Seorang ahli majlis pimpinan pusat PKR Badrul Hisham Shaharin ditahan  polis di Seremban antaranya ekoran tulisannya dalam blog mengenai  Altantuya Shariibu.
Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard  berkata, beliau ditahan di pejabat PKR Negeri Sembilan di Seremban  ketika hendak mempengerusikan mesyuarat PKR cabang Rembau kira-kira jam 9  malam pada Jumaat.
“Baru nak pengerusikan mesyuarat cabang  Rembau, sekumpulan 15 orang angggota polis serbu dan ambil Chegubard,  ditahan dan dalam perjalanan ke ibu pejabat polis daerah (IPD)  Seremban,” tulisnya dalam laman blog mikro Twitter.
Badrul yang  juga pengarang buku Di Sebalik misteri pembunuhan Altantuya juga menulis  bahawa rumahnya di Bukit Chedang, Seremban digeledah polis selepas  beliau ditahan.
Beliau memberitahu dibawa sekali ketika operasi  itu dijalankan.
Polis kemudian merakamkan kenyataannya di IPD  berkenaan, tulisnya lagi.
Ketika dihubungi Malaysiakini selepas  dibebaskan dengan jaminan polis hampir jam 12 tengah malam tadi, Badrul  mengesahkan laporan-laporan di Twitter berkaitan penahanannya.
Katanya,  pihak berkuasa memberitahunya, beliau disiasat bawah akta hasutan  kerana terdapat beberapa laporan polis dibuat terhadapnya dan ekoran  kenyataannya di blog dan pentas ceramah.
“Saya ditunjukkan dan  disoal berkaitan artikel di blog, antaranya berkaitan Altantuya dan  raja.
"Ya, saya mengaku saya yang tulis,” katanya.
Ditanya  tentang penggeledahan rumahnya oleh pihak polis, Badrul yang juga  jurucakap NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata:
“Saya  juga tidak jelas apa yang mereka (polis) cari. Tiada apa-apa diambil.  Cuma polis mengambil gambar ruang kerja saya di rumah.”
MK