Khamis, 3 Jun 2010

Gaji pekerja restoran lebih tinggi daripada posmen


SEMENJAK khabar berkenaan gaji posmen diumumkan, saya hanya membaca laporan bahawa langkah tersebut adalah bersesuaian dan bertepatan pada masa. Akan tetapi, tiada satu pun laporan yang mengatakan pekerjaan sebagai posmen adalah berat dan tidak menerima ganjaran setimpal.

Saya mempunyai seorang adik ipar yang tinggal bersama keluarga dan bekerja sebagai posmen. Walaupun saya sedar betapa besar dan beratnya tanggungjawab seorang posmen, selama ini saya berpendapat ganjaran yang diterimanya adalah setimpal.

Akan tetapi, apabila menteri mengumumkan kenaikan tarif pos yang akan membolehkan kenaikan gaji posmen yang sekarang ini serendah RM610, saya amat terkejut. Ini tidak masuk akal langsung kerana jika dibandingkan dengan warga Bangladesh yang bekerja di restoran mamak, mereka bukan sahaja mendapat gaji lebih tinggi daripada posmen, tetapi juga mendapat tempat tinggal dan makanan percuma.

Sekarang baru saya faham. Selama ini, saya fikir adik ipar saya berkira-kira kerana terlalu berjimat dengan perbelanjaan. Dia cuma menyumbang kepada perbelanjaan bil elektrik sahaja. Walaupun usia makin meningkat, hasrat untuk berkahwin masih tidak kesampaian kerana duit masih tidak cukup.

Sebagai ahli keluarga, saya kasihan dengan nasib adik ipar saya. Gaji saya sebanyak RM1,500 pun tidak mencukupi untuk keperluan harian, inikan pula untuk hidup dengan gaji RM600 - RM700 sebulan.

Kenapa pihak kerajaan mengambil masa yang lama untuk mengambil keputusan untuk menaikkan gaji mereka. Pendatang asing pula menerima gaji yang tinggi sementara rakyat Malaysia yang berkhidmat untuk kerajaan dibayar begitu rendah.

Tugas posmen memang nampak mudah, tapi tanggungjawapnya berat. Kalau surat hilang atau lambat, mereka akan dipersalahkan. Jadi saya tidak hairan apabila ramai kawan seperjuangannya yang sudah tukar pekerjaan kerana tidak dapat menampung kehidupan.

Kenaikan harga setem sebanyak 30 sen tidaklah tinggi mana jika dibandingkan dengan kos khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk Akademi Fantasia ataupun harga setengah cucuk sate. Tetapi kepada posmen, kenaikan gaji yang bakal diterima walaupun sedikit dapat menambah baik kehidupan mereka.

ABANG IPAR POSMEN

Sentul, Kuala Lumpur