"Bantahan itu kerana politik, bukan kerana Islam. Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan) politik parti pembangkang hendak cari isu.
"Sedangkan dalam muktamar PAS ada cadangan suaya semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak," katanya ketika ditanya tentang bantahan pembangkang melalui pelbagai cara seperti ceramah dan demonstrasi.
Beliau mempersoalkan kenapa PAS lantang menentang judi sukan di negara ini kerana terdapat pelbagai lagi jenis judi lagi.
"Yang dia (PAS) kata tak boleh, (judi) sukan, bola sepak (sahaja). (Bantahan) ini politik, kita kena asingkan soal politik dengan soal agama.
"Bagi PAS, agama adalah alat politik mereka," katanya.
KUALA  LUMPUR, 15 Jun: PAS kesal dengan komentar bekas Perdana Menteri, Tun Dr  Mahathir Mohamad berhubung dengan isu judi yang dihalalkan oleh kerajaan  Umno BN.
“Tuduhan beliau bahawa PAS hanya mengharamkan judi bola  sahaja adalah suatu fitnah yang jelas dan isu judi bukanlah isu politik  seperti apa yang beliau fikirkan," kata Ketua Penerangan PAS Pusat,  Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.
Tegasnya,  PAS menolak dan mengharamkan semua aktiviti judi di negara ini dan  bukan melibatkan perjudian bola sahaja.
Katanya, PAS jauh berbeza  dengan Umno di mana walaupun Umno telah memerintah negara selama 12  penggal, namun belum ada usaha dilakukan bagi menghapuskan judi.
Jelasnya,  selepas PAS memerintah, Kelantan berjaya menutup premis-premis judi,  sementara di Kedah pula usaha menghapuskan judi berjalan secara  berperingkat, begitu juga dengan Selangor dan Pulau Pinang yang  diperintah Pakatan Rakyat.
“Kita serius untuk menghapuskan judi  dan mendidik rakyat ke arah kehidupan yang bebas dari maksiat,” ujarnya.
Beliau  menambah, rakyat juga tahu bahawa lesen perniagaan judi diluluskan oleh  Kerajaan Pesekutuan, bukan kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan  negeri hanya meluluskan lesen premis dan iklan yang kebanyakannya  diperolehi oleh tauke judi semasa zaman pemerintahan BN.
Baginya,  Mahathir sebenarnya dibayangi dosa-dosanya yang meluluskan judi di  negara ini semasa pemerintahannya dan rakyat akan terus mengingati  beliau sebagai tokoh pemimpin yang memimpin negara dengan duit hasil  judi.
“Beliau mungkin berfikir, jika beliau tidak menyokong dasar  Najib hari ini, pastinya orang-orang dalam kerajaan akan mengutuk  beliau kerana selama ini beliaulah orang nombor satu yang membantu  membangunkan industri judi dalam negara ini,” kata Idris lagi.
PAS  juga, katanya amat kesal kerana Mahathir masih bersikap prejudis kepada  masyarakat Cina di negara ini yang dalam pemikirannya dianggap sebagai  kaum yang suka berjudi.
“Beliau hadir dan berucap dalam  perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu semalam dan mencipta  prasangka buruk terhadap orang Cina. Perkara ini tidak wajar kerana  masyarakat Cina juga bukanlah masyarakat yang suka berjudi dan ucapan  beliau ini adalah satu penghinaan,” ujarnya.
Menurutnya, tabiat  judi adalah masalah yang dicipta dalam masyarakat bagi melalaikan mereka  dan kerajaan mengambil kesempatan daripada golongan yang tidak berilmu  itu dengan mengeluarkan lesen bagi mengaut hasil perjudian.
Justeru,  kata beliau sewajarnya kerajaan memberikan pendidikan kepada rakyat,  memberikan maklumat dan berusaha memerangi gejala judi dalam masyarakat  sama macam memerangi gejala dadah.
“Bila judi diharamkan maka  rakyat juga tidak akan berani berjudi. Aktiviti judi haram perlu dilihat  sama seperti sindiket pengedaran dadah dan hukuman berat wajib  diberikan kepada penganjur aktiviti judi,” katanya lagi.
Idris  menambah, rakyat perlu diberitahu akan keburukan judi dan mengajak  mereka bersama-sama memerangi judi.
Katanya, kerajaan harus  menjadi kerajaan yang membantu membina rakyat dan masyarakat ke arah  yang lebih positif dan proaktif, bukannya menjadi kerajaan yang  meruntuhkan akhlak rakyat.
Justeru, ujarnya lagi, jika kerajaan  BN dikekalkan, maka sampai bila pun masyarakat di negara ini akan terus  dipersendakan dengan dasar-dasar yang tidak progreasif dan hilang sifat  holistiknya.