Isnin, 5 Julai 2010

Zaid 'belanja' Raja Petra, Bala ais kacang


Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Seri Zaid Ibrahim mengesahkan bahawa beliau akan bertemu dengan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam dan blogger Raja Petra Kamaruddin untuk makan dan minum bersamanya selepas polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan berjumpa mereka.

“Nak ke Holiday Villa London dalam masa sejam lagi nak bertemu Bala. Bukan apa. Kerana polis dan SPRM tak mahu dan takut bertemu Bala dan Petra, saya dan kawan kawan akan belanja mereka ais kacang,” kata Zaid dalam blognya dari London, hari ini.


Menurut Zaid, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebenarnya takut kapada kedua-dua rakyat Malaysia itu.

“Mula-mula, kita dengar PM Najib kata beliau penuh yakin polis akan menangkap Raja Petra; tapi dah 12 bulan polis tak buat apa-apa. Dan betullah saperti kata Khairy, Raja Petra selalu ada di khalayak ramai, di London dan Manchester.

“Kalau saya dan ratusan rakyat Malaysia tahu dan dah pun bertemu dengan Raja Petra, takkan polis tak tahu. Mustahil,” katanya dalam tulisan terbarunya.

Ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini di lobi parlimen bertanya apakah polis telah melakukan yang terbaik untuk menangkap Raja Petra yang bebas bergerak secara terbuka di kota London.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan pemimpin BN seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta akhbar Utusan Malaysia yang didakwa heboh memperkatakan hubungannya dengan Raja Petra.

“Soalan yang patut ditanya: mengapa tidak ada tindakan terhadap Raja Petra kalau dia ada membuat kesilapan? Beritahulah kepada rakyat apa dia kesalahan itu.

“Ada waran yang dikeluarkan untuk menangkapnya? Setahu saya, tidak ada. Jadi kalau Raja Petra tidak membuat apa-apa kesalahan, mengapa pula saya tak boleh tengok bolasepak dengannya?”

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, perkara yang sama dengan kes yang membabitkan Balasubramaniam.

“Dia pun ada di London. Minggu depan, dia akan ke Paris untuk bertemu dengan pihak penyiasatan Perancis. Tapi polis Malaysia tak berminat bertemu dengan kedua-dua manusia ini. Persoalannya mengapa?” soal Zaid merujuk kepada tindakan polis Perancis yang menyerbu pejabat beberapa firma yang menjual kapal selam Scorpene kepada Malaysia, bulan lalu.



Menurut Zaid, polis sebenarnya, tahu di mana Raja Petra dan Balsubramaniam berada dan katanya, polis juga telah bertemu dengan penyiasat persendirian itu di Bangkok.



“PM Najib berkata kita tidak boleh percaya kepada Raja Petra; tetapi kita juga tak boleh percaya buta tuli kepada PM Najib. Jadi buatlah satu penyiasatan yang bebas dan terbuka, dan beri jaminan kepada kedua-dua mereka tentang keselamatan diri dan keluarga mereka, dan jaminan mereka tidak akan ditahan dibawah ISA.



“Saya percaya mereka akan pulang ke Malaysia untuk mempertahankan kenyataan mereka yang dibuat tempoh hari.

“Dan jika mereka benar-benar kaki penipu dan memalukan pemimpin negara, maka hukumlah mereka. Itu cara pemimpin yang reformis dan baik, bukan berlakon menggunakan polis dan akhbar menimbulkan buruk sangka setiap hari terhadap orang lain,” katanya.

Raja Petra menghadapi tuduhan menghasut dan fitnah, tetapi dilepaskan tanpa dibebaskan apabila waran tangkap gagal diserahkan kepadanya.

Beliau dituduh memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor, semasa Najib menjadi timbalan perdana menteri serta pegawai pengiring Rosmah ketika itu, Lt Kol Norhayati Hassan dan suaminya Lt Kol Abdul Aziz Buyong, dalam satu akuan bersumpah yang dibuat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 10.25 pagi 18 Jun tahun lalu.


Ia juga ada kaitan dengan tulisannya 'Let's send the Altantuya murderers to hell' yang dimuatkan di blognya.

Dalam wawancaranya, seperti dimuatkan di Youtube dan blog Malaysia Today, Balasubramaniam pula pernah mendakwa Rosmah - melalui seorang ahli perniagaan Deepak Jaikishan - gembira dengan keputusannya menarik balik akuan bersumpah 3 Julai tahun lalu yang menuduh Najib ada hubungan intim dengan Altantuya Shaariibuu.

Akuan bersumpah itu, yang diumumkan 3 Julai tahun lalu, mengandungi dakwaan yang Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya Shaariibuu - kenyataan yang dinafikan Najib kemudiannya.

Balasubramaniam kemudiannya menarik balik akuan bersumpah pertamanya itu dalam tempoh 24 jam dalam situasi yang meragukan dan meninggalkan negara bersama anggota keluarganya.

Perdana menteri dan isterinya sering menafikan pembabitan mereka dengan kes wanita Mongolia itu, yang mati dibunuh pada 2006.