Oleh Faizal Ezzany
SHAH ALAM 13 Julai - Cadangan Kementerian  Dalam Negeri (KDN) menubuhkan jawatankuasa pemantauan berita palsu atas  alasan untuk menangani berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak  bertanggungjawab bukan membawa kebaikan kepada negara malah sebaliknya  akan mencemarkan nama Malaysia dalam arus kebebasan media antarabangsa.
Ahli  Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail memberitahu Suara Keadilan  tindakan KDN itu menunjukkan kebodohan di dalam pentadbiran negara ini  dalam kerangka amalan sistem demokrasi.
"Kita melihat negara luar  seperti Afrika mahupun negara komunis walaupun pemerintahan mereka  teruk tetapi mereka mengamalkan kebebasan media.
"Apa yang  berlaku di negara ini sebaliknya, kita bercakap tentang dasar demokrasi  tetapi sikap sebenar pentadbiran negara ini lebih teruk dari apa yang  berlaku di negara luar. Tindakan KDN hendak menubuhkan jawatankuasa  memantau berita palsu itu adalah sikap yang bodoh serta menjatuhkan imej  negara ini, kenapa mereka tidak membuat perbandingan dengan negara luar  terhadap amalan kebebasan media.
"Tidak ada sebuah negara pun  dalam dunia ini yang menubuhkan jawatankuasa sedemikian tetapi sikap  angkuh pemimpin Umno-Barisan Nasional menjadikan Malaysia sebuah negara  kuku besi yang menyekat rakyat bersuara serta menghalang daripada  mendengar apa juga maklumat yang betul.
"Kerajaan sepatutnya  memantau media arus perdana milik mereka yang jelas kita tahu melakukan  pembohongan mahupun fitnah setiap terbitan akhbar terbabit. Kita melihat  apa yang Utusan Malaysia siarkan kenapa tiada tindakan, bila media  alternatif mengeluarkan kenyataan yang benar dalam mencari penyelesaian  terus diambil tindakan.
"Kerajaan sebenarnya tidak bersikap adil  dalam pentadbiran mereka, sikap amalan berat sebelah serta penubuhan  jawatankuasa tersebut mencerminkan lagi bahawa negara ini berada dalam  era zaman pemerintahan yang kejam serta zalim," tegas Azan.
Azan  juga berkata slogan 'Selamatkan Malaysia' yang menjadi laungan Pakatan  Rakyat amat bertepatan dan sesuai kerana rakyat perlu menyelamatkan  negara ini daripada pemerintahan
Umno-BN yang mengamalkan budaya  kejam, zalim dan menindas.
"Slogan yang kita laungkan itu amat  bertepatan sekali, kita perlu selamatkan Malaysia daripada golongan yang  zalim lagi kejam. Rakyat perlu membuat keputusan dari sekarang bukan  hanya menjadi pemantau. Sebelum ini kita ingin menyelamatkan Malaysia  daripada teruk merundum dalam ekonomi dunia tetapi sekarang kita perlu  selamat negara ini daripada kerajaan yang zalim.
"Saya melihat  amalan media arus perdana lebih teruk lagi jika dibandingkan dengan  media alternatif, lemparan fitnah mereka secara terbuka dengan  menyelewengkan fakta serta bersikap mengampu tetapi kita kesal kerana  kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sentiasa membela mereka.
"Sikap  pembohongan media arus perdana itulah \menyebabkan media tersebut tidak  lagi menjadi rujukan kepada pembaca dan kenyataan ini diakui oleh  barisan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mereka  mengatakan internet dan media alternatif menjadi rujukan utama kepada  pembaca di negara ini mahupun yang berada di luar negara.
"Saya  yakin atas dasar inilah tekanan diberikan ke atas media alternatif,  kerajaan takut dengan penerimaan rakyat terhadap laporan media  alternatif. Selain itu tindakan menggantung permit penerbitan akhbar  rasmi parti Pakatan Rakyat merupakan langkah kerajaan cuba  memperbodohkan rakyat serta memutar belitkan fakta agar rakyat tidak  terpedaya dengan dakwaan itu," kata beliau lagi.
Tambah beliau  jika kerajaan sekarang berada dalam ketakutan mereka perlu mengadakan  pilihan raya sekarang.
Ini kerana beliau pasti ada sedikit  sokongan yang akan di perolehi oleh umno-BN tetapi jika kerajaan takut  dan berdegil untuk tidak melakukan pilihan raya rakyat akan menolak  sepenuhnya pentadbiran mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri  Hishammuddin Hussein memberitahu jawatankuasa pemantau itu turut  dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri  Aziz dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr  Rais Yatim manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana  Menteri berfungsi sebagai adalah urusetia.
Beliau mengganggap  penubuhan jawatankuasa itu bertujuan untuk mengelak rakyat terus tertipu  dengan berita palsu.