Wartawan Kita   
KOTA BHARU, 13  Jun:  Masyarakat Melayu yang rata-rata tinggal di luar bandar berjumlah dua  juta orang mampu menggerakkan perubahan dalam politik negara sekiranya  PAS berterusan mendekati mereka.
Pengerusi Lajnah Tanah dan  Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, situasi di kalangan orang  Melayu sekarang boleh berubah berbanding dahulu.
"Dahulu lain  kita sedar payah untuk menyebabkan orang Melayu berubah. Saya yakin  melalui kerja keras perubahan akan berlaku dengan syarat semua pihak  berganding bahu berlaku.
"Saya yakin perubahan besar akan berlaku  pada pilihan raya umum akan datang dengan kesedaran politik orang  Melayu di luar bandar," katanya ketika menggulung perbahasan ucapan  presiden pada muktamar hari ini.
Beliau juga berkata, Himpunan  Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) sekarang mempunyai 47 cawangan di  seluruh kawasan Felda di negara ini.
Katanya, ANAK mempunyai  seramai 3,500 ahli yang mendaftar, di mana 50 peratus bukan di kalangan  ahli PAS. Dan selepas muktamar ini, enam lagi ANAK akan ditubuhkan.
ANAK  mensasarkan generasi kedua yang berjumlah keseluruhan 800,000 orang di  kawasan Felda di seluruh negara.
Selain itu, kata Mazlan satu  lagi pertubuhan yang dikenali sebagai Kesepakatan Antara Peneroka akan  diwujudkan di kalangan masyarakat peneroka, di mana boleh mengumpul  seramai 112,000 orang.
Menurutnya masyarakat peneroka sedia untuk  menyokong pembaharuan sekiranya mendapat akses perkembangan semasa yang  berlaku.
Beliau juga berkata, ANAK bermatlamat memperjuangkan  masalah hak milik, tanam semula dan gangguan pengurusan Felda.
Kata  beliau masalah yang berlaku itu hendaklah dijelaskan dengan pendekatan  berhemah dan bukan menyerang Felda.
Katanya juga, ANAK turut  memperjuangkan isu tanah di Sabah, di mana kebanyakan didakwa dikuasai  pemimpin negeri itui.
"Berdasarkan kepada kunjungan kita pada Mac  lalu di Sandakan dan Keningau didapati tanah-tanah penduduk dirampas  dan diberi kepada syarakat besar untuk ditanam kelapa sawit.
"Kita  pergi juga ke Kampung Landau di Merontai melihat dari dekat apa yang  berlaku. Oleh itu kita membuat persiapan rapi untuk menghimpunkan  peneroka yang mempunyai tanah tetapi tiada hak milik.
"Malah  tanaman ditolak dan kediaman mereka akan dibakar. Pada Oktober nanti  kita akan anjurkan perhimpunan raksasa di Sabah dengan membabitkan  Presiden PAS, ketua Umum PKR dan Lim Kiat siang," katanya.