Ahad, 13 Jun 2010

Saman Najib Kerana bersekongkol dengan Apco-Worldwide

Penasihat Undang-Undang Pas Mohamed Hanipa Maidin berpandangan rakyat Malaysia tidak mungkin berjaya menyaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak atas isu persekongkolan kerajaan Malaysia dan firma perunding Apco-Worldwide.

Berucap kepada perwakilan ketika mengulas cadangan perwakilan dari Tambun hari ini, Hanipa berkata institusi mahkamah negara gagal menunjukkan ia mampu berlaku adil dan saksama dalam kes-kes membabitkan Presiden Umno itu.

Perwakilan Tambun hari ini mengemukakan cadangan supaya Parti Islam SeMalaysia memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak atas isu Apco.

Hanipa berkata sekalipun Pas mempunyai bukti yang kuat untuk menjustifikasikan tindakan saman itu, namun mahkamah Malaysia belum mempunyai keberanian untuk mengadili pemerintah secara tegas, adil dan saksama.