Kontroversi artikel The Washington Post
Oleh JACKSON DIEHL,  Washington Post
Berikut terjemahan bebas MUHAMMAD NOR ABD SAMAD  terhadap artikel bertajuk "Flirting with zealotry in Malaysia" yang  disiarkan akhbar The Washington Post, Isnin 28 Jun 2010 yang menimbulkan  polemik di Malaysia:
Anwar Ibrahim, pemimpin politik pembangkang  Malaysia sejak sedekad yang lalu cukup terkenal sebagai pejuang  demokrasi liberal di kalangan negara-negara Islam.
Di antara  kawan-kawannya yang ramai di Washington, termasuk ahli pergerakan  neokonservatif ternama seperti Paul Wolfowitz, bekas Presiden Bank Dunia  dan duta Amerika Syarikat (AS) ke Indonesia dan juga tokoh demokratik  ternama Al Gore. Akhir-akhir ini Anwar menjadi tumpuan atas sesuatu yang  lain pula: retorik keras mengenai Israel dan dakwaan "pengaruh Zionis"  di Malaysia.
Baru-baru ini beliau menyertai demonstrasi di  hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur di mana bendera Israel dibakar.  Beliau mengecam kerajaan Malaysia kerana menggunakan perkhidmatan  syarikat perhubungan awam Washington, Apco Worldwide yang "dikuasai  Yahudi".
Terdapat satu cerita dalam era Obama - mengenai survival  politik dan peribadi seorang ahli demokrat yang bermasalah dengan  sedikit bantuan daripada Washington; mengenai peningkatan tekanan  masyarakat antarabangsa terhadap Israel; dan mengenai peningkatan  kesediaan sahabat-sahabat AS di beberapa tempat seperti Turki dan  Malaysia untuk mengeksploitasikannya.
Pertama, sedikit mengenai  Anwar: Sewaktu berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri di bawah  orang kuat Malaysia Mahathir Mohamad dalam 1990-an, beliau mula  menekankan soal pembaharuan - tetapi berkesudahan dengan beliau  ditangkap, dibicara dan dipenjarakan atas tuduhan yang direka-reka iaitu  liwat.
Setelah dibebaskan enam tahun kemudian, beliau menubuhkan  pergerakan pembangkang multietnik yang mengejutkan parti pemerintah  dengan pencapaian yang diperolehinya dalam pilihan raya umum yang lalu.  Pergerakan itu kini dilihat mempunyai peluang yang besar untuk memenangi  kempen parlimen akan datang dan ini mungkin membolehkan Malaysia  menyertai Indonesia dan Turki sebagai negara demokrasi majoriti Islam  sepenuhnya.
Tidaklah mengejutkan, Anwar didakwa sekali lagi.  Sekali lagi atas tuduhan melakukan liwat, yang mengikut undang-undang  Malaysia merupakan satu jenayah yang perlu dihukum sebat dan penjara  sehingga 20 tahun. Anwar, 63, berkahwin dan mempunyai anak menafikan  dakwaan tersebut, dan bukti-bukti yang dikemukakan sekali lagi  dicurigai.
Sipenuduh yang berusia 25 tahun mengaku menemui  Perdana Menteri Najib Razak dan berbual melalui telefon dengan Ketua  Polis Negara beberapa hari sebelum kejadian liwat tersebut didakwa  berlaku.
Perbicaraan yang diadakan tidak berjalan dengan baik.  Jika ia berakhir dengan Anwar sekali lagi disabitkan bersalah, masa  depan politik dan gabungan pembangkangnya mungkin musnah, begitu juga  dengan hidupnya: Kesihatannya tidak begitu baik.
Pemimpin  pembangkang itu kali ini tidak mendapat sokongan sewajarnya daripada  Amerika Syarikat, tidak seperti perbicaraannya yang pertama di mana  timbalan presiden AS pada waktu itu, Al Gore bercakap bagi pihaknya.  Obama tidak bercakap apa mengenai Anwar di khalayak ramai sewaktu  menerima kunjungan Najib di Washington dalam bulan April lalu.
Selepas  "dialog pegawai kanan" di antara dua kerajaan itu bulan ini, soal  perbicaraan Anwar tidak juga dibangkitkan oleh Jabatan Negara kerana  "isu telah pun dibincangkan dengan panjang lebar". Apabila menyentuh  soal hak asasi manusia, pentadbiran Obama tidak mahu mengulangi perkara  yang sama.
Anwar bagaimanapun menemui jalan untuk bertindak  balas. Kalau selama ini beliau dihentam hebat oleh propaganda kerajaan  mengaitkannya sebagai ejen Israel dan sahabat Amerika kerana berkawan  dengan Wolfowitz, kali ini beliau menyerang dengan mengatakan Apco telah  memanipulasi kerajaan untuk menyokong Israel dan kepentingan AS.
