KUALA LUMPUR, 9 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari  ini menggesa peneroka supaya tidak berasa tawar hati dengan laporan  tidak tepat dalam media berhubung kedudukan kewangan Lembaga Kemajuan  Tanah Persekutuan (Felda).
“Saya dapati salah laporan ini adalah  disengajakan dan satu penghinaan ke atas rakyat Malaysia ini yang telah  bekerja keras dan cubaan terang-terangan untuk memperlekehkan usaha  kerajaan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Mereka mencemarkan  bukan sahaja maruah Felda, tetapi juga semua individu yang telah bekerja  keras yang merupakan sebahagian institusi ini,” katanya dalam blog  beliau www.1malaysia.com.my .
Najib, yang menyifatkan Felda  sebagai “amat istimewa bagi dirinya atas kepentingannya dalam sejarah  negara ini dan kedudukannya yang begitu bermakna kepada beberapa  generasi  Malaysia yang melalui peluh, darah dan air mata mereka yang  telah mentransformasikan Felda kepada kedudukannya sekarang”, turut  melahirkan rasa kecewa beliau kerana sehingga hari ini, “tiada  permohonan maaf
dibuat untuk membetulkan dan menebus penghinaan  ini.”
“Dan Felda berhak untuk mengambil tindakan undang-undang  untuk menjaga integriti organisasi,” katanya.
Najib mengulas  laporan muka depan Suara Keadilan, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat  (PKR), bertajuk “Felda Bangkrap” dalam isu 22-29 Jun.
Perdana  Menteri berkata setakat ini, Felda mempunyai simpanan wang tunai  sebanyak RM1.3 bilion dan RM4 bilion dalam bentuk saham dalam pelbagai  syarikat senaraian awam, diperoleh dengan pelaburan permulaan hanya  RM844 juta.
Ladang komersil milik Felda dianggarkan bernilai  sekurang-kurangnya RM10 bilion, dan sebanyak RM2.4 bilion dibelanjakan  untuk tanaman semula bagi meningkatkan hasil sawit dan getah Felda.
Beliau  berkata tahun lepas sahaja, Felda membayar zakat sebanyak RM26 juta.
“Sekiranya  bankrap, sesebuah organisasi tidak diwajibkan membayar zakat, lagi  membuktikan tuduhan ini tidak berasas langsung,” katanya.
Najib  juga berkata untuk berkembang maju sebagai sebuah organisasi, Felda  perlu bersedia untuk meneroka dan menjalankan perniagaan baru dan  membangunkan barisan hadapan.
“Sebab itu kenapa Memorandum  Persefahaman telah dimeterai untuk menjalin kerjasama strategik bagi  Felda untuk menjadi pengeluar daging lembu dan susu terbesar  Malaysia.  Sebanyak RM603 juta diperuntukkan oleh Felda yang ditawarkan sebagai  pinjaman tanpa faedah kepada peneroka.
“Felda juga komited untuk  meningkatkan peluang pendidikan, terbukti dengan perasmian MRSM Felda  Trolak baru-baru ini, yang dibiayai sepenuhnya oleh Felda,” katanya.
Najib  berkata pelaburan dan pembiayaan ini dibuat demi faedah peneroka dan  rakyat Malaysia amnya, “tetapi tuduhan mengenai penyelewengan dana dan  perbelanjaan tidak berhemah itu merupakan cubaan untuk memperlekehkan  usaha berkenaan dan menghalang kerja kita.”
Kepada peneroka  Felda, Perdana Menteri menasihatkan mereka supaya terus “ berusaha  dengan gigih untuk keluarga, masyarakat dan negara anda”.
“Kami  akan terus mencari jalan untuk meningkatkan taraf hidup golongan anda  dan akan memastikan usaha anda mendapat pulangan sewajarnya,” katanya.
~Bernama