Hafiz Irwan   
BACHOK, 19 Jun: Kompleks Masjid  Daruttarbiyah bakal menyaksikan perubahan baru apabila kaum wanita  disaran supaya menunaikan solat Jumaat seperti mana dilakukan kaum  lelaki selepas siap pembinaannya kelak.
Saranan itu diutarakan  Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Sebenarnya  sudah lama saya hendak tengok keadaan ini boleh dilakukan oleh wanita,"  katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Derma  mengisi tabung kompleks masjid tersebut di Kampung Wakaf Zain, dekat  sini, malam tadi.
Beliau berkata, keselesaan ruang masjid yang  cukup luas mampu membawa kaum wanita untuk turut bersama menunaikan  solat Jumaat.
"Saya cadangkan ruang bawah untuk orang perempuan  dan di sebelah atas pula bagi orang lelaki masa sembahyang Jumaat,"  katanya.
Kompleks masjid tersebut mula dibina sejak Ogos tahun  lalu di atas tapak seluas satu ekar yang dibeli dengan harga RM180,000  manakala pembinaannya menelan belanja sebanyak RM2 juta dan dijangka  siap pada Ogos 2011.
Kos pembelian tapak serta binaan adalah  daripada sumbangan orang ramai.
Masjid dua tingkat yang kini  dalam 40 peratus pembinaan itu dibina secara bergotong royong melibatkan  seluruh kepimpinan cawangan termasuk penghulu-penghulu mukim dan  masyarakat tempatan.
Adun Tawang, Hassan Mahmood ketika ditemui  selepas majlis berkenaan berkata, pembinaan kompleks masjid berkenaan  dilengkapi dengan dewan mesyuarat dan seminar yang mampu menampung 200  peserta dan asrama.
"Kita berharap segala kemudahan yang  melengkapi masjid ini seperti dewan dan sebagainya itu akan dimanfaatkan  sepenuhnya terutama dalam menjana generasi masa depan yang bakal  mewarisi perjuangan ulama," katanya.