Oleh Rusnizam Mahat
SHAH ALAM 4 Julai - Kepimpinan  Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini semakin diasak dengan isu  yang  dibangkitkan Pakatan Rakyat mengenai rizab tunai Lembaga Kemajuan  Tanah  Persekutuan (Felda) yang menjunam sebanyak RM2.37 bilion  dalam tempoh  lima tahun dan beberapa keputusan pelaburan yang  menyebabkan Felda  menanggung kerugian.
Tidak cukup dengan tindakan  Timbalan Menteri  di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad  Maslan bermatian mempertahankan  status kewangan Felda, isu itu akhirnya  mendesak Najib bersuara  akibat tekanan politik terhadap beliau.
Ahli  Parlimen Sungai Petani,  Datuk Johari Abdul berkata, kerajaan pimpinan  Najib  perlu membentangkan kertas putih di parlimen bagi menjelaskan isu   membabitkan kerugian yang dialami Felda.
"Kalau betul kerajaan   telus, kita minta kerajaan bentangkan kertas putih di parlimen tentang   apa sebenarnya yang berlaku terhadap kewangan Felda. Ini kerana kita ada   bukti yang tunjukkan bahawa sebelum Felda diambil alih oleh Najib (di   bawah Jabatan Perdana Menteri) dan sebelum diambil alih oleh Ahmad   Maslan, 'fixed deposit' Felda amat besar, tetapi kini 'fixed deposit'   Felda menjadi terlalu kecil," tegas beliau ketika dihubungi Suara   Keadilan.
Menurutnya, beliau sendiri akan menulis surat kepada   Jawatankuasa Wang Kira-Kira Awam untuk menggesa isu kerugian yang   ditanggung Felda disiasat.
"Kita bukan nak menuduh sesiapa, tetapi   apa yang seolah maklumat yang bercanggah. Kita tidak yakin tindakan dan   penjelasan kerajaan betul kerana banyak perkara yang mengelirukan. Ini   berdasarkan kenyataan yang dibuat Ahmad Maslan sendiri di parlimen saya   masih ingat lagi pada 16 Jun lalu yang menyatakan rizab tunai Felda   berkurangan dari RM4.08 bilion kepada 2004 kepada RM1.35 bilion pada   2009.
"Ini bermakna rizab tunai  menjunam sebanyak RM2.37 bilion  dan  selain itu juga disebut pembinaan menara Felda pada 2008 yang   menelan ratusan juta ringgit. Perkara ini, kerajaan patut berikan   sebab," tegas beliau.
Beliau mengulas kenyataan Najib semalam   yang mendakwa kononnya tuduhan terhadap Felda bankrap seperti yang   dilaporkan dalam akhbar Suara Keadilan satu pendustaan, malah merupakan   satu penghinaan kepada seluruh warga peneroka di seluruh negara.
Najib   juga berkata tuduhan itu merupakan penghinaan kepada sebuah institusi   yang selama ini telah banyak berjasa kepada masyarakat Melayu   dan penduduk luar bandar sejak 50 tahun lalu.
Mengulas lanjut  Johari  berkata, isu yang ditimbulkan bukan bemaksud untuk  menghina institusi  itu dan masyarakat Felda amnya, tetapi memberikan  penjelasan dan  menjawab isu berkenaan.
"Felda ialah milik peneroka  dan anak-anak  mereka yang telah memberikan khidmat dengan segala  bentuk pengorbanan.  Soal yang kita bangkitkan bukan soal penghinaan  tetapi kita nak tahu  kedudukan sebenar kerana kita tidak mahu nasib  Felda serupa  seperti yang dialami Sime Darby, Pos Malaysia dan  syarikat GLC lain  yang menanggung kerugian.
"Sebagai parti  (pembangkang)  yang bertanggungjawab, kenapa kerajaan nak melompat? Tak  payah  melompat, kalau perkara itu tidak betul, jawablah. Kita dalam  Pakatan  Rakyat mempunyai maklumat berdasarkan apa yang kita ada dan   tugas kerajaan hanya menjawab sekiranya dakwaan itu tidak betul. Tidak   perlulah sampai nak melompat (saman).
"Kita sebagai pembangkang   mestilah kita mahu bongkar berdasarkan maklumat yang kita ada,   kita sebut kerana kita mahu kerajaan jelaskan isu ini. Biarlah rakyat   yang tentukan siapa betul dan siapa salah," kata Johari lagi.
Ditanya   mengenai pendedahan ahli jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa di   laman blognya beberapa hari lalu yang mengaitkan syarikat kroni   milik Umno dengan beberapa projek pembangunan Felda, beliau turut   terkejut dengan pendedahan itu dan mahu kerajaan menjawab dakwaan   berkenaan kerana ia merupakan dakwaan yang cukup serius.
"Ini satu   dakwaan yang berat,  bukan keluar dari mulut ketua cawangan PAS,   tetapi seorang pemimpin besar PAS yang sudah pasti beliau   mempunyai maklumat tentang dakwaannya. Kerajaan perlu jelaskan perkara   ini," tegas beliau.
Antara projek yang dikatakan dianugerahkan   kepada firma berkenaan adalah kawasan perumahan dan komersial di   Feldajaya iaitu sebuah projek pembangunan untuk generasi kedua peneroka   Felda.
Laporan media mendakwa projek tersebut diserahkan kepada   firma arkitek W&W yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit   Chandan dan seorang ahli pemuda Umno Bahagian Besut, yang dikenali   sebagai Wan Burhanuddin Wan Hassan yang memiliki hubungan rapat dengan   seorang pegawai atasan Felda di Terengganu.
Menurut Husam, projek   tersebut bukan sesuatu yang dibanggakan berikutan lokasinya yang tidak   sesuai dan harga kosnya yang terlalu tinggi menyebabkan ia menjadi   sebahagian projek gajah putih.
Selain Feldajaya Trolak, terdapat   tiga projek seumpama itu di Chini, Serting dan Mempaga yang menelan kos   RM152 juta.
Husam juga mendakwa bayaran kepada arikitek berkenaan   tidak jelas dan mungkin menjangkau RM500 bilion  termasuk pembinaan   Maktab Rendah Sains Mara Trolak dan kolej komuniti di Terengganu   dan Sabah.
~SuaraKeadilan