Sepertimana yang telah diberitakan, seramai 100 orang yang dikatakan  sebagai ulama akan menyertai UMNO. Baru diberitakan sebentar tadi,  seramai 40 orang telah pun menyertainya. Dan isu yang ingin saya  bangkitkan di sini bukanlah “kepartian”, tetapi isu Agama Islam dan  kezaliman.
Sepertimana yang telah kita ketahui sebelum ini,  beberapa unsur percanggahan dengan Agama Islam telah jelas dan terang  dilakukan oleh parti tersebut. Bahkan unsur kezaliman juga telah banyak  berlaku dan jelas di hadapan mata kita.
Antara bentuk  percanggahan dengan Islam ialah perjuangan sekularisme, liberalisme,  nasionalisme dan sebagainya. Manakala unsur yang berbentuk kezaliman  ialah menolak pelaksanaan hudud, judi, arak, mempermainkan hukum Allah,  kehilangan duit negara berbillion-billion ringgit dan sebagainya. Tidak  perlu diulas panjang di sini.
Bertambah pelik apabila 40 orang  yang dikatakan sebagai ulama telah menyertai parti ini. Bahkan dijangka  lagi 60 orang yang dikatakan sebagai ulama akan menyertainya juga.
Maka,  sebagai makluman untuk 40 orang yang telah menyertai ini, kami di  Mesir, khususnya pengajian Islam di al Azhar sudah bersedia untuk  berhadapan dengan ulama-ulama yang menyokong kezaliman ini.
Dan  nasihat daripada saya, anda akan menanggung dosa-dosa kezaliman  tersebut, dan anda “berpotensi” untuk bergelar ulama bisu. Kalau betul  anda menyertainya untuk menyebarkan dakwah Islam, bermakna anda sudah  tersilap pilih jalan untuk menyebarkannya.
Saya ingin bertanya,  “kenapa baru sekarang terhegeh-hegeh nak mendaftar untuk menjadi ahli?”  Kenapa anda tidak perjuangkannya sejak di tempat pengajian anda lagi?  Adakah anda menyangka perjuangan untuk menegakkan kezaliman dan  percanggahan dengan Islam ini sebagai perjuangan yang suci?
Adakah  anda mengamalkan pegangan “taqiyyah” yang diamalkan oleh syi’ah? Adakah  anda berani berhadapan dengan azab Allah kepada mereka yang menyokong  kezaliman? Adakah anda ingin merealisasikan konsep “terjun dalam lubang  najis, untuk bersihkan najis?”. Akhirnya anda akan lemas dengan najis  tersebut.
Adakah anda tidak tahu, selama ini perjuangan parti  tersebut sudah bercanggah dengan Islam? Adakah anda tidak tahu, sebelum  ini parti tersebut pernah menghina sunnah Nabi yang anda perjuangkan?  Adakah anda tidak tahu, parti tersebut menolak pelaksanaan hukum Allah?
Atau  anda sengaja buat-buat tidak tahu, atau ada udang di sebalik batu? Saya  selaku Mahasiswa Universiti al Azhar menantikan ulasan dan hujah anda  untuk membolehkan perkara yang haram, dan mengeluarkan dalil untuk  bercanggah dengan Islam.
Sekadar inilah nasihat yang mampu saya  berikan untuk golongan ini. Ingat, anda perlu kenal musuh sebenar, dan  membezakan di antara usul dan furu'. Anda juga perlu tahu kebenaran yang  sebenar, dan kebenaran yang palsu.
Kalau anda berselisih  pandangan, jangan sampai memilih perkara yang batil. Sepertimana yang  saya sebutkan sebelum ini, bezakan antara hitam dan putih dahulu sebelum  anda bezakan antara biru dan hijau.
Muhammad Mujahid bin Ir Haji  Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti  al Azhar
ibnuirfadzil.blogspot.com