Melayu – Bangsa yang mudah ditipu
Bila Inggeris  mula menjejak kaki di Tanah  Melayu  perkara yang pertama mereka tahu  tentang Melayu  ialah masalah  alma  mater, masalah  sekolah, masalah buku dan masalah  minda yang   mundur  menjadi selimut orang Melayu.  Sejak dulu orang Melayu bukanlah  satu  bangsa yang   suka membaca dan berfikir. Mereka  juga  tidak suka    menulis  dan mencatat justeru mereka tidak mengambil penting soal    masa  dan  tarikh peristiwa tertentu. Mereka campur adukkan sastera dan   sejarah dan  namakannya Sejarah Melayu. Mereka  lebih senang mewarisi   sejarah yang ditulis oleh British. Yang anehnya  mereka menganggap apa   yang ditulis oleh orang asing tentang mereka  adalah satu sejarah dan   mereka mendewakannya. 
Dari dulu  hingga sekarang orang Melayu   lebih suka mendengar   ceramah dan ‘labun’  tentang  apa saja termasuk ajaran agamanya.  Dalam  hal ini  mereka juga  tidak suka bertanya  atau  menyelidik. Jika banyak  bertanya  mereka  boleh dianggap sebagai lemah iman oleh guru-guru  agama mereka.  Jika  membaca tanpa berguru  boleh  dianggap pula  sebagai..berguru dengan syaitan.  Jadi guru-guru agama   ini secara tidak langsung telah mendidik   agar   Melayu  jangan   membaca, jangan bertanya dan jangan terlalu menyelidik  kerana ini  boleh  membawa mudharat.  Orang Melayu  tidak dipimpin  supaya menjadi  masyarakat yang suka  membaca, menulis dan membuat  penyelidikan  sebaliknya mereka digalakkan  menerima apa saja yang  diceramahkan tanpa  banyak soal..“Dunia  ini milik  orang kafir dan akhirat itu adalah tempat untuk kita”…inilah   ajaran-ajaran yang telah membelenggu masyarakat  Melayu-Islam beratus   tahun sejak ia telah melalui fasa-fasa  perkembangan sejarahnya.
 
Fasa  yang  pertama yang telah dan sedang dilalui ialah  fasa ‘kediktatoran ulama’.    Kediktatoran ulama’ adalah suatu keadaan di mana ulama’ telah menipu    rakyat kerana kepentingan kedudukan mereka. Segala  fatwa mereka tidak boleh dipersoal dan harus   diterima bulat-bulat. Agama bukan sahaja telah menjadi candu masyarakat malah   menjadikan orang Melayu pasif dan tidak berupaya berfikir untuk    mengubah kehidupan mereka. Pandangan hidup atau world view   menjadi begitu terbatas dan  mindanya mudah dijajah.  Fasa kediktatoran    politik-ekonomi juga bukanlah terasing dari kediktatoran ulama. Ia   saling lengkap melengkapi  dalam membina kelangsungan minda  yang pasif   di kalangan rakyat Melayu. Kediktatoran  ulama’ turut menghilangkan   cahaya ajaran al-Quran lalu meninggalkan rakyat dalam kegelapan beratus   tahun lamanya.
 
Kediktatoran  politik-ekonomi (capitalism)  pula adalah  kediktatoran yang di  bawa dan  diwarisi daripada penjajah  menerusi   sistem  kapitalis yang dipaksakan ke atas rakyat. Sistem ini  mengambil  segala lebihan (surplus) yang dihasilkan rakyat atas nama   negara dan  dieksploit oleh kelas penjajah/pemerintah.
 
Al-Quran  telah memperkenalkan kisah-kisah Hamman sebagai  contoh  kediktatoran  ulama’ sementara kediktatoran Politik  Ekonomi atau liberal-capitalism pula diwakili  oleh Firaun  dan  Qaroon yang zalim terhadap rakyat. Kedua-dua  kediktatoran ini saling  melengkapi untuk  melemparkan masyarakat Melayu  di jurang kemunduran.  Sistem  liberal-capitalism  ini dibawa masuk oleh  penjajah Inggeris  tidak  ditentang oleh ulama’ sendiri kecuali sedikit  daripada mereka.  Hingga  hari ini  mereka lebih bermati-matian menentang  sosialism yang  melawan  penindasan.
 
