ALOR SETAR, 25 Mei: Pemuda Gerakan Kedah dan 20 pertubuhan bukan  kerajaan (NGO) telah menyatakan kesediaan untuk menyertai Himpunan  Membantah Judi yang akan diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani,  selepas solat Jumaat, 28 Mei ini.
Sehubungan itu, Ketua  Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria (gambar) mengajak  seluruh rakyat di negeri ini untuk bersama-sama dalam himpunan  besar-besaran itu.
Katanya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan  Pemuda DAP (DAPSY) negeri juga telah menyatakan kesediaan untuk  menyertai himpunan tersebut.
Menurutnya, himpunan itu adalah  bertujuan menyatakan bantahan rakyat terhadap kelulusan lesen judi bola  sepak Piala Dunia 2010 yang dianugerahkan oleh Kerajaan Umno BN kepada  Kumpulan Berjaya.
"Himpunan ini adalah rentetan daripada beberapa  himpunan yang diadakan di negeri-negeri lain Jumaat lalu dan  kemuncaknya rakyat akan berhimpun di Kuala Lumpur untuk menyerahkan  tuntutan rakyat terhadap aktiviti perjudian kepada Yang di-Pertuan Agong  pada 3 Julai nanti," jelasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang  Terap.
Menurut Nasir lagi, penganjur juga turut menjemput semua  pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik  termasuk Umno dan MCA untuk bersama-sama menyertai himpunan itu.
"Perhimpunan  ini terbuka kepada semua pihak dan ianya bukan untuk rakyat beragama  Islam sahaja, semua agama tidak membenarkan judi kerana judi mengundang  banyak keburukan.
"Kita menjemput kesemua NGO-NGO dan parti-parti  politik yang ada di negeri ini tapi sehingga kini Umno dan MCA tak  memberikan jawapan balas," katanya.