PEKAN, 4 Julai — Perdana Menteri Datuk  Seri Najib Razak berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk  mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Raja Petra  Kamaruddin yang kini melarikan diri ke London.
Perdana Menteri berkata rakyat juga kini  tidak perlu lagi menerima bulat-bulat apa saja dakwaan yang dibuat  pengendali blog berkenaan.
“Kalau Raja Petra ditaja pembangkang, bererti apa yang didakwa  adalah berbaur politik...jadi kita mesti mengkajinya dan jangan terima  bulat-bulat apa yang didakwa menerusi blognya,” katanya kepada pemberita  selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di sini,  hari ini.
Beliau berkata  demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana  Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam, bahawa kerajaan mempunyai bukti  bahawa Raja Petra dibiayai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Najib (gambar) yang juga Ketua Bahagian  Pekan berkata rakyat tidak perlu percaya bulat-bulat terhadap  pelbagai  tuduhan yang dibuat Raja Petra dalam laman blognya, Malaysia Today yang  dikatakan mendapat pembiayaan PKR. 
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, rakyat  perlu mengkaji setiap dakwaan berbaur politik yang ditulis Raja Petra  itu.
Semalam, Nazri  berkata bukti yang menunjukkan parti pembangkang itu membiayai  pengendali  blog itu sedang disiasat.
“Memang betul, saya ada bukti, duit dihantar  kepada Raja Petra. Saya ada bukti tunjuk hantar RM500,000, dia (Raja  Petra) terima RM470,000 RM30,000 lagi habis ke mana saya tak tahu,” kata  Nazri.
Mengulas  mengenai pelantikan dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli  dan Rafidah Abdul Razak, Perdana Menteri berkata ia membuktikan bahawa  kedudukan wanita di negara ini sama taraf dengan kaum lelaki.
“Malah dalam Islam pun tidak menyekat  kemaraan dan kedudukan serta status wanita dalam Islam sentiasa  terpelihara,” katanya.
Buat  julung kalinya negara mempunyai hakim syarie wanita selepas mendapat  perkenan Yang  Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melantik  mereka Mei lepas, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
~Bernama