Dalam  perkembangan  sejarah masyarakat   Melayu  sepanjang dijajah  selama 446 tahun fikiran mereka  telah  dicanai oleh agen-agen  munafik-musyrik global ini.  Budaya membaca secara kritikal tidak  digalakan oleh kelas bangsawan   dalam sistem pendidikan. Ulama’ pula  mengajar  membaca al-Quran tanpa  memahaminya. Membaca  al-Quran boleh  dapat pahala walaupun tidak faham  maknanya.  Raja-raja,   pembesar-pembesar dan  masyarakat Melayu sendiri  menjadi sangat lemah  hingga mereka tidak dapat   menjadi pelindung  kepada rakyat.   Tiada  cahaya  dari Allah untuk mereka  memimpin  masyarakatnya. Begitulah  dalam kegelapan ini Melayu telah dijajah   dengan begitu lama.
 
Satu  contoh  tentang begitu mudah Melayu ditipu dapat diperhatikan  dalam  kisah Pulau  Pinang sebuah pulau milik Sultan Kedah suatu ketika  dulu.   Inggeris masuk ke Tanah Melayu bukanlah dengan cara berperang.      Mereka  hanya menghadapi pemberontakan rakyat setelah terjalin hubungan   di antara Inggeris –   raja-raja yang telah diperdaya. Pulau  Pinang   jatuh ke tangan Inggeris pada tahun 1786  hanya melalui tipu daya Kapten   Francis Light. Setelah  mengetahui kelemahan akal dan diri Melayu,   beliau menyusun strategi  untuk memperbudakkan raja dan pembesar Melayu    Kedah. Pada masa ini Kedah sedang tergugat oleh kekuatan Siam.   Melihat   peluang ini, Inggeris telah memaksa Sultan Kedah supaya  bersetuju   menerima bantuan senjata daripada Inggeris bagi mengurangkan   ancaman  Siam. Sebagai balasan, Pulau Pinang  diminta agar dipajakkan  kepada  Inggeris dengan  harga $30,000. Sebaik sahaja persetujuan ini    ditandatangani pada 11 Ogos 1786 maka Francis Light telah    mengisytiharkan bahawa Pulau Pinang sebagai Prince of Wales dan menjadi    jajahan takluk Inggeris.
 
Tindakan ini  telah menyebabkan Sultan  Kedah menjadi gelabah  kemudian mengesa rakyat melancarkan serangan  terhadap angkatan laut  Inggeris. Dengan kekuatan yang ada mudah sahaja  rakyat  ditumpaskan dan  kapal perang Inggeris telah  masuk hingga ke  Sungai Perai.  Kekalahan   ini telah menyebabkan satu lagi rundingan  pajakan dilakukan oleh   Inggeris terhadap Kedah. Kerana bimbang, maka   Sultan Kedah telah  menurunkan harga pajakan Pulau Pinang daripada   $30,000 kepada $6,000  dan pajakan baru Seberang Perai sebanyak $4,000.  Tempoh kuat kuasa  perjanjian ini pula tiada had iaitu  selagi ada bulan  dan bintang.   Jumlah  pajakan keseluruhan ialah $10,000 dan Seberang  Perai telah  diletakkan  di bawah jajahan  baru Inggeris dan diberi nama   Province  Wellesley.
 
Demikianlah  kisah mula Inggeris masuk  dengan akalnya  menguasai   Tanah Melayu. Pada ketika ini, selain dari  sistem  feudal yang hidup di  bawah makna diri Melayu yang setia dan  pantang durhaka itu maka bangsa  Melayu telah terjajah. Sungguhpun  bangsa ini telah dijajah, tetapi  Inggeris  yang licik ini tidak  menjajah Istana. Kepada  kaum feudal-  istana, mereka telah dilimpahi  dengan pelbagai kemewahan  dan  keistimewaan serta layanan dari  Inggeris. Kita  telah menyaksikan sejak  sebelum Perang Dunia kedua   lagi,  anak-anak raja dan pembesar-pembesar  Melayu feudal telah  dihantar untuk  belajar di universiti-universiti di  London dan  Eropah.   Mereka diberi biasiswa dan layanan yang  sangat  istimewa. Segala adat  istiadat dan cara  pergaulan bagi sesetengah  golongan feudal ini telah  berubah menjadi  budaya Inggeris malah ramai  di antaranya tidak fasih  berbahasa Melayu  dan tidak lagi mengamalkan  adat Melayu.
 
Kepada   bangsawan Melayu ternakan Inggeris ini atau dipanggil United Malay National Organisation   (UMNO) kemudian telah  diwariskan  pentadbiran pasca merdeka    mempertahankan kelangsungan sistem   serta status-quo yang dipanggil   neo-liberal. Lebih  50 tahun rakyat mabuk dalam penderitaan. Pun begitu   mereka terus  tersenyum dan menyokong walaupun miskin dan hutang    keliling pinggang. Dalam keadaan rakyat yang  mabuk dalam penderitaan   ini, era Melayu  tipu Melayu pun terus berlangsung.