BANGI, 4 Julai – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin  Hussein  berkata hari ini masa telah tiba bagi Barisan Nasional (BN),  khususnya  Umno, membuktikan bahawa kelemahan dan kesilapan mereka yang  wujud  sebelum ini telah berjaya diatasi.
Oleh itu, BN dan semua parti  komponennya kini perlu bersiap sedia  menghadapi pilihan raya umum ke-13  tanpa dolak-dalik lagi, kata beliau.
Menurut beliau, alasan-alasan  klise dan remeh yang sering diguna  pakai sebelum ini tidak boleh lagi  digunakan sebagai faktor penyokong  untuk 'lari' dari bertanding dalam  pilihan raya.
Katanya, pindaan terhadap perlembagaan (parti) dan  transformasi  menyeluruh dalam Umno adalah langkah drastik yang diambil  untuk kembali  memperkasakan parti, sekaligus membolehkan Umno muncul  sebagai parti  komponen BN pertama yang berani bertindak sedemikian  rupa.
“Kita tidak ada pilihan. Kita kena siap sedia, sampai bila kita  nak  beri alasan kita tak bersedia? Sampai bila kita nak katakan bahawa  kita  belum mampu berdepan dengan pilihan raya umum? Sampai bila kita  nak  katakan bahawa kita masih lagi dibelenggu dengan masalah-masalah  yang  terpaksa kita hadapi masa pemulihan dulu?
“Tak boleh lagi dah.  Masa dah sampai untuk kita bangkit, masa dah  sampai untuk kita  tunjukkan pada orang ramai bahawa Umno dah insaf,  sedar, dah muhasabah  diri, dah buat perancangan dan akan lakukan  transformasi,” katanya pada  sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat  Umno Bahagian Serdang di  sini.
Menteri Dalam Negeri itu menyatakan demikian ketika merujuk  kepada  kenyataan seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad  Zahid Hamidi  yang akan mengusulkan supaya Badan Perhubungan Umno Negeri  di lima buah  negeri kembali diterajui oleh kepimpinan parti negeri  terbabit.
Ini kerana, menurut Ahmad Zahid, keadaan Umno di  negeri-negeri  berkenaan iaitu Selangor, Terengganu, Pulau Pinang,  Kedah, dan Wilayah  Persekutuan telah kembali mantap dan pulih.
“Memang  kepimpinan di semua peringkat negeri mesti diteliti dengan  sebaik  mungkin kerana yang kita nak pastikan ialah kemenangan calon kita  dan  parti di setiap negeri,” katanya.
Ditanya apakah beliau telah  bersedia untuk melepaskan jawatan  Pengerusi Perhubungan Umno Negeri  Terengganu kepada Menteri Besar, Datuk  Ahmad Said, Hishammuddin  berkata, aspek itu akhirnya akan ditentukan  oleh ahli-ahli parti.
Menjawab  soalan mengenai pemulihan ke atas negeri-negeri yang BN  tewas, beliau  berkata aspek tersebut mencakupi tiga pelan utama iaitu  pelaksanaan  (program) parti dalam konteks dan agenda kerajaan,  transformasi parti  serta pencapaian wakil rakyat dan calon yang ingin  diketengahkan.
~Bernama