Kos pembangunan loji janakuasa nuklear yang berkapasiti 1,000 MegaWatt   ialah antara AS$2.5 bilion dan AS$4 bilion (AS$1 = RM3.3), kata Menteri   Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini.
   
Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk kos lain  seperti kos  menjalankan kajian dan membangunkan prasarana insaniah yang  meliputi  pembangunan sumber manusia, serta memantapkan peraturan sedia  ada bagi  menyokong pembangunan loji.
  
"Bagaimanapun  kos operasi  termasuk kos bahan api nuklear adalah lebih rendah  berbanding kos  operasi bagi loji-loji janakuasa tenaga lain seperti  minyak, gas asli  dan arang batu," katanya ketika menjawab soalan Lim  Guan Eng  (DAP-Bagan) pada persidangan Dewan Rakyat.
  
Lim ingin tahu kos  loji nuklear yang bakal diwujudkan pada 2021,  lokasi dan impaknya  kepada kawasan sekitar, serta langkah keselamatan  dan kaedah  pembersihan sisa nuklear yang akan dipraktikkan.
   
Mengenai  lokasi,  Chin berkata janakuasa itu dijangka dibina  di Semenanjung  berdasarkan permintaan elektrik yang tinggi di kawasan  tersebut pasca  2020.
  
Bagaimanapun lokasi tepat  bagi membina loji nuklear  tersebut belum ditentukan, katanya.
   
Beliau berkata kerajaan  akan mengguna pakai piawaian  antarabangsa bagi menentukan lokasi loji  janakuasa itu dengan mengambil  kira ciri-ciri seperti kepadatan  penduduk, alam sekitar dan keadaan  geogologi.
   
Selain itu  katanya, kerajaan juga  akan menggunakan khidmat Agensi Tenaga Atom  Antarabangsa (IAEA) dalam  memastikan peraturan berkaitan keselamatan  loji dipatuhi jika ia dibina  di negara ini.
  
"Justeru lesen  tapak loji  berkenaan hanya akan dikeluarkan setelah semua kajian  dilakukan termasuk  penilaian kesan alam sekitar dan radiasi," katanya.
   
Chin juga berkata rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan  aspek  keselamatan loji janakuasa nuklear memandangkan pelbagai proses   penambahbaikan telah dilakukan kepada teknologi itu pada masa ini.
   
"Ia termasuk kebolehan menghentikan tugas rektor  nuklear dalam  masa yang cukup pantas iaitu dalam tempoh beberapa saat  sekiranya  berlaku insiden yang tidak diingini," katanya.
- Bernama