Oleh CHRISTINA CHIN
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang  mahu Kementerian Pertahanan merobohkan bangunan bertingkat sekolah  tentera udara yang sedang dibina di Tanjung Bungah.
Ketua Menteri  Lim Guan Eng berkata, notis mengenainya telahpun dikeluarkan kerana  kementerian itu menjalankan projek Sekolah Iktisas Tentera Udara (SITU)  tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang  (MPPP).
"Pada Disember tahun lalu, beberapa penduduk membuat  aduan mengenai kerja memasang cerucuk besi yang dilakukan di kawasan itu  dan majlis perbandaran telah mengeluarkan notis amaran.
"Kemudian  Mac lalu, majlis perbandaran sekali lagi menerima aduan bahawa kerja  memasang cerucuk besi itu masih diteruskan termasuk pada cuti umum dan  menghantar semula surat ke kementerian itu, memberitahu mereka mengenai  keperluan untuk memohon kebenaran pembinaan.
"Kes itu turut  dirujuk kepada penasihat undang-undang negeri (Datuk Faiza Zulkifli),"  katanya pada sidang media di sini pada Selasa.
Kata Guan Eng,  Yang Dipertua MPPP, Patahiyah Ismail sudah memaklumkan kepada  kementerian itu termasuk Ketua Setiausaha, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah  pada 31 Mac lalu bahawa tindakan akan diambil jika pembinaan itu tidak  dihentikan.
Beliau berkata majlis perbandaran telah menghantar  notis kepada kementerian itu pada 6 Jun lalu mengikut seksyen 70 (1)  Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974 supaya pembinaan itu dirobohkan  dalam tempoh 30 hari.
Pemeriksaan mendapati kerja pembinaan itu  sudah mencecah empat tingkat. Ketinggian bangunan itu tidak diketahui  memandangkan pelan tidak dihantar kepada majlis perbandaran.
Guan  Eng menyalahkan Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Nik Yunus kerana gagal  berbuat sesuatu walaupun berulang kali dimaklumkan mengenai masalah  itu.
"Memandangkan Nik Ali tidak melakukan tugasnya iaitu  memantau projek itu, kami terpaksa menghubungi kementerian kerana ia  melibatkan tanah persekutuan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi  Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow  menggesa kementerian itu untuk patuh kepada prosedur negeri mengikut  perintah Kabinet.
"Kami berharap mereka akan melakukan perkara  sewajarnya jadi kami boleh mengelakkan bangunan itu daripada dirobohkan.  Kami boleh membantu jika mereka menyerahkan dokumen yang sepatutnya.  Jika tidak, kami terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.
Kon  Yeow berkata, ini bukan kali pertama kerajaan negeri tidak dimaklumkan  mengenai projek persekutuan.
Katanya, dua kem Khidmat Negara di  Balik Pulau beroperasi tanpa sijil layak menduduki.
"Kami hanya  membenarkan mereka meneruskan operasi kerana mereka sanggup  bertanggungjawab terhadap keselamatan semua pelatih," katanya.