~MSO
Ada Menteri Ubah Minit dan Tambah Nilai Tander?
PAGI  tadi saya cadang nak 'zoo negara', bukan zoo tetapi Parlimen. Malamnya  sudah janji dengan sdr Kamal Amir Kamal Hijaz, bekas ahli jawatnkuasa  Biro Antarabangsa Pemuda Umno dan pernah membantu Encik Ibrahim Ali  dalam pilihan raya umum lalu di parlimen Pasir Mas. Kamal sanggup turun  dari Kuala Lumpur semata-mata untuk berkempen menjamin kemenangan calon  berkenaan.
Bagaimana pun janji untuk jumpa Kamal Amir hari ini  terbatal apabila ada hal lebih 'auliayat' iaini berjumpa dengan seorang  kawan lama. Bukan itu saja kerana ada hajat beradat, maka saya terpaksa  ke rumahnya bersama isteri. Kamal pula beriya hendak jumpa, mungkin nak  bagi naskah percuma buku barunya - profile perjuangan Tengku Razaleigh  Hamzah.
Saya juga tidak sabar untuk membacanya. Apakah pemikiran  dan isu yang menjadi fokus penulis kental dan tebal dengan jiwa Melayu  ini menerusi buku itu.
Jumpa kawan lama tadi hajatnya sekejap  saja. Selepas menyampai segala hajat mahu minta diri dan akan cuba  berlari ke Parlimen. Mudah-mudahan Kamal Amir sabar menunggu.  Lagipun  menjelang jam 11:00 pagi dalam telefon masuk satau SMS memberi tahu yang  Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan hendak  mengadakan sidang akhbar di parlimen jam 3:00 petang.
Disebut  dalam SMS itu Ahmad Maslan akan mengumumkan mengenai hasrat Felda nak  saman
lidah rasmi parti PKR, Suara  Keadilan ekoran akhbar berkenaan menuduh Felda bankrup. Berita  mengenai pengumuman Ahmad itu telah pun keluar di beberapa portal dan  blog, di mana menurut Ahmad, Felda saman Suara Keadilan dan menuntut bayaran ganti rugi sebanyak  RM200 juta. Wau banyak tu...
Mungkin bagi peneroka di Hulu  Terengganu ataupun Hulu Pahang, atau Serting Negeri Sembilan merasa  gembira mendengar kenyataan Ahmad Maslan itu. Betapa tidak dalam kepala  mereka Felda secara atas angin akan menambahkan asetnya sebanyak RM200  juta. Sedikit sebanyak mungkin mereka mengira, wang itu nanti akan  menimbus rizab tunai Felda yang dikatakan susut itu?
Biasalah  bila lama tak jumpa panjanglah sembang dengan kawan lama tadi.  Sebenarnya perkara utama yang hendak dibincangkan tidak sampai pun 10  minit. Tetapi kerana perbualan lain-lain topik dan sub topik memakan  masa lebih tiga jam.
Kawan ini seorang ahli perniagaan yang aktif  hingga ke peringkat antarabangsa. Dia juga sebagai seorang pemerhati  politik. Dia berkawan dengan semua orang, khasnya tokoh-tokoh Umno  termasuk beberapa menteri. Jadi banyaklah kepincangan dan penyelewengan  yang diketahuinya yang sesetengahnya tidak sampai hati nak disebutkan.
Dari  hal mengenai kedudukan kewangan negara yang semakin susut dan menipis  sampailah kepada perkara-perkara yang jelek untuk diceritakan. Menurut  kawan ini disebabkan berleluasanya rasuah, penyalahgunakan kuasa,  menyebabkan negara boleh bankrup. Nasib malang negara ini bukan kerana  gimik atau sengaja nak menakut-nakutkan rakyat membolehkan kerajaan  mengurangkan subsidi, tetapi menurutnya memang ia satu yang akan menjadi  realiti. Malahan dari nada cakapnya dia optimis negara ini akan  bankrup.
Beliau lantas memberi contoh dengan apa yang berlaku  dalam Felda yang menjadi isu hangat hari ini. Beliau yang juga bekas  pegawai Felda tahu benar mengenai salah urus dan tadbir dalam Felda  menyebabkan berlaku penyusutan rezeb tunai Felda. "Apa yang dibangkitkan oleh Suara Keadilan itu benar,  duit Felda sudah habis," ujarnya.