Beliau  juga berkata ejen Israel telah menyusup masuk dalam pasukan keselamatan  dan "terlibat secara langsung" dalam urusan kerajaan. Najib menyifatkan  Israel sebagai "gangster dunia". Tetapi beliau cepat memusingkan  kata-kata Anwar terhadapnya: Apco berusaha melibatkan diri dalam  kenyataan anti-Israel di sekeliling Washington.
Anwar adalah  seperti Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, yang disifatkannya  sebagai kawan dan teman sepengembaraan. Kedua-duanya tahu bagaimana  untuk melibatkan diri dalam perkara sebegini. Kedua-duanya telah pun  memulakannya - setahun selepas pentadbiran Obama melahirkan rasa tidak  senangnya terhadap Israel. "Jika anda kata kami sudah hilang sabar  terhadap Israel, itu benar," Anwar memberitahu saya. "Jika anda kata  saya tidak berhati-hati bila bercakap kadang-kadang, itu juga benar."
Anwar  yang berada di Washington buat beberapa hari minggu lalu, menghabiskan  banyak masa cuba menjelaskan kepada kawan-kawan lama, termasuk Pengerusi  Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Howard Berman dan beberapa orang pemimpin  Yahudi.
Beliau berkata beliau kesal menggunakan istilah  "pencerobohan Zionis" yang selalu digunakan oleh beberapa pemimpin  seperti Mahmoud Ahmadinejad. "Mengapa saya perlu menggunakannya jika ia  mendatangkan salah faham?" katanya. "Saya perlu berhati-hati."
Ramai  di kalangan sahabat-sahabatnya di Malaysia bersedia memaafkannya. "Apa  yang Anwar lakukan adalah salah, tapi memandangkan beliau sedang  berjuang untuk hidupnya - secara fizikal dan politik - menentang  kerajaan yang menyerangnya sebagai berkata 'boneka Yahudi', saya kira ia  boleh dimaafkan," kata Wolfowitz memberitahu saya. Tetapi cerita Anwar  perlu dibaca sebagai amaran. Perubahannya daripada seorang demokrat yang  pro-Amerika kepada seorang fanatik anti-Israel merupakan sesuatu yang  serius - dan ia kini mula menjadi trend. /Sumber: Detik daily
Komen  Blogger:
Mengapa susah sangat pemimpin Umno untuk memahami  bahasa mudah di dalam akhbar berkenaan? Kita ingat YB DSU Rais Yatim  yang selalunya berbunga-bunga bahasa percakapannya itu arif tentang  maksud bahasa, rupa-rupanya ada juga kejahilan di dalam pengetahuan  bahasa MP dari Jelebu itu. Jika sudah kelulusan Oxford yang memegang  jawatan Ketua Pemuda Umno yang tidak berjawatan di dalam kabinet itu pun  tidak faham apa yang tertulis di akhbar berkenaan, apa lagi pemimpin  Umno yang lain.
Di mana yang dikatakan DS Anwar mohon maaf?  Secara jelas DS Anwar menyebut sememangnya beliau menentang keras dan  hilang sabar terhadap Israel. DS Anwar dikatakan cuma kesal jika istilah  yang digunakan itu menyebabkan silap faham di kalangan mereka yang  tidak bersalah tetapi tiada satu pun ayat atau perkataan menyebut DS  Anwar mohon maaf atau menarik balik kecamannya terhadap zionis Israel.
Apa  yang menariknya, tulisan di akhir artikel tersebut menyebut bahawa  perubahan DS Anwar dari seorang yang demokrat yang pro Amerika kepada  fanatik Anti Israel merupakan sesuatu yang serius. Bukankah ini  bermaksud bahawa Penulis artikel tersebut juga masih yakin dan percaya  sememangnya DS Anwar anti Zionis Israel. Sekaligus, ini membuktikan  bahawa DS Anwar tidak memohon maaf kepada puak yang menyokong zionis  Israel itu.
Oleh yang demikian, mengapa pemimpin Umno menafsirkan  benda lain dari yang dimaksudkan oleh Penulis itu sendiri? Mengapa  tidak dihebohkan tentang tuduhan liwat yang direka terhadap DS Anwar di  dalam artikel yang sama? Mengapa tidak diulas tentang pertemuan Saiful  Bukhari dengan Najib sebelum tuduhan liwat 2 ke atas DS Anwar? Bukankah  perkara itu juga ditulis oleh Penulis?
Kesimpulannya, ini  bermakna pemimpin Umno masih lagi tercari-cari isu yang boleh mereka  gunakan untuk menjatuhkan kredibiliti DS Anwar. Mereka sanggup  dilabelkan bodoh asalkan rakyat mempercayai mereka. Masalahnya, adakah  rakyat kesemuanya ingin menjadi bodoh seperti mereka? Jika Najib, KJ,  Rais, Muhyiddin atau sesiapa sahaja yang merasakan mereka telah  menjumpai keburukan DS Anwar, kita cabar mereka untuk berdebat secara  terbuka dengan DS Anwar. Sekali lagi kita boleh memotong jari jika  pemimpin Umno berani berdebat dengan DS Anwar. Mustahil, kerana Umno  dulu, kini dan selamanya memang penikus./
~wfauzdin.blogspot.com