PAS Johor hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Kemajuan Luar  Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang  didakwa menuduh parti Islam itu sebagai parti ajaran sesat.
Laporan  polis itu dibuat di balai polis Sentral Johor Bahru yang diketuai ketua  penerangannya Mazlan Aliman, yang diiringi kira-kira 20 penyokong parti  itu, pada jam 11.30 pagi tadi.
Bercakap kepada Malaysiakini pagi  ini, Mazlan mendakwa Mohd Shafie yang juga naib presiden Umno, dalam  ucapannya perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya  kelmarin, telah menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.
"Itu  kenyataan yang biadap, amat keterlaluan. Maka kami membuat laporan  meminta pihak polis menyiasat kenyataan beliau itu dan kami mendesak  agar beliau memohon maaf serta menarik balik kenyataan itu," katanya.
Mazlan  yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata, kenyataan Mohd Shafie  itu dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian semalam
Laporan itu  memetik Mohd Shafie menyifatkan PAS sebagai parti ajaran sesat kerana  didakwanya hanya memperjuangkan kemenangan kerusi DUN dan Parlimen  berbanding kepentingan rakyat.
Mengulas lanjut, Mazlan yang juga  pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata  dakwaan yang dilemparkan kepada parti itu "tidak boleh diterima sama  sekali".
"Ahli PAS kini berjumlah satu juta, adakah beliau berani  menyatakan (mereka) sesat. PAS menguasai Kelantan, memimpin di kerajaan  Kedah dan suatu ketika dahulu memerintah di Perak, adakah beliau  menyatakan majoritinya sebagai sesat," tegasnya.
Sehubungan itu,  beliau mencabar Mohd Shafie yang juga ahli parlimen Semporna untuk  berdebat bagi membuktikan siapa yang sebenarnya sesat.
Katanya,  jika Mohd Shafie tidak memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau  itu, PAS Johor akan mengarahkan ahlinya di negeri itu untuk membuat  laporan polis secara bersiri terhadap menteri itu.
~Malaysiakini