Kawan itu memberi satu  dua contoh bagaimana dua projek Felda yang tidak menguntungkan tetapi  dijalankan juga kerana untuk membantu kroni. Satu katanya pembinaan  hotel di Bangi di mana bagi kepentingan Felda pembinaan ini langsung  tidak ada apa-apa keuntungan. Untuk apa Felda membina hotel, soal beliau  marah.
Tetapi katanya kerana atas permintaan Pengerusi Felda,  Yusuf Noor kerana inginkan bangunan tertinggi di Bangi berdekatan  kediamannya maka pembinaan itu diluluskan. "Untuk apa hotel berkenaan.  Pada saya lebih baik ia dibina sekolah Tahfiz Agama untuk anak-anak  peneroka," katanya.
Satu lagi projek yang menghabiskan wang  institusi itu ialah pembelian ladang lembu di Australia bernilai RM600  juta. Peneroka mungkin seronok bila dibertahu Felda menceburi perniagaan  di peringkat antarabangsa. Tetapi mereka tidak tahu apa sebenarnya yang  berlaku.
Mengenai projek ladang lembu ini katanya apa  membingungkan Felda telah mengeluarkan wang sebanyak RM600 juta, tetapi  saham pemilikkan ladan itu bagi Felda hanya 19 persen sahaja. Ini  perniagaan bodoh katanya. Ke mana perginya 81 persen lagi walahualam.  Katanya dia memilik dokumen berhubung permbelian ladang berkenaan.
Tamat  cerita Felda yang katanya masih banyak yang belum dibongkar, timbul  pula cerita bagaiaman seorang  menteri yang dipercayai amanah, mempunyai integriti tetapi ikut  sama terpalut dalam penyelewengan dan penyalah gunaan kuasa.
Apa  yang diceritakan ini dialami sendiri kawan ini. Beliau telah menghantar  satu proposal kepada menteri berkenaan untuk memajukan aset milik agensi  dibawah pengawasannya. Menteri sebelum ini sudah pun mencadangkan  supaya aset berkenaan dibangunkan dan proposal beliau itu diterima.  Secara prinsipnya projek itu sudahpun dipersetujui. Kerana berlaku  pertukaran jawatan maka ia perlu dirujukkan kepada menteri berkenaan.
Malangnya  bila ia dirujuk projek itu dibatalkan. Minit keluluasan asal telah  diserahkan kepada menteri itu. Alasannya kerana mesyuarat pembangunan  kementerian itu sebelum ini tidak meluluskan projek berkenaan. Ini  berdasarkan kepada minit katanya.
Para pegawai dalam satu  mesyuarat dengan menteri berkenaan membangkitkan isu projek berkenaan.  Mereka menunjukkan yang minit asal diluluskan. Menteri berkenaan katanya  terkial-kial untuk menjawabnya dan mencari helah mudah dengan  mengatakan setiausaha salah mencatat minit. Namun apabila setiausaha  dipanggil barulah terdedah cerita sebenarnya, menteri berkenaan  mengarahkan setiausaha mengubah minit berkenaan. Paling menyedihkan lagi  katanya menteri itu sudah menerima prosal dari kroninya.
Itu  satu kejadian. Ada satu lagi kejadian melibatkan nilai tander satu  projek di Kuala Lumpur. Satu kontraktor telah membuat tawaran dengan  nilai RM72 juta. Tawaran itu telah diterima. Tetapi apabila sampai ke  peringkat menandatangani kontrak berkenaan angka berkenaan didapati  berubah menjadi RM92 juta. Kontraktor berkenaan terkejut melihatnya  kerana harganya di make-up sebanyak  RM20 juta.
Kerana menyedari kekeliruan itu, kontraktor berkenaan  bertanyakan kepada menteri berkenaan. Apa jawabnya, menteri berkenana  suruh saja tanda tangani, dan memberi tahun RM20 juta adalah atas  urusan.
Menyedari bahawa apa yang berlaku itu satu penyelewengan  kontraktor berkenaan akhirnya menarik diri kerana tidak mahu terlibat  dengan rasuah.
Segala apa yang dicerita kawan itu menggambarkan  akan kebobrokan orang berkuasa di negara ini termasuk menteri. Dan  paling mengejutkan ia bukan saja berlaku di kalangan menteri yang  dikenali tidak berlatar belakangkan pendidikan agama yang mampan tetapi  di kalangan mereka yang dianggap sebagai ustaz dan diberi tanggungjawab  menjaga harta anak-anak yatim juga. Jadi kata kawan ini di Malaysia ini  tidak ada siapa lagi yang boleh diharap dan dipercayai khasnya dalam  bidang perdagangan.