Oleh: Hasan Husaini
Tanggal 4 Jun 2008, Perdana Menteri Malaysia  mengumumkan kenaikan harga minyak yang memecahkan rekod kenaikan harga  bahan bakar itu, petrol 78 sen dan RM1 bagi diesel.
Mungkin  itulah tanda terima kasih beliau kepada penyokong setia kerajaan dan  mungkin juga sebagai ancaman kerana mempercayai janji Pakatan Rakyat. 
Walaupun  alasan yang diberi ialah kerana kenaikan harga bahan mentah itu di  pasaran antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, ramailah yang  bangkit menentang, berpiket dan menganjurkan tunjuk perasaan. Tidak  kurang juga yang bersedia dengan pelan perancangan hidup baru, mungkin  merancang untuk kembali menunggang motosikal, berbasikal atau bersunnah  dengan menunggang kuda.
Yang malang ialah mereka yang bersetuju  malah membela keputusan kerajaan menaikkan harga emas cecair itu.
Pada  16 Julai 2010, harga barang naik lagi dengan alasan penyelarasan  subsidi. Pelik benar. Andai penjimatan yang menjadi agenda utama, maka  bukanlah pakcik dan makcik di kampung yang perlu diajak berjimat. Bahkan  para pembesar nun di singgahsana yang wajib turun merasai bagaimana  lazatnya nasi putih beras usang bersama ulam pucuk ubi kayu.
Saya  menulis pada hari ini bukan untuk membahaskan dari sudut akademik atau  politik jauh sekali dalam bidang ekonomi. Bahkan berpandukan pengalaman  cetek ketika berkunjung di negara sejawatan dengan Malaysia sebagai  pengeluar minyak, Arab Saudi. Harga minyak di Saudi jauh berbeza dengan  harga di Malaysia.
Rs10 mampu memulangkan lebih 20 liter petrol.  Tak perlu beralasan bahawa kita membeli minyak dari luar. Yang penting  negara kita adalah negara pengeluar minyak.
Bukan sekadar itu,  negara kita juga terkenal dengan negara pengeluar minyak sawit terbesar  dunia. Di mana keuntungan semua itu? Di mana keuntungan sawit? Di mana  keuntungan getah? Di mana keuntungan minyak mentah?
Maka untuk  menutup kemarahan rakyat, PM pun mengarahkan media agar tidak  menggunakan istilah harga barang naik. Kalimah itu digantikan dengan  penyelarasan subsidi.
Ustaz dan ustazah pula diarahkan menyelinap  masuk dalam masyarakat sama ada dalam media elektronik, media cetak,  malah terjun dalam dunia realiti ke kampung dan desa untuk menyampaikan  ceramah dan forum supaya berjimat cermat.
Maka  berbondong-bondonglah ustaz dan ustazah hadhari tampil dengan upah yang  tinggi, berkereta besar pergi berceramah ke kampung kepada pakcik dan  makcik yang sudah puluhan tahun mengira biji beras, berjimat cermat  untuk menjaga anak-anak yang bakal meneruskan hidup.
Sedangkan  panel penceramah, penganjur, ahli VIP yang hadir serta penganjur masih  dalam dunia membazir.
Ketahuilah bahawa Allah tidak pernah  sekali-kali mempersaudarakan manusia yang zalim dengan syaitan, kecuali  kepada si pembazir, maka Allah berfirman (maksudnya), “ Sesungguhnya  orang yang membazir itu adalah saudara bagi syaitan-syaitan”.
Suka  untuk saya tegaskan pada hari ini, golongan yang patut ditegur ialah  para pembesar negara yang secara zalimnya meletakkan beban kepada rakyat  sedangkan mereka masih bersenang-lenang dengan pangkat dan harta yang  bertimbun bahkan masih menerima elaun dan dividen serta keistimewaan  yang keterlaluan.
Kenyataan seorang 'orang besar kerajaan' pada  Jun 2008, "
Pada 17 Julai 2010, seorang menteri juga beralasan  dengan cara yang tidak cerdik mengatakan bahawa tidak patut untuk negara  membelanjakan RM1 bilion demi memberi subsudi kepada barangan yang  boleh membawa penyakit.
