aspanaliasnet.blogspot.com
Kekeliruan politik negara amat jelas  dan keadaan ini belum pernah kita alami. Kita beranggapan di zaman  Abdullah Badawi mentadbir negara kita ini merupakan zaman yang paling  tidak menentu.
Jelas sekarang ini bahawa zaman Abdullah mentadbir  negara, keadaan buruk zamannya itu tidaklah seteruk keadaan sekarang  ini.
Akhirnya ramai yang saya temui mengakui bahawa keadaan  politik negara sekarang ini menjadi igauan bagi sesiapa yang tidak mahu  parti yang memerintah hari ini akan menyeberang duduk sebagai  pembangkang di dewan-dewan lagislatif diperingkat negeri-negeri dan  Parlimen.
Pandangan saya ini mungkin mendapat reaksi yang tidak  menyenangkan bagi mereka yang masih didalam ‘state of denial’ dan  pihak-pihak yang tidak mahu mendengar cerita-cerita buruk.
Saya  lebih cenderung untuk menyebut cerita yang buruk kerana sudah terlalu  ramai di kalangan pemimpin Umno kita membuat cerita yang enak-enak dan  melekakan UMNO dan pemimpinnya.
Baru-baru ini timbul keinginan  setengah pihak untuk melihat PAS dan UMNO duduk di meja rundingan bagi  mencari penyelesaian terhadap isu Melayu dan perpaduannya.
Muhyiddin  nampaknya memberi reaksi yang baik dan bersedia untuk berbuat demikian.  Muhyiddin mungkin ada kesedaran yang cadangan itu adalah satu cadangan  yang baik untuk mengurangkan tekanan kepada UMNO yang sedang dalam  kekeliruan kerana berhadapan dengan banyk isu.
Tetapi di  sebaliknya Najib pula berkata rundingan itu tidak perlu kerana UMNO  sedang bertambah kuat dan beliau seolah-olah tidak nampak yang UMNO  pimpinannya sudah hampir terjerumus ke dalam keaiban jika pilihanraya  umum diadakan sekarang ini.
Pemikiran Muhyiddin dengan Najib  memang jelas tidak selari dan tidak sehaluan. Di mana-mana orang ramai  menyedari hakikat ini dan mereka menganggap itu adalah satu fenomena  yang merbahaya bagi parti apatah lagi dalam keadaan sekarang ini.
Mendengar  kata-kata Najib dan Muhyiddin yang menunjukkan perbezaan pandangan dan  nilainya membuat kan orang ramai keliru, apatah lagi dikalangan  ahli-ahli UMNO sendiri.
Saya bukan bermaksud untuk menyokong  perbincangan dengan PAS kerana PAS dan UMNO tidak akan berjaya duduk  bersama. Tetapi yang merunsingkan ialah Najib menjawab dengan kata-kata  yang tidak benar bila beliau mengatakan UMNO masih kuat.
Di mana  letaknya kekuatan UMNO itu? Bagi saya andaian itu, jika banar memanglah  baik bagi parti, tetapi didalam naluri orang ramai mereka tidak langsung  nampak kebenarannya.
UMNO/BN masih mampu mentadbir kerajaan kita  hari ini semata-mata kerana dukungan Sarawak dan Sabah semasa  pilihanraya yang lepas. Mereka yang mengundi di Sarawak dan Sabah kerana  tidak menyangka yang pengundi di Semenanjung akan memberikan sokongan  kepada parti alternatif dalam pilihanraya itu.
Sekarang tekanan  terhadap BN di kedua-dua buah negeri itu sudah nyata kerana mereka  menjadikan arah politik diSemenanjung sebagai penentu arah politik tanah  air.
Di Sarawak kehadiran parti-parti pembangkan akhir-akhir ini  mendapat sokongan dari orang ramai kerana kerana masalah kepimpinan  Taib Mahmud yang begitu lama seolah-olah Sarawak itu adalah kepunyaan  peribadi beliau sehinggakan tidak ada lagi pemimpin yang berpotensi  untuk memimpin bumi kenyalang itu.
Sehingga kehari ini di Sarawak  masih tidak ada indikasi pertukaran pemimpin kerana semua yang  berpotensi telah hanyut kerana sikap kuku besi Taib disana. Najib tidask  boleh lagi menganggap Sarawak dan Sabah sebagai ‘fixed deposit’ bagi  BN.
Kalaulah tidak kerana sokongan undi pos, DAP sudah pasti  berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan majoriti melebihi 4,000  undi di dalam pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini. Hanya pengundi pos  yang merapatkan majoriti kekalahan BN kepada 398 undi.
UMNO di  cawangan-cawangan tidak bergerak lagi seolah-olah cawangan-cawangan  sudah mati kaku. Jika cawangan tidak pastas bekerja untuk parti maka  tidak ada asas bagi seorang pemimpin seperti Najib bercakap seperti  orang yang takbur dan mendabik dada kerana mempercayai yang UMNO itu  masih kuat.
Saya berharap apa yang saya fikirkan ini adalah  salah. Jika apa yang saya fikirkan ini benar maka kita akan melihat satu  demi satu kubu yang tinggal kepada kita jatuh berderai maka akan  bermulalah episod baru politik tanah air.
Jika BN terutamanya  UMNO jatuh kali ini saya tidak nampak parti itu akan kembali berkuasa  dalam tempuh yang lama kerana UMNO tidak biasa menjadi pembangkang  kerana terlalu biasa dengan kemewahan yang telah membawa parti kita ini  ketahap kufur nikmat yang amat rendah disisi dan pandangan agama kita.
Ahli-ahli  UMNO ini serperti ‘ayam daging’, sentiasa mematuk makanan yang  diberikan oleh tuannya. Tetapi ahli-ahli PAS itu diibaratkan sebagai  ‘ayam kampung’ yang biasa dengan mencari makan sendiri.
Itulah  sebabnya ayam daging selalunya gemuk tetapi dagingnya lembik dan jika  dimasak terlalu lama dagingnya akan hancur. Di sebaliknya ayam kampung  lebih keras dagingnya jika dimasak berjam-jam lamanya untuk dimasak  rendang rasanya lebih sedap.
Itu sebabnya ayam kampong harganya  RM11 tetapi ayam daging harganya tidak boleh lebih dari RM 7 seperti  yang diumumkan oleh Ismail Sabri baru-baru ini. Harga ayam daging ini  jauh lebih murah dari harga ayam kampung.
Lagi pun jika ayam  daging dilepaskan dari sangkarnya ayam itu tidak akan mampu mencari  makan dengan sendiri dan jika kita kejar pun dia tidak akan dapat lari  kerana terlalu gemuk disebabkan makan terlalu banyak.
Tetapi  akhir-akhir ini ayam daging pun sudah tidak dapat makanan yang  secukupnya kerana tuannya sedang menghadapi kegawatan ekonomi.
Harakahdaily/-