Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS menolak  perpaduan dengan Umno kerana tidak mahu menanggung "biawak hidup" dan  yakin tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
Berucap sewaktu  penangguhan Muktamar Tahunan kali ke-56 di Pusat Tarbiayah Islamiah  Kelantan (Putik) hari ini, beliau juga berkata, Umno juga telah rosak  akibat amalan rasuah yang berleluasa diamalkan mereka.
"Kita  menolak perpaduan dengan Umno. Perpaduan menanggung biawak hidup,  menyanjung rasuah," katanya.Keburukan Umno juga katanya turut diakui  bekas pemimpin mereka sendiri yang melihat Umno sudah tiada masa depan.
Umno  juga katanya sudah jelas ditolak rakyat semenjak PRU ke-12 lalu."Tak  ada pasal-pasal kita nak pikul orang yang sakit sampai ke usus ini,"  katanya lagi.Menjelas lanjut pada sidang media selepas itu, ustaz Hadi  mengulangi penegasannya bahawa PAS menolak perpaduan dengan Umno.
Ianya  antara lain kerana Umno juga mengamalkan perkauman sempit."Gagasan  dengan BN tak boleh selesai masalah kerana mereka masih tebal dengan  perkauman malah dibejati dengan rasuah," tegasnya.
Ahli PAS di  segenap peringkat katanya mempunyai tugas besar untuk membebaskan bangsa  Melayu dari kejahilan perkauman yang telah ditanam Umno.Umno katanya  terlalu mementingkan bangsa dari agama sehingga sanggup menjadikan  bangsa sebagai akidah perjuangan mereka.
Semangat asobiyah  katanya juga tidak salah, namun perlu dimanfaatkan untuk perjuangan  Islam."Tak salah sayang bangsa sendiri, tapi jangan sampai bangsa  dijadikan akidah."Islam dulu baru asobiyah," katanya lagi.
Mengulas  muktamar pula, beliau berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan  sepanjang muktamar berlangsung.Perwakilan katanya dilihat bersedia malah  isu yang dibangkitkan juga dikupas dan dibahas dengan jelas.
Malah  lebih penting katanya, muktamar PAS kali ini berlangsung dalam suasana  penuh persaudaraan yang dapat disaksikan oleh kesemua yang hadir.