
ANGGOTA kelab gabungan Persatuan Bola  Sepak Pulau Pinang  (FAP) menggesa Presiden Datuk Seri Zahrain Hashim   (gambar) meletakkan  jawatan kerana mendakwa tiada sebarang kemajuan  disumbangkan beliau  sepanjang tempoh dua tahun lalu, sebaliknya hanya  zaman kejatuhan dan  kemerosotan.
Aksi  Pulau Pinang gagal menarik kembali penonton berkunjung ke  stadium.   Jurucakap gabungan merangkap bekas Naib Presiden FAP, Gary Nair   berkata, gesaan itu dibuat berikutan 60 peratus daripada ahli gabungan   melahirkan rasa kecewa apabila Zahrain didakwa gagal melaksanakan   tugasnya sebagai presiden, sekali gus menaikkan taraf bola sepak negeri.
Beliau  berkata, sebelum ini Zahrain pernah berjanji sekiranya  Pulau Pinang  kecundang dan jatuh ke Liga Perdana, beliau akan meletak  jawatan  sebagai presiden dan kini segala-galanya sudah terbukti apabila  Harimau  Kumbang gagal menyerlah.
Katanya,  situasi itu sesuatu yang menyedihkan dan memalukan kerana  buat pertama  kalinya dalam sejarah sukan bola sepak negara, Pulau  Pinang gagal  menyertai Piala Malaysia untuk merebut takhta piala  berprestij itu.
“Selama  tempoh dua tahun sejak mengambil alih jawatan Presiden  daripada bekas  Timbalan Ketua Menteri 1, Mohamed Fairus Khairuddin,  beliau langsung  tidak pernah meninjau mahupun turun padang melihat  pasukan negeri  bertanding, baik dalam negeri mahupun di tempat lawan,”  katanya pada  sidang media di Pejabat FAP, semalam.
Gary  berkata, ahli gabungan dan kelab melahirkan rasa kecewa  dengan masalah  dihadapi kerana banyak persoalan timbul sepanjang tempoh  itu berikutan  setiap kelab hanya bermain tiga hingga empat perlawanan  manakala ada  yang lain hanya satu perlawanan.
Beliau  berkata, perlawanan Liga Remaja Bawah 18 dan 21 tahun yang  masih belum  bermula sehingga ke hari ini biarpun sepatutnya sudah tamat  kerana  semakin hampir dengan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)  dan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Apa  yang penting kini segala kemelut yang berlaku perlu berubah dan   sebagai langkah terbaik, Zahrain perlu meletakkan jawatan bagi   menyelamatkan maruah pasukan bola sepak negeri.“Sudahlah gagal menerajui pasukan negeri sebagai Presiden, Zahrain turut disebut mencalonkan dirinya untuk merebut jawatan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam pemilihan jawatankuasa terbaru minggu depan,” katanya.
Gary berkata, sekiranya tidak boleh menerajui FAP, usahlah cuba membuktikan sesuatu kerana FAP memerlukan pemimpin baru dan lebih berkaliber serta mampu menaikkan maruah bola sepak pasukan Harimau Kumbang yang disegani suatu ketika dulu.
~Metro