Dalam usaha menjaga ekonomi negara,  kerajaan lebih rela meletakkan beban yang berat ini ke atas rakyat  bawahan yang cukup lemah. Sedangkan, dalam masa yang sama, sebuah istana  bernilai hampir satu bilion ringgit sedang dibina. Walhal istana lama  masih 100 kali lebih mewah dari rumah paling cantik di desa sana.
Saya  amat tertarik dengan kisah Imam Nawawi yang dibuang negeri setelah  beliau enggan untuk memberi fatwa untuk mengharuskan Raja Zahir  mengambil harta rakyat untuk mencukupkan kelengkapan perang demi  mempertahankan negara. Sekali imbas, patut bagi si raja untuk mengambil  harta rakyatnya pada waktu itu. Tapi, kecerdikan Imam Nawawi tidak  seperti ustaz dan ustazah hadhari yang mudah ditipu oleh ketamakan  pemerintah.
Beliau berhujah bahawa beliau akan membenarkan si  raja mengambil harta rakyat jika gedung kekayaan istana dikosongkan,  gundik-gundik dibebaskan dan segala kemewahan ditinggalkan, namun  kelengkapan perang masih belum mencukupi. Maka raja naik marah lantas  membuang Imam Nawawi ke luar negeri.
Begitu juga dengan kisah  seorang sahabat yang dihantar untuk menjadi gabenor di salah sebuah  wilayah Islam. Maka apabila tiba musim pembahagian zakat, nama si  gabenor tadi berada di tangga teratas senarai penerima zakat lantaran  kemiskinan beliau kerana senantiasa meninggalkan kesenangan dan  keperluan diri serta keluarga semata-mata untuk membantu rakyat jelata.
Samalah  juga tentang apa yang berlaku pada Khalifah Umar Khattab yang terlebih  dahulu mengorbankan kesenangan diri sebelum meminta rakyat berjimat  cermat apabila tiba musim kemarau, musim Ramadh, selama hampir 9 bulan.  Sepanjang temoh itu, Saidina Umar tidak memakan keju, meminum susu  bahkan memakan daging. Rasulullah sendiri yang sememangnya menjadi  contoh tauladan kepada umat Islam hidup dalam keadaan sederhana.
Itulah  gaya sebenar seorang pemimpin. Terlebih dahulu mengorbankan kesenangan  sendiri, bukan hanya dengan mudah meletakkan beban kepada rakyat.  Sedangkan diri sendiri masih sempat untuk bermain golf, menunggang kuda,  bercuti ke luar negara dengan dibiaya duit rakyat!
Bagaimana  patut pemimpin negara berpesta dengan berhabis jutaan ringgit sedangkan  rakyat miskin yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tanpa apa-apa  skim yang menaungi sedang mengikat perut membilang biji beras ekoran  kenaikan harga gula dan kenaikan mendadak harga minyak.
Tertarik  saya untuk mengikuti jejak langkah Imam Nawawi menegur pembesar negara  supaya terlebih dahulu berjimat sebelum melepaskan beban itu kepada  rakyat. Tinggalkan dahulu istana besar, kecilkan dahulu poket tebal  menteri-menteri, hilangkan dahulu skim eksekutif dan eksklusif yang  melindungi para menteri, jual dahulu saham-saham individu yang bernilai  jutaan ringgit.
Hilangkan dahulu sifat pentingkan diri para  pembesar dengan mengosongkan garaj kereta mewah dan eksotik pembesar  negara. Patutkah seorang pemimpin masih bermewah mengurniakan pangkat  bermewah-mewah berpesta saat rakyat mereka menderita?
Bayangkan  Datuk Seri Najib berucap supaya rakyat berjimat, sedangkan dia sejurus  kemudian menyantap di meja mewah bersama orang-orang besar kerajaan?  Dari mana duit untuk membayar makanan itu? Bukankah ianya hasil dari  penjimatan pakcik dan makcik yang hanya makan nasi berulamkan pucuk ubi  kayu? Bukankah lagi patut Datuk Seri Najib meniru gaya seorang MB yang  hanya makan nasi goreng dalam polisterin?
Wahai rakyat Malaysia,  sedarlah bahawa anda semua sedang diperbodohkan oleh pemimpin yang kamu  junjung. Anda di desa telah puluhan tahun berjimat-cermat, sedangkan  mereka masih sempat bermewah. Patutkah anda memilih mereka untuk  kesekian kalinya?
Harakahdaily/-