Oleh: Abdul Rahim Sabri
Exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa  mendakwa sebuah firma arkitek yang diterajui oleh seorang pemimpin  pemuda Umno diberikan projek bukan bidang Lembaga Tanah Persekutuan  (Felda) tetapi menggunakan peruntukan daripada rizab tunai lembaga itu.
"Sejumlah  setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak  perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang  sama.
"Firma arkitek diterajui seorang ketua pemuda UMNO Bahagian  di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat  dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.
"Kasih  sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama  bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi  warga Felda tercinta....," tulis Husam di dalam blognya kelmarin.
Husam  mengulas mengenai bagaimana rizab tunai Felda yang dibelanjakan susulan  pendedahan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berhubung status  kewangan Felda yang merosot sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima  tahun pertengahan bulan lalu di parlimen.
Husam berkata terdapat  projek yang bukan bidang tugas Felda dibiayai oleh agensi tersebut "atas  sifat pemurahnya" seperti kolej komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan  Sabah (RM 22 juta), menaik taraf bekalan air di Pahang (RM 200 juta)  dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).
"Apa kena  mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda  dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya.
"Mungkin  kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai  projek bukan bidang tugasnya sekalipun," katanya.
Husam turut  mendakwa firma arkitek tersebut bertangggungjawab membangunkan empat  kawasan Felda yang "dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan"  yang dikenali sebagai Feldajaya.
Beliau juga mendakwa pembangunan  bagi keempat-empat Feldajaya itu - Mempaga, Trolak, Serting dan Cini -  setakat ini menelan kosnya sebanyak RM 152 juta.
"Rumah bungalow  mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam  satu kawasan 'masa depan' di bina.
"Sama ada rumah kedai dan  bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang  penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!
"Asal dikata  moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah.  RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini," katanya.
Husam  turut menjelaskan bahawa beliau sebelum ini telah mendedahkan pelaburan  Felda sebanyak RM 800 juta di Amerika Syarikat dan Kanada.
"Maknanya,  di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana  sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan! Selebihnya,  Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....
"Kalau Felda tak ada  masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga  Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit  demi sedikit," katanya.
~Malaysiakini