Ahad, 15 Ogos 2010

Akhirnya saksi utama kes Norman muncul


KUALA LUMPUR 13 Ogos – Seorang saksi perbicaraan kes khalwat pasangan artis, Norman Hakim dan Memey Suhaiza memberitahu dia melihat pelakon lelaki itu cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Muhamad Yusri Abd. Razak, 55, berkata, dalam serbuan pada pukul 2.30 pagi, dua tahun lalu itu, dia melihat kelibat Norman yang berseluar pendek memanjat ke premis atas bangunan berkenaan melalui satu lubang di sebelah ruang legar belakang pejabatnya.

Dalam keterangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini, saksi keenam itu mendakwa, dia menyaksikan kejadian itu dari pejabatnya yang terletak di sebelah pejabat Norman.

Muhamad Yusri yang bekerja sebagai pereka dalaman juga mengakui dia yang membuat aduan mengenai perbuatan pasangan tersebut kepada JAIS.

"Selama lapan bulan, setiap hari saya melihat Memey membawa bantal dan tilam ke pejabat Norman.

"Bagaimanapun niat untuk membuat aduan tersebut saya abaikan disebabkan bekas isteri Norman, Abby Abadi sedang sarat mengandung ketika itu,’’ katanya sewaktu disoal oleh Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi.

Ditanya mengapa dia sanggup memberi keterangan di mahkamah walaupun mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Norman, saksi itu berkata, dia ingin menegakkan kebenaran setelah sekian lama melihat banyak pembohongan dan tipu helah sepanjang prosiding itu berlangsung.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, hadir ke mahkamah hari ini.

Terdahulu, sebelum saksi dipanggil, Fakhrul Azman mengemukakan bantahan terhadap hakim syarie, Salehan Yatim yang terus mengendalikan kes itu meskipun kini bertugas sebagai pendakwa syarie di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Salehan bagaimanapun menolak bantahan tersebut kerana beliau berpegang kepada prinsip berlaku adil dan turut memetik ayat 90, Surah al-Nahl yang menyatakan Allah menyuruh berlaku adil dan melarang daripada melakukan perbuatan keji serta kezaliman.

Hakim tersebut juga menyatakan, beliau mendapat arahan dari Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM) untuk menyelesaikan kes-kes tertunggak termasuk kes tersebut yang sudah berlarutan selama dua tahun.

Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey, 21, dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi pula dituduh di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pada sebelah petangnya, kesemua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes itu termasuk hakim dan kedua-dua tertuduh sekali lagi melawat ke premis tersebut bagi membolehkan Muhamad Yusri memberikan gambaran dengan lebih jelas tentang kejadian tersebut.

Perbicaraan bersambung 3 September ini.