Bismillahir Rahmanir Rahim
Saya mewakili Kerajaan Kelantan dengan  ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Yahudi Israel yang  menyerang kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan sehingga  mengorbankan dua puluh (20) nyawa.
Konvoi ini dilaporkan membawa  kira-kira sepuluh ribu (10,000) tan barangan bantuan, seramai lebih lima  ratus empat puluh (540) orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk Ahli  Parlimen, ahli akademik, ahli NGO petugas media, ulama’, seorang  kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga  emas berumur lebih daripada lapan puluh tahun. Termasuk dalam rombongan  tersebut juga ialah dua belas (12) orang rakyat Malaysia yang turut  menjadi tawanan Yahudi Israel.
Sesungguhnya konvoi itu adalah  bukan merupakan konvoi tentera dan tidak berangkat ke Gaza dengan tujuan  ketenteraan, ia adalah misi kemanusiaan.
Paling penting ialah  saya menyeru para ulama’ seluruh dunia dapat bangkit, tunaikan Solat  Hajat dan mohon pertolongan Allah S.W.T. demi menyelamatkan umat Islam  dan rakyat Palestin termasuk di Gaza.
Saya juga  menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  memberi teguran keras terhadap rejim itu. Saya juga menyeru agar  Pertubuhan OIC dan negara-negara Islam turut menyertai bantahan ini bagi  membuktikan kesungguhan membela nasib rakyat Palestin.
Hakikatnya  tingkah laku biadab Israel ini berpunca dari kefahaman bahawa mereka  merupakan bangsa yang terpilih dan mulia berbanding bangsa-bangsa yang  lain. Bagi mereka, hanya mereka yang berhak hidup di bumi ini dan  bangsa-bangsa lain hanyalah bertaraf hamba kepada mereka. Ekoran  kefahaman sesat seperti inilah, mereka langsung tidak berasa bersalah  melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin. Inilah bahayanya fahaman  ‘asobiyyah melampau yang dianuti oleh Yahudi. Selagi fahaman kebangsaan  melampau seperti ini menjadi anutan mana-mana pihak, keamanan tidak akan  dapat dikecapi di bumi ini.
Oleh kerana itu, saya selaku Menteri  Besar Kelantan akan menganjurkan satu Kuliah Pagi Jumaat, pada 21  Jamadil Akhir 1431 (lusa) khusus berhubung dengan isu tindakan tidak  bertamadun rejim Israel itu. Disebabkan Kuliah Jumaat ini penting, maka  kita akan adakan di pekarangan Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu.
Pihak  Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Solat Hajat berserta bacaan Qunut  Nazilah ditempat yang sama. Maka saya harapkan kerjasama semua pihak,  muslimin dan muslimat agar dapat hadir beramai-ramai sebagai tanda kita  mengutuk perbuatan zalim Yahudi Israel itu dan dapat sama-sama kita  berdoa ke hadrat Allah demi keselamatan, keamanan dan kesejahteraan umat  Islam dari kerakusan Yahudi – Israel.
Saya juga akan mohon  kerjasama pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) agar mengarahkan  semua masjid di Kelantan menunaikan Solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah  serta dapat menyediakan satu Khutbah Khusus mengutuk Israel/Yahudi  untuk para khatib persembahkan kepada semua ahli jemaah Sembahyang  Jumaat yang terdekat ini (lusa).
Terima kasih.
YAB TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA NIK ABDUL  AZIZ BIN NIK MAT
Pejabat Menteri Besar,
Kota Darulnaim.
19  Jamadilakhir 1431
2 Jun 2010.