GOMBAK, 21 Julai: PAS diminta berwaspada dengan   rancangan 'pasukan khas' yang ditubuhkan Umno untuk membangkitkan semula   isu perpaduan PAS dengan parti perkauman Melayu itu.
"Awas pada  satu kewujudan pasukan khas yang dicipta oleh Umno untuk   memecahbelahkan PAS," ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, malam   tadi.
Katanya, pengakuan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria  kononnya  ada pemimpin tertinggi PAS bertemu dengannya untuk menyatukan  PAS dengan  Umno juga dipercayai sebahagian daripada rancangan pasukan  khas  tersebut.
"Ini adalah konspirasi rapi yang mungkin memaksa  Harussani berbohong,  mungkin juga ada dalang pasukan khas ini," beliau  menambah.
Rancangan pasukan khas tersebut, katanya lagi, turut  bertujuan  mewujudkan kesangsian dalam Pakatan Rakyat sebelum Pilihan  Raya Umum  ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.
"Rancangan ini memang untuk  pecah belahkan PAS dan wujudkan  kesangsian dalam Pakatan Rakyat  sebelum pilihan raya umum depan," ujar  beliau yang juga Ahli Parlimen  Kubang Kerian.
Tambahnya lagi, sepasukan khas tersebut terpaksa pergi  sejauh ini  mungkin disebabkan rancangan kemasukan 40 ulama muda yang  diwar-warkan  sebelum ini kurang memberi impak kepada PAS dan Pakatan  Rakyat.
Namun, beliau berkata, rancangan terbaru Umno itu seakan  menarik  minat awam untuk sangsi dengan iltizam politik PAS bersama-sama  Pakatan  Rakyat.