WAN NORDIN WAN YAACOB
(analisis)
Tidak  seperti sebelum-sebelumnya, Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-51 di Kota  Bharu pada 10 Jun lalu 'kurang sengat' apabila hanya menyaksikan  ucapan-ucapan sekitar pujian kepada Ketua Pemuda yang membentangkan  Ucaptamanya sebelum itu.
Malah  laungan takbir jarang sekali bergema walaupun kehadiran kali ini  menyaksikan pertambahan bilangan perwakilan berbanding tahun tahun  sebelumnya berikutan perubahan perlembagaan yang telah dilakukan.
Meskipun  disebut-sebut muktamar Pra-Pilihan Raya Umum ke-13, suara-suara  'nyaring' hanya sesekali sahaja didengari itupun hanya membabitkan  perwakilan Kelantan yang membungkam isu celaan bloggers terhadap  kepimpinan PAS.
Pengumuman  Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi untuk mengwujudkan  Pusat Dialog dan Peradaban dalam mendepani isu-isu sokongan bukan Islam  'tidak' dibincangkan oleh perwakilan.
Sebaliknya  isu yang boleh dijolok menjadi isu nasional ini hanya diratap sepi oleh  perwakilan yang lebih banyak menyentuh soal pentarbiyahan yang 'kurang  berjaya' setakat ini.
Lontaran  idea untuk mendepankan saf kepimpinan Pemuda PAS bersiap untuk pilihan  raya hanya tertumpu kepada cadangan perwakilan Selangor untuk  mendapatkan sokongan pengundi muda.
Namun,  cadangan bernas Ketua Pemuda untuk mewujudkan Gerakan mendaftar Pemilih  dan Ahli Baru (gempa) langsung tidak dipandang perwakilan, sedangkan  mengikut perkiraan dijangkakan muktamar ini adalah muktamar terakhir  sebelum PRU-13.
Sementara  pujian-pujian yang dilontarkan kepada Ketua Pemuda sekadar mahu mengisi  ruang dalam perbahasan ucaptama sahaja.
Laungan  takbir yang diterjemahkan kurang menepati konteks yang dibincangkan  termasuk apabila menyebut hutang Pemuda PAS Kawasan, perwakilan  tiba-tiba melaungkan takbir.
Namun  secara keseluruhannya isu-isu yang diutarakan hanya sekadar menyediakan  pembahas dan bukannya menyediakan fakta untuk berbahas dan menjelmakan  idea yang bernas.
Beberapa  pemerhati menamsilkan perbahasan yang kurang menyengat malah topik yang  dibentang oleh Ketua Pemuda dalam soal ekonomi, menyelamatkan Malaysia,  isu rasuah dan salahgunakuasa tidakpun dikocak baik oleh perwakilan  yang berbahas.
Kebanyakan  pembahas hanya berputar dalam isu dalaman yang tak berkesudahan,  sementara cadangan untuk memastikan masalah dalaman tidak diberi  perhatian.
Perwakilan  juga umpama 'menggangguk' sahaja seruan kepada Tema Ucaptama  'Memurnikan Perjuangan" tetapi tidak memugar dan mengupas perbahasan  berkaitan tema "Memaknakan Kemenangan".
Jika  diguna alasan bahawa Muktamar kali ini sunyi kerana tiada pemilihan, ia  satu kesilapan kerana seharusnya peluang yang lebih besar ini digunakan  untuk mencernakan idea yang lebih tepat untuk memajukan pemuda sebagai  barisan hadapan parti.
Besar  harapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat  terhadap golongan muda untuk melestarikan perjuangan, mempertahan  kemenangan dan sepakat menuju Putrajaya, namun akhirnya seolah-olah  dipandang sepi perwakilan Pemuda PAS.
Mungkin  apabila gendang sebenar PRU-13 dipalu dengan perdana Menteri  mmengumumkan pembubaran Parlimen, kala itu Pemuda akan bingkas bangunkan  untuk bertindak, mungkin sudah terlambat!.