. Walaupun kuasa barat kalah di Semenajung, tetapi duit pound Amerika tetap berlaku, kerana ianya emas. Kali kedua duit Jepun tidak laku langsung selepas kejatuhan Jepun; kerana ianya kertas.

Itulah pengalaman bapa mertua saya tentang nilai duit emas pound Amerika dan wang pokok pisang Jepun. Bagaimanapun beliau terus menerus berniaga, bangun, jatuh dan bangun kerana perniagaan telah menjadi sebahagian kehidupan beliau. Semoga Allah merahmati ruhnya serta mengampuni kekurangannya.

Apabila pihak di Kelantan melancarkan syiling Dinar emas dan dirham perak, Dato Awang Adek (yang sebelum ini hebuh dikaitkan dengan melesenkan judi bolasepak) dan MCA mempersoalkan kewajarannya dari segi peraturan kewangan dan barangkaliya implikasi dari segi islamisasi ekonomi .

Penggunaan dinar dan dirham bukan lah sesuatu yang dipelopori oleh ajaran Islam. Kedua jenis mata wang ini wujud jauh lebih lama sebelum kemunculan Islam di Semenanjung Arab. Bahkan perkataan dinar itu sendiri pun berasal daripada perkataan latin 'Denarius'. Islam hanya memberi keabsahan kepada kedua jenis matawang ini.

Kalau kita melihat sejarah kita akan dapati syiling emas dan perak (termasuk suasa:bronze) telah digunakan dalam belbagai tamaddun, antaranya China, Eropah, Fir'aun bahkan Aztec dan Inca di Amerika Selatan. Jadi pelawaan untuk kembali menggunakan emas dan perak sebagai medium perniagaan bukanlah suatu ajakan untuk kembali kepada sistem Islam secara khusus, tetapi merupakan ajakan untuk kembali kepada penggunaan medium perniagaan yang dulunya bersifat universal , merentasi tamaddun , bangsa dan kepercayaan agama. Hanya selepas kita semua ditelan oleh sistem ekonomi conventional modern ini, kita merasakan penggunaan emas dan perak adalah suatu yang ganjil (seakan-akan matawang UFO).

Raja-raja dari dinasti purba Carolingian di Eropah adalah yang agaknya terawal menentukan piawaian matawang perak dan emas ini. Ditentukan yang 1 lb perak hendaklah ditempa 240 keping shiling perak (yang kemudiannya dipanggil pennies ); 12 pennies bersama beratnya dengan 1 Byzantine solidus (kemudiannya menjadi shilling), iaitu wang keping emas.

Tidak semestinya sesuatu yang lama dan telah ditinggalkan oleh orang ramai itu tidak baik, atau kita perlu memahami kenapa terdapat suatu trend di kalangan penganut kriatian di barat yang mengeritik keras penggunaan wang kertas. Layarilah webs yang membincangkan isu 'usury - paper money'. Tidak semestinya sesuatu yang baru itu eluk dan selamat.

Kenapa Awang Adek (juga terutamanya Tun Mahathir) yang sebelumnya pernah memuji pengenalan semula dinar emas tiba-tiba telah menayangkan urat-sarafnya (muscles) sebagai Timbalan Menteri Kewangan apabila pihak di Kelantan memasyhurkan apa yang pernah Awang Adek sendiri puji?. Hingga kini belum ada pihak yang mendakwa yang kepingan syiling emas dan perak yang diperkenalkan oleh pihak di Kelantan itu sebagai mata-wang secara mutlak atau matawang alternatif. Ianya diisytiharkan sebagai medium perniagaan yang diterima di beberapa kedai yang berdaftar dengan pihak yang berkaitan.

Kalau kepingan emas dan perak ini sah diperlakukan dalam jual-beli di kedai-kedai tersebut itu salah dan melanggar peraturan kewangan negara, bagaimana pula dengan kupon pasaria yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan pertubuhan di semerata negara?. Kupon itu telah dijual oleh pihak penganjur dan kemudiannya dengan kupon itu boleh dibeli barangan-barangan di gerai-gerai yang terlibat dengan pasaria tersebut. Sejak sebelum merderka lagi amalan ini telah dijalankan, kenapa Awang Adek membiarkannya?

Atau umpama saya saya membeli di TESCO, akhir bulan saya menerima kupon yang mempunyai nilai ringgit untuk sebarang pembelian atau potongan harga untuk pembelian barangan tertentu. Apakah amalan ini juga mengikut Awang Adek hendaklah mendapat kelulusan Bank Negara?

Kalaupun Dinar dan Dirham sudah menjadi sesuatu yang sangat terikat dengan Islam, disebut dalam banyak bab di dalam kitab Feqah, kita tidak perlu semata-mata ke situ tanpa melihat kehadirannya di dalam tamaddun lain dan di dalam sejarah bangsa dan rantau kita. Contohnya, kita berbangga dengan penemuan Batu Bersurat Terangganu dan Dinar Julus al-Kelantani sebagai warisan negara dan bangsa kita yang sangat bernilai. Kita juga sedar betapa goyahnya kedudukan matawang USD, RM, Euro , Yen dan lainnya, kenapa kita tidak menyarankan supaya rakyat melabur dalam emas dan perak?.

Sewajarnya Awang Adek dan Bank Negara berusaha untuk menandingi pihak di Kelantan dengan mengeluarkan syiling emas dan perak yang lebih standard daripada yang di Kelantan, paling kurangnya dengan design yang lebih menarik dan mempunyai ukuran berat yang lebih belbagai. Dengan demikian, barulah terserlah kerajaan pusat sebagai kerajaan yang lebih berwawasan daripada kerajaan Kelantan. Marilah kita berkerjasama di dalam perkara kebaikan dan kita kita hindari perkara dosa dan permusuhan. Insyaallah Awang Adek akan bersetuju dengan saranan saya ini.....

sumber : muqabalah blog