Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjelajah setiap  kampung dan daerah bagi menjelaskan kepada rakyat agenda jahat dan  keburukan Umno dan Barisan Nasional (BN) sekiranya digantung oleh  Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, esok.
Beliau yang  dipetik Harakah Online berkata segala kejahatan dan keburukan yang  sekian lama menjadi amalan kepimpinan Umno dan BN harus terus dirobek  dan dimaklumkan kepada rakyat.
"Banyak perkara yang tidak  direlakan oleh rakyat telah dilakukan oleh kerajaan pimpinan yang ada  sekarang. Arak dan judi semua ini membawa kesan negatif yang merosakkan  akhlak dan kesejahteraan hidup rakyat, mereka tidak pedulikan walaupun  ada bantahan dan bangkangan.
"Yang lebih teruk ialah sikap mereka  yang tidak mempedulikan kritikan dan pembongkaran yang telah dibuat  dalam parlimen bahawa mereka mempunyai hubungan dengan negara Israel.
“Jika  perkara ini tidak benar maka saya dengan ini mencabar Perdana Menteri  untuk menafikan segala dakwaan tersebut dalam Parlimen," katanya pada  majlis ceramah di Kulim, malam semalam.
Tambahnya, untuk  menyelamatkan negara dari terus menjadi sebuah negara yang begitu  sinonim dengan aktiviti rasuah oleh kepimpinan negara, maka pembohongan  BN akan terus dibongkar dalam program ceramah isu semasa yang giat  dijalankan dari masa ke semasa.
"Dari Sarawak sehinggalah ke  Johor, Pakatan Rakyat (PR) akan pastikan dalam pilihan raya umum yang  akan datang, tonggak pemerintahan negara akan berjaya dikuasai oleh PR,”  ujarnya.