Umno Selangor kini berada dalam kebimbangan ekoran maklumat yang  mengatakan sudah hampir pasti BN akan hilang enam kerusi Dun jika  pilihan raya umum diadakan dalam suasana sekarang.
Enam Dun yang  dikatakan termasuk dalam senarai itu adalah Seri Serdang di bawah  Parlimen Puchong yang mana calon PAS hanya kalah 45 undi kepada calon  Umno dalam pilihan raya umum lalu.
Dun lain adalah Sabak (majoriti 117), Taman Templer (613), Sungai Air Tawar (123), Paya Jaras (642) dan Morib (286).
Dalam  pilihan raya lalu, PAS bertanding 24 kerusi Dun dan hanya menang lapan  kerusi sahaja. Jika berjaya mendapat enam kerusi ini bermakna kerusi PAS  akan menjadi 14.
Dalam pilihanraya lalu, PKR mendapat 15 manakala DAP 13. BN pula mendapat 20 kerusi.
(Gambar: Keputusan pilihan raya lalu di Selangor)
Menurut  sumber yang rapat dengan Umno Selangor, kehilangan enam kerusi kepada  PAS ini tidak boleh ditolak lagi ekoran perkembangan yang sangat baik  dalam PAS di Selangor kini.
Ini kerana, ketika PAS berkembang  dengan pesat di Selangor, pelbagai jenis masalah berlaku kepada Umno  Selangor yang dipimpin sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.
Oleh  kerana sibuk di peringkat pusat, timbalan beliau, Datuk Seri Noh Omar  yang mengambilalih pentadbiran Umno negeri. Namun begitu, media melapor  beliau mempunyai masalah besar dengan bekas MB Selangor, Datuk Seri  Mohamad Khir Toyo dan masing-masing berlumba mencari publisiti dalam isu  pasir.
Di samping itu, Setiausaha Umno Negeri, Mohd Satim Diman  dan Ketua Pemuda, Suhaimi Mohd Ghazali juga dikatakan bermasalah dan  berura-ura mahu meletakkan jawatan. Bekas MB Selangor, Tan Sri Muhamad  Haji Mohd Taib juga bermasalah.
Sumber juga berkata, punca  perkembangan pesat dalam PAS di Selangor adalah ekoran pendemokrasian  masjid dan surau yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor tahun  lalu.
Melalui tindakan ini, semua masjid dan surau di Selangor  melantik pimpinan baru jawatankuasa masing-masing melalui pengundian  secara terbuka.
Ekoran tu, lebih 90 peratus masjid dan surau di  Selangor dikuasai oleh pemimpin tempatan PAS atau pihak yang disokong  oleh mereka.
Ekoran itu, pengaruh PAS dikembangkan dengan pesat  melaui program kuliah agama yang diadakan saban waktu di surau dan  masjid ini.
Kerana tidak cukup waktu malam, kuliah Dhuha pagi  Ahad pula dilakukan mengambil pengalaman kuliah Jumaat di Rusila,  Terengganu dan Dataran Ilmu di Kota Bharu.
Namun begitu, bekas  Yang Dipertua PAS kawasan Subang, Haji Shukor Harun bimbang dengan sikap  sesetengah pemimpin PAS sekarang yang tidak berapa fokus untuk mencapai  kemenangan.
"Saya bimbang kalau-kalau isu kerjasama dengan Umno  ini benar-benar berlaku dan melibatkan kepimpinan tertinggi PAS negeri.  Ia akan menyukarkan PAS," katanya.
Ramai pihak melihat apa yang  berlaku adalah permainan politik Umno untuk memerangkap PAS dalam  situasi tersepit antara dua kepentingan.
"Jika PAS menolak  kerjasama dengan Umno bererti PAS menolak perpaduan. Jika PAS menerima  bermakna menikam rakan-rakan dan penyokongnya dalam Pakatan Rakyat,"  kata seorang penulis.
Seorang bekas profesor sains politik di  Universiti Malaya ketika ditemui baru-baru ini pula memberitahu,  sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Rakyat kini meningkat hampir  setiap hari.
"Faktor ini sangat besar mempengaruhi politik di Selangor kerana mereka ramai dan menjadi penentu di negeri ini," kata beliau.
Puncanya  adalah kerana mereka melihat perkongsian kuasa dalam Pakatan lebih adil  kerana semua parti setaraf manakala dalam BN pula Umno terlalu berkuasa  dan yang lain hanya dipermainkan Umno sahaja.
~MK