SHAH ALAM, 26 Jun – Parti Keadilan  Rakyat (PKR) menyifatkan keputusan pentadbiran Perdana Menteri Datuk  Seri Najib Razak tidak meluluskan lesen judi sukan kepada Ascot Sports,  syarikat milik jutawan Tan Sri Vincent Tan, sebagai “sandiwara politik”  untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
Menurut Naib Presidennya, Mustafa Kamil  Ayub, terlalu banyak maklumat yang diterima sebelum ini membayangkan  bahawa lesen judi sukan itu seakan-akan sudah diluluskan.
“Beberapa maklumat yang diterima sebelum  ini membayangkan bahawa lesen judi sukan ini sudah diberikan kepada  Ascot Sports.
“Sebagai  contoh Dr Mohd Puad Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran) sebelum ini  membantah kelulusan itu seolah-olah lesen itu sudah ada, malah ada yang  kata supaya jangan memperbaharuinya.
“Jadi selagi Perdana Menteri belum  memberikan penjelasan kita terima bahawa lesen itu sudah diluluskan,”  katanya kepada The Malaysian Insider di sini malam ini.
Lewat malam tadi, kerajaan dalam tindakan  drastik yang mengejutkan banyak pihak memutuskan untuk tidak  mengeluarkan lesen sukan judi kepada Ascot Sports.
Keputusan itu diumumkan oleh Najib selepas  mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu  syarikat itu telah dimaklumkan mengenai keputusan itu.
“Ascot Sports telah dimaklumkan mengenai  keputusan ini, mereka maklum keputusan ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau enggan menyatakan bila  keputusan itu dibuat.
Mustafa  berkata selagi Najib tidak membuktikan bahawa lesen judi sukan itu  benar-benar tidak diluluskan parti itu akan terus mendesaknya.
“Selagi Najib tidak membuat penjelasan kita  akan terus desak.
“Kita  mahu beliau membuktikan bahawa lesen tersebut benar-benar tidak  dikeluarkan,” katanya.
Seorang  lagi Naib Presiden Azmin Ali berkata jika ia hanya “sandiwara” maka  kerajaan Umno-BN akan dihukum pada pilihan raya umum akan datang.
“Jangan merendahkan desakan dan gesaan  rakyat dalam perkara ini.
“Kita serius bukan hanya orang Islam tetapi orang bukan Islan  juga menentang keras kelulusan lesen judi sukan ini.
“Ini bukan cara untuk Malaysia maju ke  depan dalam bidang ekonomi, ini adalah cara yang agak ketinggalan,”  katanya ketika ditemui pada sesi pemukiman PKR dekat sini. 
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)  Fariz Musa berkata tindakan tidak mengeluarkan lesen judi sukan itu  mungkin bersifat sementara dan kemungkinan ia akan dibangkitkan semula  sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.
“Ini hanya sandiwara yang dibuat kerajaan  BN untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan tidak meluluskan  lesen judi sukan itu.
“Mungkin  selepas ini ia akan dibangkitkan semula sekiranya BN masih memerintah  negara selepas pilihan raya umum nanti.
“Nampaknya kerajaan sengaja mahu bermain  politik dengan rakyat,” katanya.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata keputusan tidak  meluluskan lesen judi sukan itu mungkin disebabkan kedatangan ulama yang  hadir sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk menyerahkan borang  keanggotaan Umno kepada Najib.
“Saya difahamkan bahawa semalam seramai 40 ulama datang berjumpa  Najib untuk menyerahkan borang keanggotaan Umno, jadi mungkin sebab itu  beliau membuat keputusan untuk tidak meluluskan lesen judi sukan itu.
“Keputusan itu hanya sementara sahaja  kerana ingin menjaga imej beliau dan mungkin perkara ini akan  dibangkitkan semula,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali  berkata status sebenar lesen judi sukan tersebut masih menjadi tanda  tanya memandangkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi  Umno, bukannya Kabinet.
“Statusnya  masih jadi tanda tanya kerana keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen  judi sukan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bukan dalam  Kabinet.
“Jadi selagi  keputusan itu tidak dibuat dalam Kabinet, maka statusnya masih belum  pasti lagi,” katanya.
Dalam  pada itu, Bernama memetik Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail  berkata, PKR menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan  lesen pertaruhan sukan di negara ini.
Kata beliau, berkata keputusan itu  menunjukkan kerajaan sekarang mendengar pandangan rakyat.
“Baguslah langkah kerajaan dengar saranan  rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita.
The Malaysian Insider